Salah satu sepanduk pada demonstrasi kecemasan berhadapan Colorado State Capitol pada awal Januari 2009.Kredit gambar: Mohd Afiq Ishak
Tragedi kapal Mavi Marmarra, sebuah daripada kumpulan armada bantuan hayat kemanusiaan Freedom Flotilla ke Gaza, Palestin diserang soldadu Zionis awal pagi ini meruapkan marah segala macam pihak. Namun seperti kelaziman, acap pula luapan emosi mendominasi reaksi dan retaliasi.
Ya, baguslah kerana kita berkesedaran dengan masalah sosial dalam masyaraat dunia masa kini. Tetapi cukupkah hanya sekadar berkesedaran dan melaung-laung sehingga perit anak tekak menyumpah pihak itu dan ini sedangkan sepatah haram solusi pun tidak diutarakan?
Kita menyeranah Liga Arab, Amerika dan tentunya entiti HARAM bernama Israel yang ditegakkan oleh gerakan politik Zionisme nan licik, sedangkan pada masa yang sama, kitalah antara pihak yang mengecam sambil membungkam itu. Selalu juga seranahan kita itu tidak pun politically-correct seperti pemenang Hadiah Nobel Keamanan Mutakhir Barack Obama yang punya kepentingan di kedua-dua belah, sehingga menyiat perasaan sesetengah pihak (seperti penganut Yahudi yang anti-Zionis atau individu yang memilih untuk tidak mencanang-canang keprihatinannya sedangkan dia boleh jadi sejuta kali lebih prihatin daripada anda yang hanya lantang apabila berlaku insiden-insiden semacam ini).
Saya kira sudah tiba masanya kita membebaskan diri daripada reaksi dan retaliasi 'di angin lalu.' Kita tak mahu jadi Liga Arab (terutamanya Mesir), kan?
Masyarakat dunia kontemporari, terutamanya di pihak-pihak berkecuali, mendamba justifikasi dalam setiap tindakan sebelum memutuskan untuk menyokong kita atau tidak. Secara jujur, anda ingat si penganut Yahudi yang anti-Zionis itu nak dengar cakap anda yang masih BUTA membezakan antara Yahudi dengan Zionisme?
Reaksi dan retaliasi kita perlu 'terpelajar.' Apabila kita memekik bahawa Israel itu entiti HARAM, kita mesti punya jawapan untuk menyokong pernyataan kita itu. Kenapa Israel itu HARAM? Prinsip apa dalam perlembagaan negara HARAM yang terus-terusan menjarah wilayah Palestin secara HARAM itu membenarkan kata-kata kita bahawa ia sebuah entiti TIDAK SAH?
Malah, kalau dibentangkan fakta tentang prinsip kewarganegaraan Israel yang mengambil prinsip jus sanguinis (seperti yang dipraktiskan Jerman di bawah pemerintahan Hitler suatu masa dulu), saya yakin ramai warga dunia yang bisa dibalikkan hatinya menjadi pro-Palestin. Ini boleh dipolemikkan dengan lebih lanjut lagi - hah, bagaimana sebuah 'negara' etnokrasi boleh pula mengaku mengamalkan demokrasi (melalui pilihanraya yang menyekat rakyatnya sendiri yang berbangsa Arab dan beragama Islam bertanding)?
Bukanlah saya mengatakan tidak boleh berkata-kata, atau berdemonstrasi. Malahan dialu-alukan. Cuma jangan sampai hanyut oleh emosi sehingga reaksi dan retaliasi kita - bakar-bakar, panjat-panjat pagar kedutaan, maki-hamun Yahudi (sehingga dipukulrata semua Yahudi itu Zionis, hey saya ada kawan Yahudi tahu, malah pernah makan malam Passover di rumahnya!) - hanya sekadar retorik. Sudah tiba masanya kita menyelesaikan masalah dan tidak hanya mengeluh tentangnya!
















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)





1 komentar:
couldn't agree with you more.
thanks for the sharing.
=)
Post a Comment