Apa Yang Dijumpai di Pesta Buku

Saya ke PBAKL buat kali keempat. Niat hari ini bukan untuk membeli, melainkan untuk adik-adik. Beberapa buah buku tulisan Isa Kamari dan Faisal Tehrani dalam koleksi saya usung dari rumah, untuk ditandatangani. Nawaitu lain hanya untuk mendapatkan "Beruk" karya Pak Azizi Hj Abdullah - beserta autograf tentunya.

Gerai Al Ameen saya tuju sebaik tiba sementelah acara peluncuran Antologi Puisi Malaysia-Singapura "Dari Jendela Zaman Ini" terbitan ITNM masih jauh. Suatu keputusan yang tepat kerana gerai belum terlalu ripuh manakala Faisal Tehrani dan Isa Kamari sudah di sana.

"Bagaimana kerja?" Tanya Abang Faisal sebaik memulangkan naskhah "Bahlut", "1511H:Kombat" dan "Tuhan Manusia" yang saya hulurkan untuk ditandatangani (Nak tulis Rebecca atau apa ni? Ngomelnya sebelum itu).

"Biarpun kalau tidak mengangkat bidang kerjaya yang digeluti itu sebagai bahan penulisan, tetapi akan ada kesannya menggeluti bidang sains dalam laras bahasa," pesan pembimbing Bengkel Penulisan Maya GKLN tiga tahun lalu itu.

Kembali ke gerai ITNM buat kesekian kali, saya segera disertai Kak Hani Salwah yang sudah tiga bulan tidak ditemui. Kangen dengan jenaka dan senyumannya! Juga pertemuan sulung dengan beberapa alumni MPR yang lain seperti Kak Nasriah Abdul Salam yang senegeri dengan saya, serta penulis-penulis Singapura - Kak Siti Khatijah dan Jailani. Maaf ya, kalau ada hati yang tersanggah kerana saya pantas menjelaskan status sebagai BUKAN alumni MPR. Kita MPJ (Majlis Penulis Jalanan) kan, Jai? Haha.

Peluncuran berlangsung santai, disempurnakan oleh Dato' Baha Zain yang mendeklamasikan puisinya "Puisi Sederhana Tentang Kenangan," diikuti deklamasi bergilir-gilir antara penyair Malaysia dan Singapura.

Secara peribadi, saya senang dengan majlis yang minimum protokol ini - ia merobohkan dinding antara penyair dengan masyarakat. Terasa seperti majlis untuk orang marhaen, bukan lagi acara baca puisi yang dihadiri kelompok penyair dan pemuisi itu juga. Tahniah untuk ITNM!
(Dan terima kasih untuk makan tengah hari percuma...)

Semasa majlis peluncuran buku-buku Ameen Books pula, saya berkesempatan bertemu dan berbual dengan Syukri, teman GKLN yang pernah menuntut di Adelaide, Australia - buat julung kali juga. Kami saling mendorong, (saya) 'mengungkit' tentang manuskrip(nya) dan tentu sekali bertukar-tukar khabar tentang teman-teman penulis yang bermula seperti kami. Cadangan untuk sebuah perhimpunan berbangkit. Mana tahu, mungkin suatu hari nanti?

Saya bersyukur dengan kesempatan untuk berkenal-kenal, bermesra-mesra dan menjaringkan rangkaian yang singkat ini. Ia adalah eskapisme minda dan jiwa yang menenangkan. Terima kasih atas ucap dan doa yang muluk-muluk, kita aminkan bersama ya.

Sabtu depan jumpa di Rumah PENA!

Apa Yang Dicari di Pesta Buku?

Seronoknya bertemu dan berwacana bersama kawan-kawan di pesta buku!

Saya sengaja mengambil cuti tahunan untuk berpesta habis-habisan. Melepas geram, selepas empat tahun sekadar mengikuti kemeriahan dari jarak jauh lebih 9000 batu. Tetapi entah mengapa, biarpun dua kali berkunjung (selepas waktu pejabat selama beberapa jam yang terhad itu), saya masih berasa 'kosong' dan tercari-cari sesuatu (sedang dompet makin kempis)..

Rupa-rupanya saya mencari semangat kawan-kawan. Terima kasih buat Kak Ummu Hani yang menghela tangan saya seawal jam 10 pagi di dalam Dewan TR2, lalu menghadiahkan buku barunya yang menang hadiah satu sayembara anjuran DBP - "Senyum Kota Suriah." Terima kasih juga untuk doa yang muluk-muluk dan kata-kata perangsang yang mengharukan saya, kak. Saya aminkan semua :)

Saya juga menghargai nasihat bersulam tawa ceria Kak Salina Ibrahim apakala ada-ada sahaja 'aduan' saya kepadanya. "Awak muda lagi, dik," ulangnya beberapa kali. (Nota: memang saya rasa sangat 'muda' pada hari ini - beberapa orang anggap saya pelajar dan di kaunter PTS, cashier minta kad matrik untuk diskaun tambahan!) Pinjamkan saya kekuatan, kak. Terima kasih kerana memujuk berat jiwa saya beberapa hari ini!

Akhirnya setelah terlepas beberapa siri Wawancara Sofa Putih anjuran ITNM yang dikelolakan Sayed Munawwar (perantara Di Luar Lingkungan RTM1) yang menampilkan nama-nama besar dalam dunia kesusasteraan tanah air, saya dapat mengikuti sesi bersama Dato' Dr Anwar Ridhwan.

Dr Anwar mengulas seputar kontroversi yang melegari Anugerah Sastera Negara yang diterimanya, tentang peranan penulis, tentang projek penulisan hikayat Melayu, tentang penulis muda, tentang kebarangkalian penulis wanita menerima Anugerah Sastera Negara ke-11 kelak..

Ia suatu perbincangan dengan orang lama yang sangat kontemporari pemikirannya. Saya terhibur dan tidak dapat menolak mikrofon yang letaknya berhampiran lokasi saya berdiri. Sekadar sebuah soalan ringkas yang dijawab oleh Sasterawan Negara ke-10 itu dengan penuh hemah. Saya turut terkesan apabila Dr Anwar menyebut "kini kita ada pelajar-pelajar di luar negara yang menulis karya sastera."

Saya turut bersetuju dengan pandangan Dr Anwar bahawa pengajian sastera di sekolah menengah bukanlah 'eksklusif' untuk para pelajar yang kurang memberangsangkan prestasi akademiknya sedangkan pelajar-pelajar pintar di'diskriminasi' dengan automatik disalurkan ke dalam bidang sains dan teknologi.

"Sastera adalah untuk pelajar pintar," kata Dr Anwar, dan ini diulang lagi ketika bicara rapat (wartawan sebuah akhbar arus perdana di sisinya, sementara saya di sebelah lagi sementelah ditawarkan Tuan Syed Munawwar tempat duduknya - niat asal saya hanya untuk meminta Dr Anwar menandatangani naskhah terjemahan ke Bahasa Inggeris "Hari-Hari Akhir Seorang Seniman"). Ketika ini saya tidak dapat menahan diri daripada mencelah bahawa hakikatnya masyarakat kita belum mencapai tahap pemikiran setaraf rakyat di negara-negara maju yang memartabatkan sastera dalam mengejar materialisme pembangunan teknologi!

Penghargaan untuk Syidah dan Anuar serta staf ITNM yang kurang saya kenal nama mereka atas layanan luar biasa hangat saban kali saya singgah. Hebat sungguh strategi penjenamaan ITNM pada hari ini - saya berasa sangat cool membaca buku-buku ITNM di dalam tren. Tahniah!

Saya sempat menyertai acara dari orang muda untuk orang muda (dan tak berapa muda) - Dialog Orang Muda Edisi Khas PBAKL yang membawa tajuk "Orang Muda Kurang Membaca: Mitos atau Realiti?" Tajuk ini telah dikupas oleh tiga panel - Ahmad Fedtri Yahya perantara MHI, Nazri M Annuar @ Vovin si blogger, editor dan novelis serta Alina pensyarah UPSI dan pemilik Oxygen Books dengan Abang Lutfi bertindak selaku moderator.

Suatu diskusi menarik yang menggabungkan rencam pengalaman, pengamatan dan personaliti para ahli panel dan moderatornya. Vovin dengan gaya penyampaian bersahaja yang sering sahaja menggeletik hati audiens, Fedtri yang amat tertib bahasa berbicara dan Alina yang punya perspektif tersendiri. Cuma saya kurang puas dengan inti perbincangan yang agak ringan - pandangan yang dikongsi oleh seorang teman, yang bertugas sebagai wartawan yang juga penulis kreatif. Hehe, bukan apa, saya masih terkenang dengan syarahan falsafah Greek dan Yunani oleh Ali Atan di Rumah PENA tempoh hari! Tetapi bak kata Abang Lutfi, ini disengajakan untuk meluaskan skop kepada khalayak umum yang mengunjungi PBAKL. Sabtu hadapan di Rumah PENA, DOM akan berlangsung lagi dengan topik "Penyangak Sastera."

Kak Norziati juga hadir selepas pejabat dan usai solat Maghrib sambung 'tawaf' dewan pameran sekali lagi. Saya sudah tidak mampu. Hah, itulah cerita seharian di pesta buku. Terasa tenang sebentar. Benarlah kata seorang teman di pejabat yang apakala saya meluahkan tentang 'kekosongan' menyarankan agar saya rajin menebarkan jaringan rakan-rakan dalam bidang yang saya nikmati.

Tuhan, perkenankanlah!

Jom Orang-Orang Muda (Dan Yang Tak Berapa Muda) ke Rumah PENA!


Dialog Orang Muda (Dom)
“Kebebasan: Penulis Tercekik?”

Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur

6 Mac 2010, 10 pagi

Ahli panel
1. Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Arif Mohamed
2. Ketua Wartawan Malaysiakini Bahasa Malaysia, Mohd Jimadie Shah Othman
3. Pengajar di Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM), Mohd Ali Atan.

Moderator
Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda Pena, Muhammad Lutfi Ishak


Dialog Orang Muda
Oleh Nazmi Yaakub
Berita Harian, 3 Mac 2010

DIALOG Orang Muda (Dom) - Kebebasan: Penulis Tercekik? akan diadakan di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Kuala Lumpur, pada 6 Mac ini, jam 10 pagi.

Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda Pena, Muhammad Lutfi Ishak, berkata panel pada dialog terbabit ialah Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga novelis, Arif Mohamed; Ketua Wartawan Malaysiakini Bahasa Malaysia dan penyair muda, Mohd Jimadie Shah Othman dan Tutor Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) dan cerpenis, Mohd Ali Atan.

“Isu dan persoalan hak asasi bersuara serta kebebasan berkarya dalam konteks latar tempatan akan dibincangkan. Isu mutakhir membabitkan kebebasan berkarya bakal disorot panel dengan mengambil kira pelbagai perspektif termasuk pandangan Islam, hak asasi sejagat serta budaya masyarakat Timur,” katanya pada satu kenyataan melalui e-mel, baru-baru ini.

Februari lalu, teater Tanda karya Shahili Abdan atau lebih dikenali sebagai Namron dilanda kontroversi sehingga pentasnya terpaksa dipindahkan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke PJ Live Arts di Petaling Jaya.

Isu kebebasan juga diperkatakan dalam Rancangan Soal Jawab di TV3, kelmarin, yang menyorot persoalan itu dengan menjemput Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang memperkatakan soal kebebasan dan aspirasi negara.

Muhammad Lutfi berkata, Dom akan mengambil kira pandangan pro dan kontra terhadap isu hak asasi bersuara dan kebebasan berkarya sebelum memberi rumusan serta kesimpulan terhadap sejauh mana amalan kebebasan terbabit di negara ini boleh dilaksanakan.

“Kita mahu melihat suara generasi muda dengan format diskusi lebih terbuka dan tidak dimonopoli panel semata-mata, manakala peserta yang datang akan diberikan ruang dan masa untuk memberikan pandangan. Kami berharap generasi muda dapat menyertai Dom dan menggunakan ruang itu sebaik-baiknya,” katanya.


*Grafik dan info dari laman Facebook. Jemput ke sana untuk maklumat lanjut.