Dada saya bergetar hebat tatkala Mak Cik Masako mengeluarkan serangkai senbazuru daripada tas yang dikeleknya dari tanah besar.
“Seribu burung jenjang?” Saya bertanya, memastikan sekaligus. Kamera besar di tangan yang teracu pada imejan lentera lama bergantungan di tiang-tiang bumbungan kairo saya matikan kuasanya. Dahi saya berkerut, seribu garis juga. Mak Cik Masako saya lihat menggigit bibir, melarikan senzaburu, seribu lipatan origami burung jenjang daripada washi pelbagai corak dan warna ke belakang tubuh.
“Kamu percayakan ikhtiar bukan, Sophia? Inilah usaha mak cik, untuk kamu.”
Seribu Burung Jenjang
oleh Rebecca Ilham
Tunas Cipta, Ogos 2010
“Sungguh pun begitu kak, tulisan rumi kini diterima sebagai media persembahan utama bahasa Melayu sehingga ia nazak di Malaysia dan telah lama terkubur di Indonesia. Tetapi di Jepun, tulisan romaji hanya digunapakai untuk memudahkan para pelancong asing sahaja. Sedang di Malaysia, tulisan jawi tidak pernah serius dinobatkan kedudukannya sebagai warisan bangsa dan budaya. Sebaliknya, ia diperkotak-katikkan pula statusnya oleh pihak penguasa.”
Gerabak digegarkan lagaan roda besi kereta api dan perubahan rel landasan. Koike mencuit, menuding ke luar tingkap lutcahaya yang dikelamkan balam langit sesudah senja. Nostril Kirana segera diterpa hanyir payau air laut. Kereta api telah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai yang dibina di atas tambakan pulau sepenuhnya dan kini meluncur menuju ke daratan.
“Sungguh pun begitu kak, tulisan rumi kini diterima sebagai media persembahan utama bahasa Melayu sehingga ia nazak di Malaysia dan telah lama terkubur di Indonesia. Tetapi di Jepun, tulisan romaji hanya digunapakai untuk memudahkan para pelancong asing sahaja. Sedang di Malaysia, tulisan jawi tidak pernah serius dinobatkan kedudukannya sebagai warisan bangsa dan budaya. Sebaliknya, ia diperkotak-katikkan pula statusnya oleh pihak penguasa.”
Antara Dua Kaligrafi
Oleh Rebecca Ilham
Dewan Budaya, Ogos 2010
Alhamdulillah. Menjelang Ramadhan, pintu rezeki juga dibentangkan Tuhan. Ogos 2010, dua cerpen saya telah terbit di dua majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cerpen pertama adalah "Seribu Burung Jenjang" dalam majalah Tunas Cipta. Terima kasih kepada Puan Zaiton Abu Samah dari Bahagian Majalah, DBP yang menguar-uarkan berita baik ini di laman sosial Facebook pada minggu kedua akhir bulan Julai. Seminggu kemudian, kiriman majalah daripada bahagian editorial selamat saya terima. Terima kasih!
Sebagai latar, cerpen ini diinspirasikan kembara ke Hiroshima, Jepun tahun lalu. Saya ke Pulau Miyajima setelah disarankan oleh penumpang sebelah dalam kapal terbang (Los Angeles - Narita) yang berbangsa British tetapi telah lama menetap di negara matahari terbit. Katanya, pulau itu sangat cantik. Ketika itu, saya belum tahu bahawa Miyajima merupakan Nihon Sankei, iaitu satu daripada tiga panorama paling indah di Jepun. Namun itu bukanlah penghalang untuk jatuh cinta terhadap pulau 'suci' ini (lanjut tentang ke'suci'an Miyajima saya sentuh dalam cerpen Momiji Musim Rontok yang terbit dalam Berita Harian) lalu berasa di'tuntut' untuk mengabadikannya dalam karya.
Senbazuru sengaja saya pilih kerana perkaitannya dengan mangsa-mangsa tragedi pengeboman nuklear di Hiroshima. Ia juga tempias dunia sastera Jepun; salah satu mahakarya Yasunari Kawabata, penulis Jepun pertama yang memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 1968 menggunakan judul yang sama.
Manakala cerpen kedua, "Antara Dua Kaligrafi" pula terbit di Dewan Budaya. Tidak seperti cerpen pertama yang awal diketahui khabar gembiranya, saya baru mendapat tahu tentang penerbitan cerpen kedua sepulang dari pejabat sebentar tadi setelah majalah hadiah sidang editorial tiba hari ini. Alhamdulillah, cerpen ini mendapat tempat juga di Dewan Budaya - antara majalah terbitan DBP yang belum ditembusi.
Proses kreatif cerpen ini sedikit istimewa. Ia dimulakan di Osaka, Jepun pada hari ketiga akhir kembara ketika saya berteleku makan okonomiyaki - sejenis hidangan tradisi Osaka - seperti saranan Nori, petugas di hostel pengembara yang saya tumpangi. Mukadimah cerpen ini sebetulnya dicetuskan teguran teman yang belajar di sana, apabila saya salah menyebut mengikut ejaan romaji. Maka saya membayangkan, sepasang adik-beradik yang tersepit antara dua identiti budaya dan merasakan tidak mampu untuk menguasai kedua-duanya. Itulah Kirana Akira dan Muzammil Koike!
Begitulah, serba-sedikit tentang kedua-dua cerpen yang mendapat tempat di media pada bulan Ogos 2010 ini. Alhamdulillah, rezeki pra-Ramadhan barangkali. Juga menoktahkan cerpen-cerpen Jepun yang belum terbit (ada satu dalam simpanan tapi saya sendiri merasakan cerpen itu hampeh). Saya akan membawa latar dan tema baru, inshaallah. Doakan saya, dan semoga kedua-dua cerpen kali ini bermanfaat untuk kita. Amin.
(Tidak sabar menunggu ulasan Dr Siti Hajar Che Man untuk "Seribu Burung Jenjang" dalam Tunas Cipta bulan September!)


















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)





0 komentar:
Post a Comment