Sepanduk ini juga mengingatkan saya kepada sebahagian lirik lagu Look Into My Eyes, tulisan seorang remaja Palestin dan didendangkan pula oleh kumpulan muzik dari Belanda, Outlandish:
"Americans do you realize
That the taxes that you pay
Feed the forces that traumatize
My every living day..."
Badri mengongsi informasi tentang demonstrasi damai anjuran Muslim American Society (MAS) Freedom Foundation Colorado Chapter ini lewat malam Isnin. "If you're interested," titip Badri lagi. Terkaannya tidak tersasar, saya teruja dan serentak berkeputusan untuk menghadiri meski acara dijadualkan kurang 24 jam daripada tempoh pemberitahuan.
Ternyata keputusan impulsif itu tepat. Walaupun kepenatan kerana hanya sempat melelapkan mata selama empat jam malam sebelumnya dan sibuk pula menguruskan beberapa perkara penting dari awal pagi hingga lewat tengah hari, namun berbekalkan setin minuman tenaga beradun ginseng, guarana dan gula, saya gagahkan kaki melangkah ke Colorado State Capitol di Lincoln Street. Sebaik tiba saya segera menghampiri seorang sukarelawan yang sedang membahagi-bahagi papan tanda kepada sesiapa yang ingin mengusung dan menjulang.
Rapat umum ini berlangsung damai, dengan permit selama dua jam. Para sukarelawan mempamerkan papan tanda masing-masing di pinggir laluan pejalan kaki Lincoln Street yang tidak punya rizab jalan. Banyak kenderaan yang melepasi State Capitol menyatakan sokongan dengan membunyikan hon bertalu-talu. Jeritan-jeritan seperti "Free Free Palestine!", "Down with the Occupation!", "Long live Gaza Strip!", "Shame, Shame Israel!" juga gamat dilaungkan. Sebuah kereta peronda dan tiga buah umarked police cars sedia terparkir berhampiran, sebagai langkah berjaga-jaga. Ada juga sesekali bantahan nakal dari pemandu dan penumpang kenderaan melepasi kedengaran. Sekadar sepatah carutan tidaklah saya terlalu mempedulikan, namun jeritan seorang wanita "Hamas started it" sedikit memanaskan hati. Telusurilah sejarah, siapa pemula konflik berdarah?
Saya paling kagum dengan kemajmukan khalayak yang hadir. Rakyat Amerika yang berkulit putih kebanyakannya membawa sepanduk mendesak kerajaan mereka menghentikan bantuan ketenteraan kepada kerajaan Israel. Daripada helaian informasi yang diedarkan, saya tertarik dengan akta undang-undang Amerika sendiri yang melarang penggunaan bantuan ketenteraan daripada negara itu untuk tujuan jenayah kemanusiaan. Ternyata, Israel telah menyalahgunakan senjata dibekalkan Amerika. Namun atas dasar sekutu, kerajaan Amerika mengambil sikap berpeluk tubuh dan tidak ralat pula membenarkan genosaid di Semenanjung Gaza berleluasa.
Sebaik fajar merah pasca gelincir matari lenyap dari langit, azan dilaungkan menandakan masuknya waktu Isyak. Solat berjemaah diketuai imam yang mengalunkan bacaan-bacaan wajib dan sunat dalam solat bergema dengan bantuan pembesar suara di kaki bukit kecil State Capitol. Rakaat kedua, imam yang mengetuai teresak-esak menangis, sekaligus mencetus sendu di nubari saya jua. Saya terduduk di anak tangga, sambil mata didongak menduga langit Denver yang cerah. Bulan sabit tergantung tinggi memantul cahaya, seakan menghidupkan harapan bahawa keamanan dan kebebasan masih ada.
















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)




