
Kenangan menulis sepenuh masa, musim panas tahun 2008
Sewaktu mula menulis secara serius pada permulaan musim panas tahun 2007, saya tidak pernah memikirkan situasi paling kondusif untuk produktif menulis. Ketika itu, selaku pelajar tahun dua kemudian tahun tiga yang disibukkan kelas, makmal dan kerja kursus, menulis merupakan aktiviti 'selit-selit' antara desakan keripuhan.
Namun pada musim panas tahun 2008, saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke tanah air. Pada mulanya, saya merancang untuk mengambil satu kelas pada semester pendek tiga bulan berkenaan tetapi mengenangkan rencana kembara, dan jadual kelas yang padat (ujian pada setiap minggu - apakah??) maka saya menggugurkan kelas subjek Ekonomi berkenaan dan bertekad untuk menulis sepenuh masa.
Pada dua bulan bebas kuliah dan komitmen akademik inilah baru saya menyedari habit semulajadi sendiri sebagai seorang penulis.
Seperti AL Kennnedy yang mengongsi hari menulis ideal melalui artikelnya
If my ideal writing day existed, this would be it, saya juga bukanlah
morning person. Meski pun saya bangun awal pagi, otak saya belum berfungsi sepenuhnya untuk menangani kerja-kerja kreatif. Ya, selepas secawan kopi saya boleh mengulangkaji atau masuk kerja, tetapi untuk menukang cerpen - jauh sama sekali. Paling kuat pun, saya akan buka dokumen yang ditinggalkan malam sebelumnya dan cuba-cuba membaca tetapi pasti akan ditinggalkan tanpa sambungan atau suntingan yang signifikan. Pernah sekali pada bulan Ramadhan yang lalu, saya lebih rela mengemas kamar dan rumah daripada menulis sebelum jam 12 tengah hari.
Sepanjang siang menuju ke malam, andai boleh diplot di atas graf bar, kadar produktiviti kreatif saya akan menaik. Ini tidak kiralah sama ada saya menyelidik bahan penulisan, atau menulis penuh. Ia akan tiba ke kemuncak selepas Maghrib. Oh ya, saya suka menulis berhenti-henti juga; sama ada untuk solat, makan, menonton tivi, membaca atau beriadah. Kadang-kala, apabila saya merasakan saya menulis dengan terlalu laju, saya akan sengaja berlengah. Menulis juga seperti membaca buku yang hebat - prosesnya adalah pengalaman yang perlu dinikmati. Saya selalunya akan tidur lewat, melepasi garis waktu hari seterusnya.
Sementelah itu, rutin yang sama akan berulang. Namun selepas bekerja (hanya sempat menganggur selama dua bulan yang dimanfaatkan untuk merakam pelbagai nostalgia mengembara di Jepun ke dalam karya kreatif sebelum basi), kesempatan seperti ini tidak lagi mampu saya kecapi. Rutin menulis hanya akan bermula pada jam 8 malam, dan lazimnya ditangguhkan paling lewat pada jam 12.
Barangkali oleh sebab itu jugalah saya kurang produktif tahun ini. Menulis juga menjadi suatu proses tergesa yang perlu dipaksa sehingga saya banyak kali menyoal diri: aku ini sudah tulikah, sehingga tidak ada satu pun isu yang menyentuh rasa?
Meski kurang ideal, saya bertekad untuk tidak pasif mengharapkan ilham 'turun dari langit.' Sebaliknya, mesti proaktif memilih isu, menyelidik, membaca, mencipta cerita lalu menulis tentangnya tanpa perlu menunggu kesempatan sempurna.
Rutin menulis anda bagaimana? ;)
2 komentar:
Begitulah nasib bila dah bekerja. Bukan sahaja rutin menulis, rutin membaca pun terganggu. Bawa buku ke pejabat untuk dibaca kononnya, tapi bukunya lari entah ke mana. Ambil cuti panjang dengan niat nak menulis sahaja pun tak menjadi juga. Maka kembalilah kepada agenda menulis selit-selit :-)
Bila difikirkan kembali, inilah yang dikatakan quality vs quantity. Heh, yang penting jangan berhenti, memang akan ada turun naiknya..kan???
Ya, kekangan masa. Sibuk dengan pelajaran-menghafal kanji, lambakan assignment dan sebagainya.
Selalunya saya hanya akan menulis apabila tiba cuti panjang seminggu dua.
Kadang-kadang ilham datang melimpah, tapi terbuang basi, kerana kesibukan.
semoga diberikan ilham untuk terus menulis..
Post a Comment