Antara banyak-banyak sesi di Seminar Pencinta Buku 2010 anjuran bersama BukuOnline dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) Selasa lalu, slot yang menjadi pilihan saya untuk dikongsi dengan penuh keterujaan dengan teman baik adalah Bicara Tokoh yang menampilkan Ustaz Abdullah Al-Qari dari Kubang Kerian, Kelantan. Pilihan itu berlaku di bawah sedar sebetulnya. Dan kata Afni, kerana beliau yang saya sebut dahulu, itu bererti pengisian slot berkenaan mempunyai impak tersendiri ke atas diri saya.
Barangkali benar.
Sejarah panjang penglibatan Ustaz Abdullah dalam dunia perbukuan selaku penulis, penterjemah, penerbit yang memasarkan buku-bukunya mengagumkan saya. Beliau telah menulis dan menterjemah sejumlah 350 buah buku sejak berusia 15 tahun sehingga mencecah umur 73 tahun kini. Menurutnya, beliau mula menulis setelah didatangi Rasulullah SAW dalam mimpi dan baginda telah menyuruh beliau agar mempelajari tentang agama Islam.
Tema buku-buku terjemahan dan tulisan beliau tidak terhad kepada hal-hal agama semata-mata, tetapi Ustaz Abdullah juga pernah membukukan koleksi perkataan loghat Kelantan yang dikumpul selama beberapa puluh tahun sebagai Kamus Pertuturan Loghat Kelantan. Kamus ini pernah digunakan sebagai rujukan di sebuah universiti di Jerman, dan juga Indonesia. Ketika beliau mengongsi kisah ini, saya berasa sangat rendah diri kerana sebagai seorang anak Kelantan, saya sendiri sudah tidak berapa fasih bertutur dalam loghat daerah kelahiran setelah merantau, namun tidak pula berusaha mengambil balik kehilangan itu. Sedangkan bangsa asing tekun menelaah tentangnya.
Atas kapasiti seorang penulis pula, saya tersentuh hati apabila Ustaz Abdullah menitipkan bahawa setiap tulisan kita yang baik-baik merupakan 'jalan pintas' untuk mendapatkan pahala. Beliau juga menyatakan bahawa takdir seseorang menjadi penulis itu merupakan ketentuan Allah. Bahkan setiap karya kita yang telah dan akan ditulis, telah pun disuratkan oleh perancangan Tuhan di Luh Mahfuz sejak azali lagi.
Saya kemudiannya sebak tatkala Ustaz Abdullah menceritakan jawapannya apabila ditanya seseorang tentang waktu rehatnya. "Dalam kubur," balas agamawan yang kuat membaca ini. Beliau memberitahu bahawa budaya membaca dipupuk di kalangan anak-anaknya kerana selain isterinya (yang pernah menang anugerah ibu mithali di Kelantan) juga pembaca tegar, anak-anak sejak kecil sering mengasosiasikan abah mereka dengan buku, atas kedudukan tetapnya di meja sama ada untuk membaca atau menulis. Ustaz Abdullah turut menubuhkan Perpustakaan Al-Qari di Kelantan yang mengumpulkan banyak bahan-bahan rujukan penting sehingga pernah dikunjungi sarjana-sarjana dari luar negara untuk tujuan kajian.
Ya, begitulah dapatan saya daripada sesi pendek bersama Ustaz Abdullah Al-Qari yang sederhana sekali orangnya. Syed Munawwar yang bertindak sebagai moderator pernah berkunjung ke rumah dan perpustakaan Ustaz Abdullah semasa menuntut di UIA memberi testimoni untuk perkara ini. Semoga Tuhan melimpahkan kekuatan untuk agamawan ini terus menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Amin.
PRAPROMOSI II
5 days ago
















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)





2 komentar:
Salam.
Unfortunately I didn't stay for this special session, had to rush off for my night class.
Tulisan ini membuat saya tersentuh :)
Post a Comment