May 12, 2011

Mawar Emas: Ujaan Awal Tradisi Sastera Agung Rusia


Mawar Emas di celah buku-buku yang tidak lagi muat disusun di rak.

Tajuk: Mawar Emas - Bunga Rampai Sastera Rusia
Penyelenggara/Penterjemah: Victor Pogadaev (Dr.)
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)
Tahun Terbit: 2009
No. Invois: 00037643 (ITNM ecommerce)

Umum mengetahui bahawa dunia sastera Rusia bukan sahaja panjang dan bersimpang-siur sejarahnya, tetapi juga rencam dimeriahkan oleh sekian ramai sasterawan yang berasal daripada pelbagai latar kehidupan dan bidang kepakaran. Oleh sebab kepelbagaian ini, saya sebenarnya keliru, atau setepatnya sukar memilih penulis dan karya yang mana satu untuk mula menerokai khazanah sastera Rusia yang digembar-gembur komuniti sastera dunia. Tambah pula, karya-karya agung sastera Rusia tebal-tebal (misalnya War and Peace oleh Leo Tolstoy) dan dikhabarkan susah-susah (contohnya The Overcoat oleh Nikolai Gogol). Saya semakin tidak yakin untuk memulakan langkah pertama.

Mujur ada kompilasi Mawar Emas: Bunga Rampai Sastera Rusia. Seumpama namanya, antologi ini mengumpulkan cerpen, petikan novel dan puisi 37 orang sasterawan Rusia yang merentas tempoh penerbitan selama dua abad.

Antara sasterawan Rusia yang ditampilkan karya mereka dalam buku ini adalah nama-nama besar seperti Alexander Pushkin, Leo Tolstoy, Fyodor Dostoevsky, Nikolai Gogol, Anton Chekhov, Maxim Gorky, Alexander Blok dan Ivan Turgenev. Selain itu, terdapat juga nama-nama yang sedikit kurang mesra pada pengetahuan terhad saya tentang sastera Rusia.

Sungguh pun begitu, ini bukanlah isu besar kerana buku ini telah disusun dengan menyertakan biodata dan informasi ringkas tentang setiap sasterawan serta idea utama di sebalik identiti kepengarangan mereka sebelum karya di'persembahkan'. Selain teks, tertera juga lakaran wajah serta potret hitam-putih setiap penulis ini. Maka melalui buku ini, pembaca bukan sahaja berpeluang berkenalan dengan karya-karya sastera Rusia tetapi juga dengan insan di sebalik setiap kalimah dan aksara.

Kebanyakan cerpen yang dimuatkan dalam pendek-pendek sahaja, seperti cerpen-cerpen Chekhov iaitu "Kegembiraan", "Matinya Seorang Pekerja" dan "Karya Seni". Sedangkan, banyak juga cerpen-cerpen terkenal Chekhov yang panjang-panjang. Petikan novel pula diambil di entah tengah bahagian mana, tanpa tentu kepala ekornya; seperti petikan novel Doktor Zhivago karya Boris Pasternak.

Intuisi saya kuat mengatakan bahawa Dr Pogadaev melakukan perkara ini dengan penuh kesedaran. Beliau semacam cuba 'mengusik' pembaca, dengan berkata, 'saya sudah membuka jalan, tetapi andai saudara kepingin lagi, maka saudara harus ghairah menerokainya sendiri.'

'Usikan' Dr Pogadaev semakin ketara apabila beliau memperkenalkan juga pembaca kepada bentuk-bentuk sastera lisan Rusia seperti epos kewiraan (bilini), cerita rakyat (skazka), teka-teki (zagadka), peribahasa (poslovitsa) dan chastushka.

Saya melihat adanya karya-karya tradisi sebegini dalam buku Mawar Emas sebagai sesuatu yang signifikan. Pembaca berpeluang menghayati penggunaan bahasa, lenggok penceritaan mahu pun tema serta pemikiran masyarakat Rusia pada zaman lampau. Namun lebih penting daripada itu, pembaca dapat melihat peralihan paradigma yang berlaku dalam dunia pengkaryaan di Rusia seperti yang dirakam oleh karya-karya yang dihasilkan dalam tempoh dua abad dalam buku ini.

Jikalau bilini, skazka, zagadka, poslovitsa dan chastushka disampaikan dalam nada yang lebih santai, kebanyakan karya-karya moden yang dipersembahkan oleh 37 orang penulis dalam kompilasi ini pula majoritinya lebih keras dan syahdu. Mereka mengolah sekaligus menyampaikan gelisah masyarakat Rusia yang tersepit dalam sistem komunisme, yang letih berperang, yang lantang mengkritik penguasa, yang terdera disenyapkan suara melalui perspektif berbeza mengikut pengamatan unik masing-masing.

Melalui karya, termasuklah sebahagian besar yang dimuatkan dalam kompilasi Mawar Emas ini, para sasterawan Rusia merakam zaman mereka. Rentetan itu, mereka menjadi wakil suara bangsa. Proses itu juga telah memangkin pembinaan sebuah dunia kesusasteraan Rusia yang warna-warni, bak rampaian bunga tujuh jenis direnjis aneka haruman. Mawar Emas adalah usaha gigih Dr Pogadaev yang tidak akan mampu memuaskan pembaca, tetapi lengkap sebagai pembuka selera!

0 komentar: