Aug 17, 2010

Tidak Perlu Menulis Kerana Duit


*Entri ini dicetuskan entri di blog Nisah Haron*


Saya kurang gemar ditanya, "Menulis ni dapat duit ke?" Apabila saya mengiyakan, si tukang tanya akan terbuntang dan menyambung dengan pertanyaan lagi, "Berapa?"

Saya barangkali kolot dan tidak berfikiran komersil. Saya tekad aktif menulis tanpa memikirkan pulangan kewangan. Barangkali, saya sejak kecil sudah ditanamkan doktrin agar bekerja makan gaji dan menulis di masa luar pejabat sahaja. Sewaktu bersekolah, saya tegar mengenepikan minat terhadap dunia penulisan dan taksub menghadap/melahap buku-buku pelajaran. Maka, saya tidak risau sekiranya menulis tidak mampu memberi saya makan.

Tetapi saya harus akui, duit honorarium yang diterima apabila karya mendapat tempat di media mempunyai kegunaannya yang tersendiri. Saya tidak pernah merasai duit honorarium sepanjang dua tahun pertama menulis secara serius. Sewaktu cek honorarium sulung diterima di rumah keluarga, saya berada di Amerika Syarikat dan hanya pulang dua tahun kemudian. Maka cek-cek yang diterima didepositkan terus bapa ke dalam akaun saya. Pernah terdetik di hati untuk membelikan emak sesuatu di tanah air sempena Hari Ibu, atau hari lahirnya, tetapi kerana cek tidak boleh ditunaikan melainkan oleh tuan empunya nama, maka wang honorarium itu dipendam sahaja dalam akaun bank.

Selepas dua tahun, alhamdulillah, jumlah yang terkumpul dapat menampung serba-sedikit kecanduan saya terhadap buku sementara mula bekerja tetap, serta sebahagiannya digunakan untuk menyediakan keperluan seorang pekerja di pejabat.

Setelah bekerja, selain disimpan dan dibelanjakan di toko-toko buku, aset persendirian pertama saya - sebuah rak buku - dibeli menggunakan duit honorarium. Pernah, tatkala keadaan kewangan sedikit sesak dan saya memerlukan beg tangan untuk menggantikan yang sudah koyak, cek honorarium diterima, lalu dibelanjakan untuk membeli beg baru (dan bakinya sebuah buku :D).

Alhamdulillah. Saya tidak menulis untuk pulangan dalam bentuk mata wang tetapi Tuhan telah banyak kali memudahkan lorong rezeki dalam definisi yang pelbagai, termasuklah makna yang sangat literal ini. Allah Maha Besar.

1 komentar:

srirahayumohdyusop said...

Salam Becky,

Well done! I agree. Because money just makes writing feels like homework.