Pada Suatu Hujung Minggu Ramadhan...

...suara pecah tatkala tangan menyampaikan sedikit sumbangan sempena menerima gaji pertama kepada Emak.

"Banyak ni," Emak menolak.

"Tak apa," balas saya. "Raya dah dekat, Along tak sempat nak tempah kuih raya."

"Mak ambil sementelah Along beri," kata Emak lagi. "Tapi Mak simpan. Kalau putus belanja, jangan berdiam tak ada duit, minta ya," titip Emak.

Begitulah Emak, ingatannya terhadap kebajikan anak-anak diutamakan meski inshaallah saya mampu untuk berdikari. Sebetulnya ibu dan bapa saya tidak apa-apa jikalau saya tidak membantu mereka secara kewangan, tetapi sebagai anak, saya tidak sedap hati andai tidak mengongsi nikmat dunia yang dimungkinkan dengan pengorbanan kedua-duanya jua.

Tuhan, kuatkanlah azam agar tidak terputus sumbangan kecil setiap bulan kepada Emak dan Ayah!

Perkongsian Yang Terlambat

Grafik dari Berita Harian


Hujung minggu pertama setelah rasmi bertugas membawa khabar gembira dengan penyiaran cerpen "Angin Pada Mekar Kuntum Sakura" (Wind of the Cherry Blossom), cerpen yang diilhamkan di Colorado, diperam ranum sehingga masak di Jepun dan ditulis di Malaysia.

Ia berlatarkan Hiroshima Heiwa Kinen Koen, pada musim bunga sakura, antara seorang saintis fizik nuklear berbangsa Jepun dan seorang rakyat Amerika yang diburu dosa-dosa psikologi. Konsep psychological guilt ini mengganggu semenjak ia disebut seorang barrista di kedai kopi yang saya kerapi.

Karya ini masih terlalu banyak kekurangannya. Oleh itu saya berterima kasih kepada semua yang sudi membaca!

Klik sini untuk membaca Angin Pada Mekar Kuntum Sakura.

Banyak Jalan ke Syurga

Secara peribadi, saya rimas dengan kebanjiran karya-karya berlabelkan Islami dalam pasaran buku di Malaysia, tetapi tidak menawarkan sebarang gagasan pemikiran yang baharu untuk mencerdikkan masyarakat.

Apa bezanya novel cinta Islami, dengan novel-novel pop kontemporari, melainkan kisah-kisah cinta yang sah dan halal?

Saya pencinta buku, dan sebarang bahan bacaan yang bermanfaat. Sejak kecil, saya dididik oleh Emak dan Ayah bahawa buku dan bahan bacaan itu ilmu yang harus dihormati. Maka, saya sejak kecil ralat suka-suka menconteng buku, menyepahkan buku di atas lantai, duduk di atas buku, melangkahi buku apatah lagi memijak dan membakar buku. Buku-buku pada saya letaknya di tempat kedua selepas kitab suci Al-Qur'an.

Lalu semenjak kecil, saya sangat memuliakan para pengarang yang karyanya tersiar disiarkan di media cetak atau dibukukan. Pada saya, mereka selayaknya dihormati dan ilmu mereka tentunya tinggi kerana karya-karya yang terbit itu telah disaring dan dipilih oleh para editor yang arif. Buat makluman, saya diajar mengenal dunia penulisan kreatif oleh Emak dan Ayah melalui majalah Dewan Pelajar (DP) dan buku kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ayah pembaca tetap majalah Dewan Masyarakat (DM) ketika itu, maka setelah beberapa kali khatam DP, saya akan mengalih tumpuan ke ruangan Ulasan Buku dalam DM pula. Buku-buku terbitan DBP yang diulas itu kemudiannya akan saya cari rak perpustakaan sekolah. Emak pula pembaca majalah Wanita dan ruangan kegemaran saya ialah Makan Angin/Melancong dan Sejarah (kisah cinta agung Shah Jehan dan Mumtaz Mahal pernah disirikan dalam majalag Wanita dan saya masih ingat mempolemikkannya dengan sepupu yang berada dalam Tingkatan Enam ketika itu sementara saya berusia 9 atau 10 tahun).

Ketika itu saya sudah kenal siapa Faisal Tehrani, lewat antara cerpen-cerpen awalnya seperti Mencari Yun Mui (disiarkan dalam majalah Dewan Sastera mungkin 14 atau 13 tahun lalu). Lalu tanggapan saya begitulah: dunia penulisan kreatif, atau setepatnya dunia sastera itu takahnya tinggi, tetapi indah dan berwarna-warni. Saya juga melihat menulis karya kreatif tidak boleh sebarang. Karya kreatif bukan sahaja dibaca khalayak sebagai hiburan, tetapi juga pengkritik sastera. Dan, jikalau tidak mendapat perhatian pengkritik sekali pun, tidakkah penulis mempunyai tanggungjawab sosial untuk mencerdikkan pembaca yang telah membeli naskhah media yang berkenaan yang menyiarkan karya kreatif tadi?

Oleh itu, salahkah andai saya berasa kesal, sedih dan kecewa dengan kebanjiran karya-karya yang tidak mengangkat tugas mencerdikkan khalayak dalam pasaran buku di Malaysia pada hari ini?

Isu ini telah ditulis banyak kali dan tulisan saya ini hanyalah gema sebetulnya. Kehadiran novel-novel cinta Islami yang(majoritinya) mengangkat keluh-kesah golongan berpendidikan aliran agama yang bercinta secara 'halal' sebagai alternatif kepada novel-novel pop secara peribadi sudah mencapai tahap memualkan.

Apabila dipersoalkan, jawapannya adalah gema juga: ini kisah cinta yang baik-baik, cerita tentang Islam. Hah, tak takut berdosa mempertikaikan cerita tentang Islam?!

Terdapat falasi yang harus diperbetulkan pada retorik di atas. Saya tidak pernah mempertikaikan Islam, tetapi saya mempersoalkan sisi Islam yang ditampilkan. Apa untuk mengecap syurga itu hanya dengan menjadi seorang isteri solehah dan ibu mithali?

Masih terlalu banyak persoalan ummah yang membelenggui umat Islam yang perlu digali, diangkat, dipolemikkan dan diselesaikan. Mengapa harus disempitkan tema karya berunsur Islami itu dengan bumbu cinta? Iya, kehadiran cebisan wacana di sana-sini itu ada, tetapi perlu diingat - yang dikenang sepanjang dan selepas pembacaan itu apa? Kalau hebatnya Fahri sebagai lelaki rebutan ramai gadis (contoh) sehingga tenggelam discourse bersama Alicia di dalam gerabak Metro, maka rasanya gagasan wacana perbandingan agama (yang sudah jadi tema klise pun pada pendapat saya) belum berjaya.

Sebagai contoh lagi, saya melihat Tawassul karya Isa Kamari sebagai definisi karya sastera Islami yang sangat hebat. Gagasan pemikiran yang diketengahkan bergarda depan (avant garde) dan sangat membanggakan untuk dibawa ke peringkat antarabangsa serta diperkenalkan sebagai karya yang mencerminkan intelektualiti penulis beragama Islam yang bukan sahaja beramal dengan anutannya, tetapi peka terhadap permasalahan ummah.

Titik!