Sep 21, 2010

Tanggapan Pendek Tentang Impuls/Roh

Lama saya menangguhkan, pernah pula berkeputusan untuk tidak menulis apa-apa tentangnya. Tetapi balik-balik saya terkenang, maka terbitlah entri ini yang akan memperkatakan tentang tanggapan saya terhadap buah tangan terbaru Sri Rahayu Mohd Yusop, Impuls/Roh yang telah memenangi tempat pertama dalam HSKU tahun 2009.

Premis novel kecil dan agak tipis ini bertitik-tolak daripada cubaan manusia mencari kehidupan maya yang 'abadi' sebagai alternatif kepada kehidupan dunia yang sementara. Ibu Ahmad Fahim, Datin Siti Afraa, koma selepas suatu kecelakaan di rumah, sehingga mendorong bapanya, Datuk Dr Faruqi, seorang saintis neuro bertindak mencari ikhtiar untuk 'membangkitkan' isterinya di alam virtual. Usaha Dr Faruqi ini telah didanai oleh seorang jutawan Amerika, Cassius Frost.

Cassius mempunyai seorang anak remaja yang menghidap penyakit maut. Sebagai seorang berkuasa, Cassius enggan mengakui kekalahannya terhadap ketentuan takdir bahawa beliau akan kehilangan anak tunggalnya itu sungguhpun Parcival reda dengan kondisinya. Oleh itu, Cassius melihat kehidupan di dunia maya merupakan penyelesaian terhadap halangan berkenaan.

Aplikasi 'kehidupan' di dunia virtual ini ditunjangi hipotesis sains bahawa tindakbalas otak manusia didokong oleh cas-cas elektrik semata-mata. Ahmad Fahim menolak tanggapan ini, kerana bagi beliau, ada unsur lain yang menggerakkan jiwa dan pemikiran manusia, iaitu roh. Roh ini pula sifatnya datang dari Maha Pencipta, maka ia tidak boleh diduplikasi oleh sebarang proses sains. Inilah titik pertelingkahan antara Dr Faruqi dan Ahmad Fahim sehingga tiba pada saat ciptaannya hampir menemui 'kesempurnaan', Dr Faruqi bertindak melarikan Datin Siti Afraa dari hospital tempatnya dirawat ke kubu Cassius di Amerika Syarikat.

Saya tiada masalah menerima tema yang diketengahkan Sri Rahayu. Isu ini pernah saya baca dalam buku karangan Harun Yahya, cuma disebabkan berhalangan memahami konsep ini pada waktu itu, saya amat berterima kasih kerana guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah yang menulis pada waktu peribadi ini, kerana menyediakan kesempatan lain untuk memahaminya dengan lebih mudah. Walau bagaimana pun, saya merasakan naskhah ini secara relatif mempunyai kekurangan dari aspek penulisan.

Secara keseluruhan, saya menanggapi kebanyakan dialog semacam diterjemah hampir secara literal daripada Bahasa Inggeris. Oleh itu, di beberapa tempat, ada kejanggalan ketara. Perbualan antara Seamus Conway, pengawal upahan Cassius Frost, dan Parcival di bawah adalah salah satu adalah contoh.

"Ia bukan fasa tubuh badan kau. Tapi minda kau. Ada sesuatu yang berlaku dalam minda kau dan kau tak sukakannya. Kau mahu ia berhenti."
"Diam, budak."
(hal. 28)

Minta maaf, tetapi yang terngiang-ngiang di cupingan saya adalah dialog alihbahasa dengan nada tanpa emosi yang sering didengar di televisyen Malaysia.

Selain itu, saya kecewa kerana Sri Rahayu kurang menyediakan ruang untuk setiap watak berkembang dengan seimbang. Parcival misalnya hanya muncul di beberapa bab, sehingga saya tidak sempat pun menanggapi perancangannya bersama Freya dan Tobias sedangkan dia antara faktor penggerak dalam cerita.

Selain itu, saya merasakan novel Impuls/Roh ini didominasi teknik memberitahu, bukan menunjukkan, selain huraian fakta sains yang kadang-kala terlalu panjang (beberapa halaman) dan kaku penstrukturan ayat-ayatnya. Barangkali faktor penterjemahan?

Meski pun begitu, beberapa 'gangguan' dalam pembacaan yang saya nyatakan di atas tidak menjejaskan penyampaian tema besar yang dibawa oleh Sri Rahayu. Penulis ini malahan melihat ini sebagai tanggungjawabnya selaku seorang pengarang Muslim untuk menepis dakyah para materialis Barat. Oh, saya teruja menunggu karya beliau yang seterusnya!

2 komentar:

srirahayumohdyusop said...

Salam Rebecca,

Terima kasih kerana sudi membaca I/R dan tetap bersabar dengan kelemahan pengarang.

Juliana said...

That's a good and honest review from a writer's point of view.