A Moveable Feast, catatan Ernest Hemingway tentang tahun-tahun awalnya menjadi seniman di Paris memang menjadi bahan bacaan idaman saya. Beberapa kali mencarinya di Kinokuniya, tidak ada edisi mampu milik (mengikut piawaian peribadi). Sehinggalah minggu lalu, beberapa hari selepas membaca artikel kembara berkenaan Paris juga di akhbar New York Times, saya bertemu A Moveable Feast edisi kulit lembut bersaiz kompak terbitan Arrow.Hemingway menulis kisah-kisahnya di Paris secara kronologi. Semua bab dalam buku kecil itu dinukilkan pada tahun-tahun akhir hayatnya. Barangkali sewaktu di Paris, Hemingway terlalu sibuk menulis cerpen (dan akhirnya novel pertamanya - The Sun Also Rises). Dia ke Paris sebagai jurnalis yang menulis kreatif pada mulanya, sebelum menjadi penulis sepenuh masa.
Dalam buku ini, Hemingway kelihatan sangat jujur. Dia menceritakan tentang tabiatnya menulis - Hemingway jarang menulis di pangsapuri sewaan yang didiami bersama isterinya, Hadley, anak kecil mereka Bumby dan kucing peliharaan, F. Puss. Sebaliknya, dia menyewa sebuah bilik hotel untuk dijadikan pejabat tetap. Hemingway akan keluar pagi, dan hanya akan berhenti menulis pada waktu petang. Sebelum pulang, dia akan berjalan-jalan di Taman Luxembourg.
Kerap juga dia menulis di kafe. Kafe kegemarannya adalah La Closerie des Lilas yang terletak tidak jauh dari rumahnya di 74, Rue de Cardinal Lemoine. Sambil menulis, Hemingway akan minum wain atau whiski, makan tiram dan memerhati gadis cantik di meja seberang. Hemingway paling pantang diganggu ketika momentum menulisnya memuncak. Atas sebab ini, dia dilabel sombong kebanyakan orang. Tetapi itulah Hemingway, yang percaya dia perlu menulis sehingga sampai ketika dia bersedia untuk menangguhkan kerja dan menyambungnya semula esok hari.
Hemingway pada tahun-tahun awalnya di Paris adalah penulis tidak berduit. Dia belum menulis novel, dan hanya bergantung kepada jualan cerpen ke majalah-majalah sastera serta artikel-artikel bernilai berita (ketika masih menjadi jurnalis). Dia sering menahan lapar, dengan mengelak melalui kedai-kedai roti dan pastri. Dia juga dibenarkan oleh Sylvia Beach untuk berhutang yuran sewa buku di Shakespeare and Company. Tetapi, Hemingway tidak pernah tidak keluar dari Paris pada musim sejuk. Dia memberi sebab bahawa Paris terlalu sejuk untuk bayi kecilnya pada penghujung tahun, namun barangkali juga perubahan panorama penting untuk menjana tenaga kreatifnya.
Hemingway berkawan dengan ramai penulis besar sezamannya yang turut menjadikan Paris rumah kedua mereka. Antaranya ialah Gertrude Stein, Ezra Pound dan F. Scott Fitzgerald. Di sinilah 'kejujuran' Hemingway terserlah. Dia tidak menyembunyikan sisi kelabu dan gelap kawan-kawannya, sehingga menyentuh perkara-perkara yang saya rasakan elok disimpan sahaja. Sebagai seorang pembaca dan peminat sastera, saya menyenangi aura misteri yang menyelubungi seseorang penulis. Saya tidak perlu tahu semuanya tentang penulis yang saya baca karya-karyanya. Bahkan, mentafsir peribadi penulis daripada karyanya merupakan suatu aktiviti yang mengghairahkan. Tetapi ada beberapa tanggapan tentang Fitzgerald misalnya, telah memecahkan buih isolasi saya terhadap penulis novel The Great Gatsby itu.
Selain telus dalam merakam pengalamannya bersama teman-teman penulis, Hemingway juga terlalu berterus-terang tentang kehidupan peribadinya, seperti kegemarannya berjudi di trek lumba kuda. Pada akhir buku ini pula, dia telah menceritakan tentang kecurangannya terhadap Hadley. Oh, saya juga tidak mahu tahu tentang itu. Tetapi saya sangat senang apabila dia menceritakan tentang suatu awal pagi, sebelum mula menulis di rumah (yang sangat jarang-jarang dilakukan), Hemingway terlebih dahulu merebus botol susu dan menyusukan anaknya agar tidak mengganggu Hadley yang masih tidur.
















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)





3 komentar:
Terima kasih atas ulasan rinci daripada Beca, sementelah saya baru mahu mengakrabi sastera dunia dan berkenalan dengan penulis-penulis hebat dari sana :).
Kehebatan mereka wajar dimanfaatkan oleh kita selaku penulis yang membawa akidah Islam bersama pena kita.
Cuba cari buku Intelectuals, karya Paul Johnson, untuk melihat sisi gelap para sasterawan dan ilmuwan besar Barat, hehe...
1st time coming here thru goodreads.
Many say his books are great. ope I can get my hands on some
Post a Comment