Halus sekali laras bahasa dalam buah tangan terbaru Nisah Hj Haron, Lentera Mustika (LM). Secara teknikal novel ini tidak baru sebenarnya kerana ia pernah disirikan selama 37 bulan dalam majalah Aniqah, namun secara praktis, inilah kali pertama semua bab disatukan dalam sebuah naskhah.
LM secara peribadi saya tanggapi sebagai penanda aras baru Nisah Hj Haron dalam berkarya. Nisah sangat pintar bercerita dalam novel ini. LM bermula sebagai kisah cinta - Prof Madya Dr Ainur Mustika Nurdin sedang dalam dilema antara lamaran cinta dua lelaki: Rozario teman sejawat dan Zul Farhan bekas pelajar. Selain itu, di jari manisnya masih ada lagi cincin pemberian Syed Amirul Hakim dari Universitas Sriwijaya.
Namun selepas itu, saya melihat kisah cinta bersegi-segi ini mengambil tempat duduk belakang. LM selepas itu bergerak lancar dengan mengangkat perjuangan Ainur Mustika sebagai profesor Puisi Melayu Tradisional dari Fakulti Persuratan Melayu UKM yang komited untuk memartabat dan memasyarakatkan warisan bangsa.
Di sinilah kemahiran Nisah sebagai pencerita terpamer. Secara jujur, saya agak skeptis dengan sebuah novel yang berteraskan sebuah isu tunggal (dalam LM - puisi Melayu tradisional) kerana
how much can you write about one issue in a book? Ternyata LM menafikan tanggapan awal saya itu. Nisah memperkenalkan kepelbagaian. Misalnya, beliau bijak meregukan puisi Melayu dengan bidang undang-undang, dikupas melalui aspek hak cipta lalu dibawa terbang ke Shanghai dan dikaitkan pula dengan teks-teks silam pada zaman Melayu Melaka.
Di samping itu, Nisah turut membawa pembaca ke sebuah desa di Batu Berendam, Melaka di mana adat istiadat risikan, peminangan, pertunangan dan perkahwinan Melayu disampaikan dengan sungguh berseni sekali. Sebagai seorang yang agak lama tidak terdedah dengan resmi masyarakat kampung, saya terkesan dengan usaha Nisah mengajak khalayak melestarikan warisan masyarakat Melayu ini.
Persoalan tauhid juga menjadi teras yang menggerakkan LM. Ainur Mustika seorang wanita Muslimah yang percaya sepenuh hati dengan perancangan Tuhan dan ini dapat dilihat melalui setiap gerak-geri dan gerak hatinya. Solat dan doa adalah teman akrabnya. Maka tidak hairanlah jikalau ketentuan jodoh dan ajal diterima oleh Ainur Mustika tanpa sedikit pun mempersoalkan keadilan Tuhan. Saya jadi kagum dengan wanita istimewa ini!
Sebagai seorang pembaca kerdil yang tidak pernah dikecewakan oleh buah pena Nisah Hj Haron, saya sangat terhibur dan terdidik dengan Lentera Mustika. Novel ini meskipun sebuah prekuel kepada novel Nisah yang terdahulu iaitu Mencari Locus Standi, dan pengakhirannya sudah boleh ditebak, namun masih ada ruang di penghujungnya untuk pembaca berimaginasi.
Untuk Nisah, tahniah dan terima kasih!
*Dapatkan Lentera Mustika di
Ujana Ilmu!
0 komentar:
Post a Comment