Jan 25, 2010

BICARA TUNAS, Tunas Cipta Februari 2010 dan Cerpen HARAPAN DI HUJUNG CEBIS DOA, Dewan Siswa Februari 2010




Tetapi kira-kira dua setengah musim yang lalu di Amerika, lebih sembilan ribu batu dari tanah nurani kecintaan, saya berazam untuk tidak lagi menjadikan pengajian akademik sebagai alasan. Dengan tekad untuk menukang karya-karya yang lari daripada tema konvensional, saya mengekploitasi peluang belajar di Colorado, Amerika dalam bidang kejuruteraan petroleum sebagai modal untuk menukil cerpen-cerpen yang berlegar sekitar tiga tema: agama, politik dan sejarah yang disuntik sentuhan fakta sains dan aplikasi teknologi.

Bicara Tunas
Rebecca Ilham
Tunas Cipta Februari 2010







Nurnilam menurunkan kaca mata gelap lalu garang mencekak pinggang. Lukman meneguk liur yang terkumpul di pangkal lidah. Sepasang iris coklat cair itu persis benar sirna bebola mata kepunyaan gadis juvana yang pernah dipanggilnya Nil sahaja. Tetapi Nil dewasa ini tidak lagi menyahut huluran salamnya sebagai Nurnilam. Sebaliknya dia memperkenalkan identiti sebagai Nori Takeda, beliawanis Jepun pemilik Takeda Kobe Beef Cattle Farm, pengusaha ternakan lembu daging Kobe termuda di Jepun semenjak ditabalkan sebagai waris tunggal ladang milik keluarga sebelah ibunya semasa berusia 17 tahun.

Harapan di Hujung Cebis Doa
Oleh Rebecca Ilham
Dewan Siswa Februari 2010


Alhamdulillah. Segala pujian untuk Tuhan Yang Maha Pemurah atas kurniaan rezeki yang berturut-turut. Malah pada bulan Februari - bulan kelahiran saya dan Ayah (saya lahir pada hari ulang tahun bapa) - rezeki itu terlipat ganda. Terima kasih kepada para editor di Bahagian Majalah DBP atas peluang, ruang dan kepercayaan. Jasa kalian selamanya tidak akan mampu saya balas selayaknya.

Meski DBP bergelut dengan isu yang pelbagai, saya tidak dapat menafikan peranan badan berkanun ini dalam tatih-tatih awal bergelar pembaca sebelum mula menulis. Jikalau tidak kerana majalah Dewan Pelajar yang Ayah bawa pulang suatu hari semasa saya belum pun menginjak alam sekolah rendah, juga antologi cerpen dan puisi kanak-kanak yang saya khatam dan hafal tanpa jemu sebelum beralih kepada majalah-majalah dewan yang lain selaras dengan peredaran usia, mungkin saya tidak menjadi manusia seperti hari ini. Bahkan, karya pertama saya di media juga terbitnya di majalah Dewan Siswa - sebuah puisi kecil yang pernah diulas Dr Rahman Shaari.

Justeru, terbitnya cerpen Harapan di Hujung Cebis Doa (Harapan) di halaman licau majalah Dewan Siswa Februari 2010 sebetulnya adalah penghormatan yang amat saya hargai. Cerpen ini merupakan cerpen saya yang kedua di DS, selepas Di Bawah Langit Manchester (Dewan Siswa, Januari 2008) yang saya tidak pernah berkesempatan menatapnya dalam versi cetak. Harapan ditulis sewaktu saya sedang menganggur setelah pulang dari Amerika. Dalam perjalanan panjang terbang merentas benua itu, saya singgah selama sepekan di Jepun. Kobe yang menjadi latar cerpen Harapan sempat saya singgahi selama dua kali - saya jatuh cinta dengan landskapnya serta keunikannya maka terhasillah cerpen ini untuk mengabadikan kenangan indah itu.

Selamat membaca, dan terima kasih atas sokongan anda!

0 komentar: