Feb 26, 2011

Doctor Zhivago: Pengalaman Pembacaan Yang Berliku

Yang lusuh


Yang hilang


Ini bukan ulasan tentang novel agung Boris Pasternak, Doctor Zhivago. Itu memerlukan sebuah entri khusus. Sebaliknya, entri ini merupakan rakaman pengalaman membaca Doctor Zhivago selama hampir 20 hari.

Saya pernah meminjam novel ini dari Golden Public Library semasa belajar di Colorado School of Mines, tetapi gaya penceritaan yang perlahan dan bertele-tele membantutkan keinginan saya untuk membaca karya besar yang bertanggungjawab menaikkan nama Pasternak sehingga memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan ini. Saya pernah menonton (tetapi tidak habis) adaptasi layar peraknya semasa anak-anak, namun ingatan terhadap Omar Sharif yang kacak itu pun tidak mampu mendorong. Buku itu akhirnya saya pulangkan tanpa berganjak melepasi Bab I sekalipun.

Sungguh pun begitu, jauh di sudut hati, saya berazam untuk membacanya juga suatu hari nanti. Namun faktor-faktor seperti naskhah yang dijual di Kinokuniya edisi kulit keras (dan mahal) serta lain-lain alasan, hasrat itu terbantut. Sehinggalah rakan penulis dan juga rakan di Goodreads - Leyla Shuri yang tinggal di Okinawa, Jepun - mengumumkan bahawa beliau sedang memburu naskhah Doctor Zhivago.

Kebetulan, sekitar masa itu juga, artikel tentang novel Doctor Zhivago menjadi buku kegemaran Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said sehingga mengulang baca setiap tahun terbit di akhbar Mingguan Malaysia. Saya menjadi semakin teruja, terdorong untuk menguliti kisah doktor Rusia (yang berwajah seperti Omar Sharif) itu.

Sebaik kembali ke ibu kota seusai cuti Tahun Baru Cina, saya bergegas ke Book Xcess setelah dikhabarkan seorang teman Goodreads yang lain - Haryati - bahawa novel itu dijual di sana. Naskhah terbitan tahun 2002 itu banyak yang tidak kena - saiz tulisannya terlalu kecil untuk orang rabun seperti saya, kulitnya tidak berkenan di hati dan kapsyen "One of the greatest love stories ever told" membuatkan saya berasa segan membacanya di dalam LRT. Namun saya beli juga. Mana nak cari Doctor Zhivago dengan harga runtuh RM 17.90?

Kurang seminggu kemudian, saya mengunjungi kedai buku terpakai, Junk Bookstore di Jalan Tun HS Lee, yang diperkenalkan oleh teman penulis dan rakan Goodreads - Norziati - pula. Dalam perjalanan ke sana, Doctor Zhivago dari Book Xcess merupakan peneman dan telah menjadi modal untuk saya berkenalan dengan seorang wanita Cina yang duduk di sebelah di dalam LRT.

Wanita itu bernama Angelica (nama Cina-nya saya lupa, tetapi bermaksud "a cloud in the sky"). Dia menegur saya, "Buku ini pernah difilemkan, bukan?" Cukup itu sebagai mukadimah. Kami kemudiannya bercakap tentang Omar Sharif, tentang Julie Christie dan berlanjutan ke Gone With The Wind (boleh tak saya ingat Rhett Butler itu pelakonnya, sedangkan watak Butler sebenarnya dibawa oleh Sharif? Haha).

Angelica lahir pada tahun 1956, dan dia mengaku tidak berpelajaran tinggi. Saya terkejut, kerana wanita ini sangat cultured perawakan dan pertuturannya. Maka dia pun bercerita tentang teman sekolahnya sekeluarga yang berhijrah ke Kanada, lalu menghadiahkan buku-buku di perpustakaan peribadi mereka kepadanya.

Kami berpisah kerana saya sudah tiba di stesen Pasar Seni ketika itu. Di Junk Bookstore kemudiannya, saya menjumpai naskhah lusuh Doctor Zhivago terbitan Fontana Books yang kulitnya menampilkan gambar Omar Sharif dan Julie Christie. Naskhah itu sudah uzur, bertampal-tampal pita pelekat dan sangat kuning kertasnya. Harganya RM 18. Teman saya sudah berpesan bahawa buku-buku di kedai ini agak mahal - sesuai dengan nilai buku. Mungkin atas dasar sentimental, biar pun pada pertengahan bulan, saya membeli buku itu. Pulang ke rumah, saya menyeranah diri kerana terlalu impulsif. Terasa bodoh kerana membeli buku buruk, yang sudah dimiliki edisi lebih baru (oleh penterjemah yang sama pula tu!).

Saya menyelit naskhah lusuh itu ke atas rak yang hampir 'meletup' dan melupakannya. Pembacaan diteruskan menggunakan naskhah baru. Setelah sampai lebih separuh, atau setepatnya di halaman 383, dalam rusuh, naskhah itu tertinggal di stesen LRT yang saya kerapi setiap hari. Ralat kerana pembacaan semakin laju, saya 'mengorek' naskhah lusuh dari rak, menyambung pembacaan sebelum tidur dengan harapan agar buku itu masih ada apabila saya mengunjungi stesen yang sama keesokan harinya.

Sayang, buku itu tiada lagi.

Ketika itu, barulah hikmah pembelian impulsif lebih seminggu sebelum itu jelas. Saya menerima dengan hati terbuka. Naskhah lusuh itu saya buka dan baca di dalam bas. Tanpa saya sangka, seorang wanita berbangsa asing yang sering menaiki bas sama saban petang tiba-tiba menukar tempat duduk ke sebelah saya. Katanya, "Terima kasih kerana membaca sastera Rusia. Saya orang Rusia, jurutera di sini."

Saya menyambut tegurannya dengan senang hati, namun sempat mengangankan suatu hari nanti, kalau ada rezeki, saya di negara luar dan melihat bangsa lain pula membaca karya sastera negara saya. Mungkin saya akan bertindak seperti wanita Rusia itu, dengan bangga mendekati dan mengucapkan terima kasih.

Argh, Doctor Zhivago! Siapa sangka banyak perkara sampingan yang saya temui sepanjang mendampinginya? Terasa sayang pula untuk mengucapkan selamat tinggal kepada buku yang akhirnya tamat dibaca selepas hampir 20 hari ini!

2 komentar:

JahRera said...

as salam becky,
Boris writing is fantastic. Today I came across some beautiful sentences, I have to repeat it several times to make sure it solidify mentally :]

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi said...

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, saya sudah memilikinya. Terima kasih kepada Becky kerana 'asbab' tempoh hari.

Sekarang menunggu masa mengulitinya, namun pembacaan yang masih lemah dalam bahasa Inggeris mungkin akan menyebabkan ia mengambil masa yang lama.

Saya juga beli naskhah Salman Rushdie - The Enchantress of Florence dengan harga yang sama dan sebuah lagi novel bernuansa sejarah tulisan David Davidar (siapakah ini?) yang bertajuk The Solitude of Emperor dengan harga RM3!