Mar 30, 2011

Cerpen-cerpen REFORMASI ALA AMERIKA dan WILAYAH TRANSISI

"Kebangkitan Islam di Barat secara amnya diterjemahkan oleh penduduk bukan Islam sebagai kembalinya peranan agama dalam kehidupam mereka. Perkara ini sangat menggusarkan, kerana bukankah agama pernah menjurus kepada zaman kegelapan di Eropah?"

Reformasi Ala Amerika
Oleh Rebecca Ilham
Dewan Sastera, April 2011


Hilda membawa diri ke balkoni kondominium. Angin pugar membelai-belai wajahnya, mengelus rambut panjangnya. Pemandangan hijau sekitar perbukitan di pinggir kota masih berbaki meski makin galak ditarah untuk menaikkan sekian banyak projek perumahan kos sederhana (sic) mewah dan mewah, selaras dengan nilai hartanah yang makin memuncak. Nilai memuncak dengan unjuran eksponential hingga menafikan kemampuan golongan kelas menengah dan ke bawah untuk memilikinya.

Wilayah Transisi
Oleh Rebecca Ilham
Pelita Bahasa, April 2011


Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Syukur ke hadrat Ilahi, cerpen pertama dan kedua tahun ini terbit dalam majalah Dewan Sastera dan Pelita Bahasa bulan April 2011. Saya belum berputus asa, tetapi sudah pernah membayangkan andai berhenti terus menulis sementelah empat bulan 'mandul' karya di media. Menulis sendiri-sendiri dan disimpan dalam laci tidak lagi memuaskan hati; saya mahu berkongsi karya dengan khalayak, saya mahu dikutuk, dimaki. Paling tidak idea saya dibaca orang.

Saya tidak terlalu gemar berhujah secara lisan - reaksi otak saya tidak dapat dizahirkan secara adil melalui pengucapan. Tambah pula, idea-idea saya bersimpang-siur. Melalui tulisan, kecelaruan tindakbalas neuron-neuron otak ini dapat saya murnikan dalam persembahan yang lebih semenggah. Maka ya, saya menulis untuk membawa idea, idea yang mendefinisikan prinsip serta pemikiran saya. Semoga ia bermanfaat :)

Reformasi Ala Amerika (Reformasi) ditulis pada cuti panjang Aidilfitri yang lalu. Semenjak mempunyai pekerjaan hakiki, saya cuba menjadi ini tabiat. Alangkah rugi, pada saya, andai waktu senggang bebas daripada kongkongan rat race yang merimaskan tidak diterjemah dengan penghasilan karya kreatif!

Kebetulan isu Islamofobia yang dicetuskan bantahan terhadap pembinaan masjid serta pusat kebudayaan Islam di Park51 yang amat hampir dengan bekas tapak WTC hangat ketika itu. Kebetulan juga, saya sedang meladeni What I Believe, buku kecil rakaman intipati pemikiran Dr Tariq Ramadan.

Terus-terang, konsentrasi saya terhadap buku kulit keras yang dibaca dalam perjalanan tren/bas pergi-balik kerja itu sering terganggu sebelum isu Park51 meletus. Namun, rezeki ilham pemberian Ilahi, selepas itu, saya menjadi berminat dengan saranan Dr Ramadan tentang peranan umat Islam di Barat. Bab yang menjadi rujukan utama cerpen Reformasi - Reform and the 7C's - seperti sudah dilepasi, tetapi saya kemudiannya mengulang baca, menggaris isi-isi penting, memahamkan, menghafal dan menulisnya semula.

Wacana sudah ada. Maka saya memerlukan watak dan cerita untuk menggerakkannya. Saya memilih New York atas sebab yang jelas. Lokasi khusus, saya memilih Kedai Buku Strand. Sebabnya - saya mempunyai angan-angan untuk mengenengahkan perkara-perkara yang menjadi kegilaan saya dalam karya, tidak kiralah tempat, objek, watak atau apa sahaja. Kebetulan lagi, saya jatuh cinta kepada toko yang belum saya kunjungi ini setelah menontonnya dalam filem Julie & Julia sekitar masa itu juga. Apa salahnya kedai buku yang cool ini diangkat sebagai latar, tempat teruna-dara berpolemik tentang isu dunia? Romantik, apa? (Walaupun hakikatnya mereka duduk bersila di kaki lima pejalan kaki) ;)


Sementara itu, Wilayah Transisi (WT) pula ditulis pada bulan Januari yang lalu. Saya baru tamat kursus Sifat-Sifat Batu ketika itu. Konsep wilayah transisi (transition zone) amat penting dalam kejuruteraan takungan berikutan kehadiran dua bendalir yang berlainan di dalam liang-liang batu. Entah bagaimana, saya dikurniakan ilham, tentang penghuni asal batu (air) dan kehadiran bendalir baru (hidrokarbon) yang mampu mendominasi liang batu sehingga air dinyahkeluar hampir sepenuhnya. Apabila hidrokarbon mula dikeluarkan daripada takungan, air akan kembali memenuhi pori-pori batu mengikut hukum keseimbangan materi (pernah dihuraikan dalam cerpen Citra Venezia di akhbar MM). Tetapi, hidrokarbon tidak lagi dapat disesar pergi sepenuhnya.

Konsep wilayah transisi ini sesekali masih mengelirukan saya. Untuk memastikan ketepatan fakta, saya telah meminta seorang teman jurutera untuk menyemaknya. Terima kasih kepada teman yang menyokong itu :)


Begitulah, dua cerpen pertama untuk tahun 2011 ini. Selamat menikmati, dan semoga bermanfaat!

0 komentar: