Nov 14, 2010
Peran Gender Yang Terjungkir Balik
Bulan ini ialah "Bulan Membeli Buku Secara Impulsif". Akhir minggu lalu, saya gatal mulut bertanyakan manga Ooku Volume 1 yang saya tempah seminggu sebelumnya di Kinokuniya sementelah tidak menerima sebarang panggilan telefon tentangnya. Dan 'padan muka' saya, manga yang dipesan khas kerana kehabisan stok itu telah tiba di kedai buku berkenaan.
Ooku pertama kali menggamit minat saya ketika ia dipamerkan di rak khas New Arrivals barangkali setengah tahun lalu. Ketika itu ia baru menang James Tiptree Jr Award, anugerah yang diberikan kepada karya sains fantasi yang menyelongkar isu serta persoalan gender untuk tahun 2009. Tetapi pada masa itu, saya tidak tahu tentang tujuan Tiptree Award. Yang saya tahu, label "M" untuk pembaca matang dan amaran "Parental Advisory Explicit Content" di kulit hadapan dan belakang manga itu menangguhkan niat untuk membeli dan membacanya meski Ooku seharusnya punya selling point yang kuat kepada seorang feminis.
Ooku merupakan sebuah karya yang dibina di dunia alternatif pada zaman feudal, atau setepatnya pada zaman pemerintahan Tokugawa yang bertempat negara Jepun. Bayangkan, kata Fumi Yoshinaga, populasi lelaki di Jepun hanya seperempat daripada wanita akibat serangan sejenis penyakit cacar. Lelaki jadi komoditi yang sangat berharga - mereka dilindungi, dilarang bekerja keras dan benih mereka menjadi rebutan untuk memastikan kemandirian manusia di negara itu.
Oleh sebab lelaki kini menjadi gender minoriti, segala peranan pemerintahan dan pentadbiran diambil alih sepenuhnya oleh wanita. Hatta, syogun dan para penasihatnya juga wanita. Seperti para pemerintah lelaki yang mempunyai harem besar dipenuhi para gundik, syogun di alternate Japan ini juga mempunyai inner chamber (ooku) sendiri, yang didiami 3000 orang lelaki, dan sebahagiannya merupakan lelaki-lelaki paling kacak di seluruh Jepun. Peranan mereka tidak berbeza dengan peranan tipikal dan konvensional gundik-gundik perempuan.
Bahkan, perangai mereka juga sama!
Mula-mula, terasa kelakar meladeni kerenah lelaki-lelaki 'simpanan' ini menikam belakang sesama sendiri. Memang tak ubah seperti perangai cemburu perempuan juga. Kehadiran Mizuno yang memberontak juga mengingatkan saya akan perwatakan tipikal gundik perempuan yang bakal jadi favorite raja. Telahan itu terbukti apabila Mizuno dipilih sebagai secret swain syogun Yoshimune.
Namun kemudiannya plot tidak lagi dapat ditebak. Mizuno yang menjadi fokus pada awal buku pertama ini rupa-rupanya bukanlah watak utama. Sebaliknya, Ooku membawa gagasan yang lebih besar daripada hal-hal 'dalam kelambu.'
Yoshimune, seorang syogun yang sangat tegas dalam hal ehwal perbendaharaan negara, mempersoalkan tentang gelar nama yang digunakan oleh wanita di Jepun. Dia hairan kerana meski wanita memegang tampuk pemerintahan tertinggi, tetapi nama keluarga yang digunakan masih nama lelaki. Malah, Yoshimune pernah tanpa sengaja menyangka Reverend Kasuga, orang yang mula-mula menubuhkan sistem Ooku untuk syogun wanita sebagai seorang lelaki juga.
Di samping itu, ketika menerima wakil dari rombongan dagang dari luar negara menghadap, Yoshimune diwajibkan mengenakan persalinan lelaki sehingga disangka budak muda oleh kapitan Belanda tersebut. Bak kata Yoshimune kepada Murase-san, jurucatat istana yang berusia hampr 100 tahun, "kalau dilihat kepada rekod dan dokumentasi, orang luar akan menyangka negara ini diterajui lelaki."
Untuk mencari jawapan terhadap persoalan yang mengganggunya itu, tentang adakah wanita memerintah Jepun sejak azali, Murase-san yang dilahirkan dan remaja sebelum populasi lelaki surut mendadak itu telah menyerahkan Chronicles of Dying Days kepada Yoshimune. Buku kedua dan seterusnya (setakat ini ada empat kalau tak salah), merupakan kisah dalam dokumentasi yang dicatat oleh Murase-san itu. Saya sudah bibliobankrupsi bulan ini, maka terpaksalah tunggu gaji seterusnya untuk mengetahui kisah lanjut dalam inner chamber istana Edo (kini Tokyo).
Sungguh pun begitu, terdapat beberapa persoalan gender yang dicetuskan Fumi Yoshinaga yang menarik sekali pada pandangan saya:
1. Adakah bilangan (dalam kes ini populasi) penting dalam menentukan pegangan kuasa?
2. Benarkah perangai lelaki dan wanita itu tiada beza, apabila diletakkan dalam situasi yang sama (perbandingan antara peranan tipikal masa kini dengan alternatif ciptaan Yoshinaga)?
3. Berapa lamakah perubahan (wanita mengambil alih peranan lelaki) diterima menjadi kebiasaan?
Siapa kata manga tidak berfaedah? Cuma perlu pandai pilih (seperti yang lain-lain juga)!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)





2 komentar:
Minta izin kongsikan tulisan ini di web GKLN
fahd
Silakan, Fahdlil.
Post a Comment