Apr 25, 2010

Cerpen MOMIJI MUSIM RONTOK di Berita Harian 25 April 2010



“Selepas tragedi ngeri pengeboman nuklear Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1946, dunia menjadi lebih sensitif dengan sepatah istilah berbunyi ‘nuklear.’ Natijahnya, selain penubuhan agensi nuklear di bawah panji PBB seperti aku sebutkan tadi, beberapa kuasa besar seperti Amerika Syarikat, garang menghalang negara-negara lain terutamanya wilayah-wilayah dunia ketiga di Asia yang sedang membangun untuk membina teknologi nuklear sendiri. Iraq sebagai contoh, telah dijarah secara ketenteraan kerana disyaki sedang membangunkan senjata pemusnah besar-besaran, sementara Iran yang baru melancarkan aktiviti pengayaan uranium pula diarah agar menghentikannya serta-merta biarpun Presiden Ahamadinejad berkali-kali menegaskan tiada sebarang senjata akan dibina, atau bakal menghadapi risiko dipulau di peringkat antarabangsa.”

“Tindakan Amerika berasas. Sebagai negara yang pernah melakukan kesilapan, ia tentunya enggan melihat sejarah tragis berulang.”

Hanim mencebik. “Sesetengah lagak, ciptaan negara ingkar semacam Amerika perlu dibaca lebih dalam daripada nilai muka, Ryu-chan. Amerika mempunyai propaganda tersembunyi untuk memastikan gelaran polis dunia tidak tergugat. Jikalau masih ragu, renungkan pula mengapa hanya negara-negara Islam dilarang memiliki teknologi nuklear?”



Momiji Musim Rontok
Oleh Rebecca Ilham
Berita Minggu, 25 April 2010

Alhamdulillah. Saya sudah mula tidak senang duduk, mencemburui karya teman-teman lain yang saban minggu dan bulan tersiar di pelbagai media lalu Tuhan mengirimkan rezeki melalui cerpen "Momiji Musim Rontok."

Cerpen ini ditulis selepas "Ligamen Luka di Timur Tengah" yang tersiar dalam sisipan Sabtu akhbar Berita Harian Januari lalu. Masih menggunakan medologi persekitaran menulis yang sama - komputer riba di birai katil bujang (milik sepupu sewaktu zaman beliau mula-mula bekerja dahulu) dan saya bersila di lantai, tak silap saya selama seminggu selepas pulang dari pejabat. Kurang ingat pula jikalau ketika ini saya sudah mula alergik dengan sesuatu (belum tahu apa puncanya kerana saya asyik menangguhkan temujanji dengan pakar), jikalau sudah maka dengan betis dan lengan bengkak merah yang merengsakan amat.

"Momiji" dicetuskan oleh program pengayaan uranium Iran yang mula memberikan impak - kepada pembangunan teknologi negara itu secara khususnya dan dunia Islam amnya serta implikasi keberanian Presiden Ahmadinejad membangkang larangan Amerika secara tindakan.

Saya bahkan sebak apabila mendengar laungan Allahuakbar bergema di dalam makmal nuklear Iran melalui tayangan footage siaran berita waktu perdana. Dan seperti kelaziman, saya maklum bahawa saya tidak akan tenang selagi tidak menulis tentang sesuatu yang telah menyentuh emosi saya ini.

Maka lahirlah "Momiji," sebuah cerpen yang agak menyeksakan untuk disiapkan. Pernah saya hampir putus asa dan hampir meninggalkannya sekerat jalan. Latar di Jepun pada musim luruh kurang mesra pada awalnya, tetapi mujur Tuhan mengurniakan kekuatan untuk saya meneruskan jua.

Terima kasih editor atas perhatian. Terima kasih juga kepada para pembaca. Cerpen ini masih banyak lompang dan cela, but it was the best that I could do at that time with the resources I had in hands. Semoga ia bermanfaat untuk anda dan saya. Amin.

3 komentar:

unclejoe said...

salam...syabassss saya selalu mengikuti blog beckyilham...jenguk jenguk tk mahu lepas peluang entry baru diketahui sewaktu segar...mcam mana saya ingin dptkan semua cerpen yg pernah teriar di akhbar? ada kat online ke?

Anonymous said...

Tahniah! Makin menyhengat!

Rebecca Ilham said...

Salam Uncle Joe,
terima kasih atas perhatian. Inshaallah, kumpulan cerpen persendirian saya akan terbit dalam tempoh terdekat ini.


Tanpa Nama,
terima kasih!