Thursday, May 08, 2008

Detektif Indigo Kembali: Reviu


*Artikel saya, Menyitir Kembara Melalui Buku I: Jefferson County Public Library di Buku Ria*

Selesai. Antara keripuhan menduduki lima kertas peperiksaan akhir dalam masa empat hari (esok masih ada satu, but I believe in good time management, konon!), sempat juga saya mencelah ketika meladeni Detektif Indigo Kembali, novel ketiga dalam siri Detektif Indigo karya Faisal Tehrani yang harus saya angkat sebagai novel terbaik Detektif Indigo setakat ini.

Mengapa?

Sebab paling utama adalah elemen saspen dan misteri yang menjadi. Lewat novel kedua Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson tahun lalu, saya sedikit (banyak sebenarnya) kecewa kerana dua unsur wajib dalam sesebuah karya penyiasatan itu tidak menyengat. Namun ternyata Abang Faisal menebusnya melalui buah tangan terbaru ini.

Mungkin saja saya yang lama tidak menguliti novel-novel berbentuk thriller. Setakat ini saya semakin pening dalam percubaan menerka siapakah dalang sebenar penculikan Profesor Aslan, Setiausaha Agung OIC dan Dr Recep Gul, Pengarah Akademi Indigo. Dan siapa pula yang mengugut Dr Mama?

Hah, itu belum difikirkan motif, meski hati saya kuat mengaitkan dengan gerakan ektremis agama di Timur Tengah yang tidak senang dengan usaha pihak yang berkesedaran untuk berdamai antara penganut agama dan mazhab berbeza.

Wacana dalam Detektif Indigo Kembali juga mengujakan saya. Baru beberapa halaman, mata tertancap pada nama Ernest Renan, ahli falsafah Perancis yang secara kebetulan menjadi bahan kajian saya dua minggu lalu untuk sesuatu yang dikerjakan pada masa itu.

Saya hanya mengenal Renan sebagai penganjur hak kerakyatan subjektif, mendukung prinsip jus soli, menentang habis-habisan jus sanguinis yang dipertahan pemikir Jerman, Ficthe dan anti-Yahudi pula. Ya, saya dapat ilmu baru, tak sangka Renan juga menggalakkan manusia berbilang agama berbaik-baik (tetapi semacam kontradiksi, erm, perlu research lagi nampaknya).

Teknologi dalam penyiasatan melibatkan pengumpulan bahan bukti dari crime scene juga lebih mesra pembaca dan tidak terasa ditempel-tempel. Novel ketiga ini semakin memperlihatkan kecenderungan atau specialty setiap detektif indigo. Meskipun banyak watak baru diperkenalkan seperti Dendy, Furqan, Cenderawasih dan Sumitra (oh, novel ini semakin muhibah!), namun adik-adik indigo di Nilai itu tidak tenggelam.

Saya tidak berniat untuk menitipkan spoiler, biarlah ia jadi kejutan kepada anda apabila anda membacanya sendiri kelak. Namun pengakhiran novel ini kuat membayangkan sambungan sudah dalam pembikinan dan tidak mustahil akan menemui peminatnya tidak berapa lama lagi!


Doakan saya cepat-cepat menghabiskan buku ini seterusnya!

3 komentar:

Steve Ballmer said...

Great books

sherrina said...

Tak sabar menunggu buku keempat pula :)

zaidakhtar said...

habiskanlah Kamus Dewan edisi ke-3 di bawah tu juga :-)

 
design by suckmylolly.com