Dec 12, 2010

Cerpen CITRA VENEZIA di MM, 12 Disember 2010


"Aku masih tak percaya Tuhan, Zah."
Zahra tersenyum.
Sedikit pun ujaran jujur tidak membekas di hatinya. Alistair barangkali melontar provokasi.

Tambahan pula, lelaki itu baru sahaja menghadiri pembentangan kertas kerjanya. Zahra bahkan lebih terkejut dengan kehadiran Alistair ke persidangan sains dan agama yang berlangsung di Universita Ca' Forsica. Alistair Henry tidakkah paling anti sebarang cubaan, perkaitan malahan bukti-bukti yang menghubungkan sains dengan agama?

"Tahan juga telinga engkau menadah pembentangan aku, ya?"

Oleh Rebecca Ilham
Mingguan Malaysia, 12 Disember 2010



Alhamdulillah.
Cerpen "Citra Venezia" disiarkan akhbar Mingguan Malaysia hari ini, 12 Disember 2010.

Saya sebetulnya berharapan agar sempat melihat sebuah cerpen terbit sebelum tirai 2010 dilabuhkan dan cerpen ini memenuhi harapan itu meski pun pada mulanya tindakan untuk menghantarnya ke MM adalah keputusan berisiko tinggi berikutan sukarnya menembusi akhbar arus perdana itu. Tambahan pula, cerpen "Dialog Subuh" sudah pun disiarkan MM lewat bulan Mei yang lalu.

Namun, ada faktor lain yang mendorong tindakan saya itu. Faktor 'cemburu.' Cemburu untuk menandingi tentunya, bukan cemburu untuk mengkhianati!

Sedikit tentang proses kreatif - cetusan untuk cerpen ini berlaku tiba-tiba. Saya sedang mengulangkaji untuk penilaian teknikal di tempat kerja dan sangat stres tentangnya. Maka, saya berhasrat untuk merakamkan 'seksa' yang pertama kali saya lalui ini, dan akan berulang lagi pada tahun-tahun akan datang. I might as well get something I love out of something I hate, right? ;)

Maka saya pun memilih teori keseimbangan material (material balance equation-MBE) yang merupakan salah satu metodologi manual menghitung jumlah minyak mentah dan gas asli yang mampu dikeluarkan oleh sesebuah takungan. Kebetulan menonton satu episod CSI beberapa minggu sebelumnya, terlintas juga untuk menggabungkan MBE dengan Hukum Newton Ketiga. Dengan itu, lahirlah watak Zahra, seorang jurutera petroleum dan Alistair, seorang ahli fizik.

Mereka bercakap tentang Tuhan, tentang bagaimana sains 'memberitahu' tentang kewujudan Tuhan, di suatu petang di pinggir terusan utama - Canalasso - di Venice diiringi alunan Le Quattro Stagioni, empat konserto gubahan Giacomo Vivaldi.

Argh, saya bercakap terlalu panjang!
Selamat membaca pada anda!

2 komentar:

pembaca buku said...

Salam.

Saya membaca cerpen ini. Dua kali secara keseluruhan. Dan tiga empat kali pada beberapa bahagian.

Saya bukan orang sains, dan memang agak payah memahami beberapa perenggan tentang sains dalam cerpen ini. Pun, saya kira ada falsafah tentang Allah tersisip dalam setiap ilmu yang ada di dunia luas ini.

Membaca cerpen ini, saya teringat akan cerpen Alghazali Sulaiman, 'Rembulan Tenggelam di Sindh' yang disiarkan di Berita Minggu pada 7 November 2010 ini. Dan saya teringat juga pada cerpen 'Muhammad Ulul Albab' oleh Faisal Tehrani yang tersiar di Mingguan Malaysia pada tahun lepas.

Pada saya, ketiga-tiga cerpen ini mempunyai inti cerita yang sama, atau hampir sama. Corak penceritaan juga sama. Yang berbeza ialah elemen yang menyedarkan orang yang 'tidak beragama' itu.

Dalam cerpen Faisal, elemennya ialah senibina; dalam cerpen alGhazali, elemennya bulan; manakala dalam cerpen sdr, elemennya seperti yang sdr jelaskan itu. Namun, ketiga-tiga cerpen ini nyata mempunyai paparan cerita yang serupa.

Mengapa agaknya hal ini terjadi? Adakah minda penulis muda semuanya hampir serupa, atau pengalaman mereka hampir sama, menyebabkan cerita yang membalut intipati yang ingin dikemukakan juga hampir sama?

Saya tidak tahu. Tapi adalah lebih baik jika ada di kalangan penulis muda cuba untuk lari daripada kebiasaan. Cuba lebih memperlihatkan aksi daripada berkata-kata dalam karya. 'Show' dan kurangkan 'tell'. Khalayak memerlukan kepelbagaian corak dan cara penceritaan dalam karya.

Baru-baru ini, saya menilai beberapa karya penulis muda. Dan saya terasa amat bimbang dengan trend yang sama bagi hampir semua persembahan karya tersebut - dialog dua orang, konflik dalam dialog (tak kiralah melalui telefon, pertemuan, atau emel) kemudian terjadi turning point dan akhirnya 'hero' dan 'heroin' betul dan menang.

Come on. Kita mahukan suatu yang mencabar. Mana dia elemen simbol dalam cerpen? Setiap suatu elemen dalam perlakuan, latar dan bahasa tubuh watak seharusnya memberi suatu pemahaman tentang inti yang hendak diketengahkan, waima walau sehelai daun pun. Penulis harus mengajar khalayak untuk peka dengan persekitaran; bukankah itu ertinya hidup ini - peka tentang hidup dan kehidupan. Karya yang baik ialah karya yang dapat memberi sesuatu yang berlainan setiap kali diulang baca.

Ya, ilmu dalam karya penulis muda memang hebat. Latarnya juga hebat. Malah wataknya, aduhai, amat hebat. Tetapi semua itu tidak membawa makna apa-apa jika penulis tidak belajar untuk mengambil sesuatu di persekitaran lalu dijadikan simbol dan perlambangan untuk difahami khalayak; penulis perlu mengajar khalayak supaya peka pada setiap elemen yang ditampilkan dalam karya.

Sdr punya potensi yang baik dalam penulisan. Dan sdr masih muda. Tetapi jangan sia-siakan potensi sdr dengan menulis begini-begini sahaja. Setiap penulis harus meningkatkan penulisan mereka agar khalayak yang mengikuti mereka juga menjadi lebih cerdik dari semasa ke semasa.

Dan satu lagi - Usah sesekali mengambil acuan cara dan corak penulisan yang telah dimiliki orang lain. Cari identiti sendiri. Sdr tidak boleh berjaya seperti orang itu dengan terus memakai sepatunya. Ok?

Saya hanya memerhati dan memberi fikiran dan cadangan. Untuk kebaikan. Terpulang pada penerimaan sdr.

Wassalam.

dr Ariff Budiman said...

Sdr. Becky yang dapat Ilham,

Mostly saya setuju dengan komen pembaca buku.

Apakah ciri karya seni yang baik, yang memukau? Tidak ada sensasi, tidak dibuat2, tidak cuba menunjuk pandai dan hebat, tahu sejauh mana kudrat kreatif. Macam orang nak pikul barang, dia tahu berat yang dia boleh angkat. Kerana itu tulisan yang kreatif yang menyodorkan soal berat2 ditulis oleh penulis yang cukup berpengalaman. Lihat Joyce dalam The Dead, atau T. Mann dalam Death in Venice, karya2 Chekhov etc. Pirandilo selalu bawa soal berat2 tapi pendekatannya amat dewasa. Saya bukan mengajar, sekadar memberi peringatan bahawa karya yang baik ialah yang natural, yang tidak terlalu kelihatan nak tunjuk2 kehebatan ... yang entah apa2. Penulis Malaysia terlalu gemar sensasi, misalnya Shahnon dan Azizi. Itu tanda kurang ilmu, kurang kekuatan kreatif. Baca Toha Mohtar dalam Pulang, sebuah novel yang cantik. Tidak ada sensasi. Flownya seperti anak sungai yang jernih airnya ... Cantik didengar, indah dilihat. Harap maaf kerana cuba memandai2. Insha Allah anda akan jadi penulis yang betul2 hebat jika buang perkara2 yang mengganggu pembaca serius macam saya.