Jun 26, 2009

Menyudahi Delima Ranting Senja, Menunggu Lentera Mustika





Delima Ranting Senja yang ranum dan enak dinikmati. Ia kisah cinta, cinta kepada agama, bangsa dan budaya. Tetapi ia jadi unik dan indah sekali dengan baur perjuangan dari jalan politik dan sukarela yang teguh dan dinamis.

Peri penting, ia juga secara peribadi menjawab beberapa kemusykilan saya tentang "orang-orang perjuangan" sebelum ini.

Pertama:
Tidakkah orang perjuangan yang masuk politik dan dinaikkan sebagai orang kerajaan akan mengalami conflict of interest? Selama manakah mereka mampu berlaku jujur ketika anak bangsa terus melarat sedang mereka pula enak-enak dijulang dan bermewah-mewah atas nama keringat rakyat?

Persoalan ini dijawab oleh Bonda Siti Zainon melalui watak AbyRedha yang pernah dipenjarakan sebagai pemberontak tetapi lelaki Seulewah itu kini menjadi menteri dalam dewan perwakilan kerajaan Indonesia.

Kedua:
Orang-orang yang berjuang sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan yang acap terbang ke sana-sini kononnya atas tiket membela bangsa - perjuangan jenis apakah itu? Tidakkah lebih afdal turun padang bergelumang selut bersama anak bangsa yang ingin ditolongi?

Persoalan ini dibangkitkan oleh Bonda Siti melalui beberapa kenalan Sofina dalam badan-badan bukan kerajaan yang kata mereka: "Kami sudah letih ke khemah-khemah pelarian."

Ketiga:
Bagaimanakah caranya untuk menjarakkan diri, maksud saya mencipta dua persona yang berbeza iaitu ketika di perbatasan menyelami resah derita anak bangsa dan ketika pulang menjalani rutin biasa di tempat kerja dan bersama keluarga? Perlukah berasa bersalah menghadap hidangan mewah sedang beberapa hari sebelumnya berkongsi bubur cair bersama anak-anak yang malnutrisi?

Persoalan ini jugalah rintihan AbyRedha, isterinya Sofina, Do Raman, Dr Aqran dan ramai lagi dalam naskhah hebat Delima Ranting Senja ini.


Saya sebetulnya mengambil masa yang agak lama untuk menyudahkan novel ini. Ia naskhah berat, terlampau sarat dengan elemen budaya sehingga saya terasa tepu kadang kala namun andai dinikmati dengan perlahan, kelazatannya berkekalan!

Kini saya menunggu kelahiran penuh novel Lentera Mustika karya Kak Nisah pula. Kata Pak Samad pada blurb naskhah terkini Kak Nisah yang pernah disirikan dalam majalah Aniqah itu, ia adalah kisah cinta golongan ilmuwan. Suatu pernyataan menarik yang menggamit!

Untuk Bonda Siti dan Kak Nisah, tahniah!

3 komentar:

Nisah Haji Haron said...

Ho! Ho! Ho! Jangan bandingkan Lentera Mustika dengan Delima Ranting Senja! Jauh bezanya.

Rebecca Ilham said...

Oh tidak, Kak Nisah! Cuma tersedar, kedua-dua berkisar tentang bagaimana para intelektual bercinta :D

ILHAM HAMDANI said...

Salam,

Saua sudah tempah Delima Ranting Senja dari UjanaIlmu. Teringin sangat untuk memiliki Lentera Mustika, tetapi tunggu pertengahan Julai lah nampaknya ..