Jul 7, 2011

Pandangan Jujur Tentang Makyung Raja Muda Nyiur Gading di DFP

Saya tidak suka menonton persembahan pentas (di mana-mana tempat sekali pun) pada malam hari bekerja, terutama sekali jika persembahan bermula jam 8.30 malam. Oleh itu, saya mengehadkan kehadiran ke Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) untuk MPO Chamber Concert, MPO Happy Hour atau acara khas seperti Kata Tulus yang menampilkan Pak Samad dan Taheera Rosheena sempena Festival Seni KLCC tahun lalu, kerana acara-acara ini bermula jam 6.30 petang.

Namun pada 5 Julai lalu, meski sudah berpindah tempat kerja ke simpang Jalan Ampang - Jalan Tun Razak, saya menghadiri persembahan Alunan Warisan di DFP, semata-mata untuk menonton segmen pertamanya iaitu dramatari makyung bertajuk Raja Muda Nyiur Gading, skrip dan arahan oleh Zahari Hamzah.

Pengetahuan saya tentang makyung kosong. Saya hanya mula belajar mengenal makyung melalui perbualan dengan Rahimidin Zahari (penulis, penyusun buku Makyung: Warisan Mistik Malaysia). Jadi makyung yang saya kenal sedikit-sedikit ini adalah melalui 'kaca mata' Rahimidin. Tetapi piawaian saya terhadap satu-satu persembahan makyung tidak setinggi piawaian Rahimidin - saya buta tentang aspek teknikaliti tarian, nyanyian mahupun apa yang wajib, sunat, harus mahupun makruh lagi haram dalam sesebuah pementasan makyung. Saya menilai sesebuah persembahan hanya sebagai seorang penonton.

Namun, saya seorang penonton serius. Apabila menonton sesebuah pementasan, saya hadir untuk dihiburkan secara intelektual, bukannya untuk bergelak tawa mengosongkan fikiran dan jiwa. Saya anti lawak slapstik, lebih-lebih lagi yang digunakan secara berlebihan untuk memaksa penonton ketawa berdekah-dekah. Saya menyampah dengan penampilan watak pondan untuk tujuan yang sama. Apatah lagi jika pernah pada satu-satu masa, ada tidak kurang lima watak pondan di atas pentas. Ia tidak kelakar, tetapi murahan.

Lagi pula, saya terlebih dahulu memesrai DFP melalui persembahan muzik klasikal. Saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan bagaimana citra serta kualiti produk asing yang dijual di DFP - muzik klasikal yang tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas serta diakui pengkaji mempunyai kesan intelektual kepada pendengar - dengan produk tempatan; persembahan tradisional yang 'tersesat' menampilkan lawak jenaka kontemporari yang hanya sesuai dalam konteks semasa; saya naik geram apabila Peran Tua dan Peran Muda galak berjoget menyanyikan 'Jange Pande-Pande'. Ada penonton bukan tempatan, saya tertanya adakah mereka dapat menangkap lelucon yang nampaknya sangat digemari penonton tempatan ini.

Jenaka mendominasi pementasan ini, sehingga saya tidak merasai kesan saspen apabila permaisuri bertarung dengan puteri yang ingin merampas suaminya, Raja Muda Nyiur Gading. Ketika mereka bersiap-siap untuk berlawan, saya berasa bersemangat. Dalam pementasan makyung Dewa Indera Indera Dewa yang saya tonton di Istana Budaya sebelum ini, babak pertarungan adalah antara watak-watak lelaki. Maka saya berasa babak perempuan berlawan (walaupun matlamatnya berebutkan lelaki) adalah suatu kelainan yang menyegarkan. Namun sekali 'aku tampar engkau, engkau tampar aku,' babak itu berakhir.

Saya kecewa.

Saya juga berpendapat pementasan makyung Raja Muda Nyiur Gading di DFP ini terlalu mewah. Kostumnya memang cantik dan (nampak) mahal. Tetapi Rahimidin mengajar saya bahawa pakaian para pemain makyung sederhana sahaja. Dan katanya lagi, pakaian inang tidak boleh sama berkerlipan dengan pakaian raja. Saya turut keliru dengan peranan para penari yang duduk bersimpuh sepanjang pementasan, melainkan menari di pembukaan dan pengakhiran. Tidakkah merekalah yang sepatutnya menjadi para inang antara ramai?

Begitulah, serba-sedikit tentang makyung Raja Muda Nyiur Gading daripada perspektif peribadi orang yang tak tahu apa-apa tentang seni tradisi ini, melainkan menonton dan menikmati seni.


(Rahimidin juga menulis tentang makyung di sini)

1 komentar:

zahari said...

Saya Budak Baru Belajar, Kalau salah tolong tunjukkan.

Saya juga bukan tokoh makyong atau menulis sebarang artikal berkaitan makyong yang telah diterbitkan. Jadi saya hanyalah peminat dan diberi tanggungjawab untuk menggalas tugasan menbuat skrip Makyong Raja Muda Nyuir Gading (tajuk ini pun saya dapat pandangan daripada Rahimidin sebenarnya).

Tetapi berdasar pandangan daripada arwah Pak Harun Deraman (pemain rebab yg pernah bertugas di PETRONAS, mengatakan kepada saya bahawa persembahan makyong ini boleh dipersembahkan dalam 3 bentuk persembahan.

maksudnya 1. untuk upacara berbentuk ritual (berubat), 2. untuk persembahan mengangkat seorg perimadona dimana akan mengambil aspek dramatik yang akan diutamakan, 3. untuk hiburan semata-mata dimana aspek lawak itu yang ditonjolkan.

Jadi saya memilih bentuk yang ke 3. maka kerana itulah makyong Raja Muda Nyuir Gading dipenuhi dengan lawak slapsik ('murahan'). kerana lawak seperti inilah yang juga pernah saya lihat dalam persembahan makyong yang pernah dipentaskan oleh tokoh makyong di kota bharu dulu. (Masa sekolah.)

Memasukkan watak pondan dalam makyong mungkin menjadi satu kesalahan bagi pihak-pihak tertentu, tetapi bagi satu pihak yang lain mempunyai sebab tersendiri. Memandangkan watak Peran Tua dan Peran Muda agak kurang kuat jadi untuk memberi kesan komidi itu diselitkan watak-watak pondan. hal ini juga turut dibuat oleh tokoh makyong apabila merekla mementaskan makyong di Kuala Lumpur ("quran ajer yang tak boleh ubah")

jadi saya sebagai budak yang baru belajar kalau salah insyallah dilain kali jika diberi tanggungjawab untuk menbuat persembahan makyong, saya tidak akan ulangi lagi apa yang dikatakan dosa dalam mak yong.

kesalahan yang tika dapat dikawal seperti perkataan ok itu, amat dikesali kerana ianya tidak sengaja terkeluar oleh pelakon walaupun sudah dingatkan beberapa kali.

Berkaiatan keris, terima kasih atas teguran kerana itu memang saya tidak tahu. saya juga mendapat ilmu yang baru.

berkaitan peran tua yang mengatakan "seperti bertanya dengan kepala lutut ambo sendiri", itu bukanlah menggambarkan kebodohan peran itu. tetapi dialog itu kalau didengari betul-betul ianya bertujuan untuk menggambarkan sikap merendah diri yang ada dalam diri orang melayu.

(dialog tersebut juga saya ambil kembali daripada tokoh makyong yang pernah mengajar kami di PETRONAS suatu masa dahulu)

berkaitan kostium saya kira untuk mencantikkan lagi persembahan. Ianya agak subjektive. setiap orang ada pandangan masing. suatu masa nanti saya akan buat makyong yang seperti orang kampung pakai saja. kita tengok apa pulak pandangan peminat makyong nanti.

kalau dilihat betul-betul PETRONAS telah mengambil kostium penari mengadap rebab yang berbeza dengan pihak lain. kalau ikutkan kami cuba mengambil bentuk yang tradisi juga.

ini cuma pandangan saya sahaja yang sekadar minat terhadap seni persembahan ini. saya tidak ada susur galur yang sah dalam bidang ini. kalau ada pun susur galur itu tidak pernah saya tahu. kalau tahu ianya bagai sebuah cerita dongeng sahaja.

saya budak hendak belajar, bila salah tolonglah tujukkan.