May 29, 2010

Meneroka Media Baru


Galeri PETRONAS di hujung Aras 3, Suria KLCC saya lewati hampir setiap hari, namun melainkan kunjungan terakhir pada bulan Ramadhan yang lalu, saya belum berkesempatan untuk berkunjung lagi meski pameran baru silih berganti.

Namun syukur semalam, pada cuti umum Hari Wesak, saya sempat melangkah masuk ke galeri seni halus yang disediakan percuma oleh PETRONAS sebagai memenuhi tanggungjawab sosialnya memandaikan bangsa untuk meladeni pameran NOVA: Meneroka Media Baru yang telah bermula sejak 1 Mei yang lalu.

Pameran ini menampilkan integrasi lima komponen:

1. Pameran Haroshi yang menampilkan arca serta objek seni yang dihasilkan daripada papan luncur terpakai

2. Alat Permainan Devilrobot ciptaan lima pereka muda dari Jepun - antara watak popular masa kini adalah Tofuku Kubrick (diilhamkan dari tofu yang putih dan lembik itu), juga Muffy yang diilhamkan dari marshmallow

3. Festival DOTMOV, iaitu tayangan sebahagian daripada filem-filem digital dari seluruh dunia yang bertanding dalam festival fielm digital anjuran majalah Shift dari Jepun

4. Penangkap Bayu, kerja unik oleh Super Nature Design dari Shanghai yang mengaplikasikan tenaga angin untuk menghasilkan karya seni (ulasan lanjut di bawah)

5. Pameran Pendigitan yang menampilkan pelbagai interpretasi grafik oleh para artis yang bergiat di dunia siber


Komponen yang paling menarik perhatian saya ialah #4 - Penangkap Bayu yang lokasinya nun di hujung galeri. Sudahlah terpencil, pencahayaan di situ sengaja diminimumkan dan ada pula iringan instrumental yang menenangkan. Untuk menikmati kerja seni bikinan tiga anak muda yang berpejabat di Shanghai itu, pengunjung dikehendaki meniup kipas kecil yang didirikan bertentangan dengan skrin putih besar.

Saya tidak pasti dengan proses sains yang berlaku, tetapi apabila kipas berputar, imej di skrin akan turut berubah warna dan resolusi. Malah, kalau terlebih 'sembur', bintik-bintik seni akan turut terakan di skrin. Erk, air liur kot? Hahahah.

Hasil penelitian, saya dapati kipas kecil itu disambung dengan wayar panjang yang destinasi akhirnya pada projektor di pepenjuru siling. Barangkali, tenaga kinetik dari angin yang menggerakkan kipas telah ditukarkan menjadi tenaga elektrik (melalui generator kecil agaknya?) sebelum dilalukan kepada hablur cahaya sebelum dipampang pada skrin.

Konsep ini bukan sahaja membawa nafas baru dalam interpretasi seni, tetapi juga menggabungkan seni dengan sains. Dari spektrum falsafah ilmu, seni dan sains digolongkan sebagai dua bidang yang letaknya dalam polar yang berlawanan. Boleh jadi interpretasi ini merupakan satu alternatif untuk meruntuhkan tafsiran ilmu mengikut kaca mata filosofis Barat?

Tahniah untuk Galeri PETRONAS kerana mendekatkan seni dengan pelbagai lapis khalayak. Ya, Seni Untuk Semua!



(Saya kepingin ke RA Fine Arts Gallery di Jalan Aman, tetapi tidak pasti dengan pameran yang sedang berlangsung. Boleh sesiapa tolong beri pencerahan?)

2 komentar:

Rahimidin Z said...

PARANOIA - AZAM ARIS: DRAWING WORKS di RA dari 1 Jun hingga 15 Jun 2010.
Pembukaan pada: 7 Jun 2010, jam 8.15 malam.

Rebecca Ilham said...

Terima kasih Abang Din!