Peluang untuk ke Kolej MARA Seremban (KMS) untuk berkongsi pengalaman sebagai penulis, pembaca dan bekas pelajar sastera (secara khususnya Language A1 Malay dalam program International Baccalaureate) dengan adik-adik yang bakal terbang ke luar negara bersama Fahd Razy (yang mengajak memeriahkan setelah Puan Azizah Ismail menjemput) dan Norshah merupakan satu distraksi yang amat dialu-alukan.
Selain berpeluang berkongsi sesuatu yang amat saya cintai (menulis karya sastera), kami juga berkesempatan ke kediaman Puan Nisah Hj Haron (Kak Nisah), pengarang terkenal yang baru 'melahirkan' novel baru berjudul Lentera Mustika, sekaligus membeli-belah buku di Ujana Ilmu.
Sewaktu kunjungan itu juga saya telah berpeluang berbual dengan CEO Ujana Ilmu, Encik Shukri (Abang Shukri) dan bapa Kak Nisah tentang kegagalan pelbagai pihak menghargai bakat-bakat muda dalam pelbagai kepakaran yang menjurus kepada penghijrahan para cendekiawan dan golongan profesional ke luar negara. Perbualan ini bermula apabila Fahd Razy, Penasihat Grup Karyawan Luar Negara (GKLN), penyair muda dan juga merupakan seorang graduan perubatan dari Royal College of Surgeon Ireland (RCSI) membandingkan rutin housemanship di Malaysia dan di Ireland.
Dan saya, selaku seorang yang 'dijanjikan' jawatan tetapi sering diketepikan oleh dolak-dalih birokrasi yang inkompeten - terpaksa bersetuju (meski lebih bersifat bias sebetulnya).
"Organisasi di Malaysia mudah berasa selesa. Ini menyebabkan mereka tidak mahu berusaha lebih kerana merasakan diri sudah cukup besar. Maka, tiada lagi peluang untuk mereka grow," kata Abang Shukri lebih kurang.
Saya tertarik dengan istilah grow itu sendiri. Grow, atau membesar dalam konteks ini tidak perlu dari segi saiz (dan ego) sahaja. Malah jikalau dalam konteks badan manusia, membesar secara fizikal tanpa imbangan sebenarnya fenomena tidak sihat. Kita seringkali berkias menyebut insan-insan berbadan besar sebagai "sihat." Istilah ini tidak tepat langsung, melainkan jikalau yang dirujuk itu seorang bayi kecil yang harus on time pada jadual tumbesarannya.
Oleh itu, saya percaya istilah grow di sini sebenarnya merujuk pembesaran aspek lain. Saiz (dengan mengambil organisasi yang sedang saya perangi secara dingin sebagai contoh) sudah menjangkau operasi antarabangsa - jadi apa lagi?
Sebagai bekas pelajar subjek pengurusan, saya suka sekali merujuk teori asas yang dikemukakan oleh Abraham Maslow iaitu Hierarchy of Needs. Menurut Maslow, keperluan manusia itu boleh dipecahkan kepada lima takah. Untuk mendaki takah yang di atas, takah yang di bawah mesti dipenuhi terlebih dahulu. Jika tidak, kata Maslow, manusia (atau spesifiknya pekerja) tidak akan bermotivasi untuk melakukan sesuatu. Takah-takah itu disusun dalam betuk piramid, tetapi saya hanya akan menyenaraikan semuanya di sini bermula dengan yang paling bawah.
1. Fisiologi: udara (untuk bernafas), makanan, air, seks, tidur dan membiak
2. Keselamatan: tubuh badan, di tempat kerja, keluarga, kesihatan, harta, moral
3. Kasih sayang: rasa tergolong (sense of belonging), persahabatan, perhubungan kekeluargaan dan intimasi
4. Harga diri (self-esteem): keyakinan, penghargaan terhadap pencapaian, menghormati dan dihormati
5. Penerimaan terhadap diri (self-actualization): takah paling tinggi yang berhubung rapat dengan naluri semulajdi manusia untuk menjadi yang terbaik
Maslow juga mengatakan adanya takah keenam iaitu self-transcendence iaitu keperluan spiritual.
Apabila memperkatakan tentang aspek
grow atau
growth, saya secara peribadi berpendapat Takah 4 dan 5 masih boleh dioptimumkan dalam mana-mana organisasi - sebagaimana besar dan selamatnya mereka secara fizikal.
Sikap selesa pada saya adalah barah - ia menjadikan manusia malas dan enggan keluar daripada kepompong. Kita sering mendengar banyak kali bagaimana maruah bangsa kita (baca: Melayu) dipersoalkan dan sikap (baca:
attitude untuk yang tak faham BM) kita dicela, tetapi apa yang kita lakukan untuk berubah? Perlu diingat, tak tumbuh tak melata kalau tak sungguh orang tak kata.
Oleh itu kita tidak perlu hairan apabila berlakunya fenomena aliran keluar otak-otak bergeliga (baca:
brain drain) ke negara-negara asing. Di Malaysia, ruang untuk membesar itu bukannya tiada, tetapi saya yakin para cendekiawan dan profesional yang 'menjual' kepakaran ini khuatir seandainya mereka berlama-lama di organisasi-organisasi yang egonya melambung selaras dengan ketinggian bangunan ibu pejabat, semakin tinggilah risiko untuk mereka juga menjadi selesa dan malas.
(Lalu saya melihat 'tarik-tali' antara saya dan sebuah organisasi yang tidak akan disebut namanya sebagai rahmah Tuhan. Selain mata dan hati saya terbuka, saya juga tertanya-tanya: mungkin Tuhan sedang melorongkan saya ke organisasi atau negara atau juga jalan kerjaya yang lain agaknya)