Bagaimana Bumi Lestari bermula?
Begini.
Semusim yang lalu, saya tidur empat jam sehari selama dua minggu; bangun jam empat pagi, solat sunat lalu menulis tangan sebahagian bab sebelum menangguhkan pada jam enam pagi untuk bersiap-siap ke tempat kerja. Sampai di tempat kerja jam tujuh suku, saya singgah dahulu di kedai kopi. Bertemankan segelas americano (kadang-kadang dengan susu, tapi lebih kerap hitam sahaja) tanpa gula, saya menulis tangan lagi sehingga selesai bab yang dipaksa berhenti tulis di rumah tadi.
Kemudian saya naik ke pejabat, melunas tanggungjawab hakiki yang memungkinkan saya melepak 45 minit di kedai kopi pagi itu sehingga jam lima petang sebelum mencari kedai kopi lagi. Ada kalanya saya menulis pada waktu makan tengah hari tetapi kerapnya tidak. Saya sambung menulis di rumah selepas Maghrib, sehingga jam 12 malam. Tidur, dan rutin bermula kembali pada jam empat pagi.
Ada hari saya punya program lain yang memakan waktu sedia diperuntukkan untuk menulis. Yang paling saya ingat adalah konsert puisi Kata Luhur yang menampilkan Pak Samad di Dewan Filharmonik PETRONAS sempena Festival Seni KLCC tahun 2010. Maka pada malam sebelumnya, saya pastikan kuota bab untuk hari seterusnya itu disiapkan terlebih dahulu.
Seksa. Sungguh seksa ketika itu. Tidur kurang, tetapi dengan bantuan kafein dan adrenalin, alhamdulillah draf pertama bertulis tangan siap juga. Selepas itu barulah kerja menaip semula, mengemaskini bab dan fakta bermula. Saya harus mengaku bahawa sememangnya saya sengaja menulis dalam tempo yang pantas. Sebagai cerpenis, saya kurang sabar. Saya kenal diri sendiri; tahu jikalau terlalu perlahan, saya akan hilang minat terhadap sesuatu idea lantas akan meninggalkannya. Saya lekas bosan, perhatian saya lekas beralih; entah-entah saya ada ADD. Maka untuk novel sulung ini, saya sungguh-sungguh memaksa diri.
Novel ini lahir atas musabab kerinduan. Pada bulan Julai 2010, saya didesak kenangan sebagai pelajar di kampus kejuruteraan Colorado School of Mines di sebuah bandar kecil di kaki Perbanjaran Rockies. Saya teringatkan kehidupan sebagai pelajar yang tak berduit tetapi gembira seadanya, komuniti universiti yang menghormati kepelbagaian, rakan-rakan yang banyak berbagi pengalaman serta para pensyarah yang tidak lokek mencerahkan.
Tetapi saya tahu, kerinduan itu hanya boleh mencetus cerita. Sedangkan itu tidak cukup, kerana saya harus membina wacana. Wacana yang belum ada pada bulan Julai 2010 itulah yang akan membentuk plot. Oleh itu, ketika itu, saya hanya menukilkan separuh daripada Bab 1. Dokumen itu saya peram dalam komputer riba.
Oktober 2010; apabila dikenang kembali, sungguh Tuhan itu Maha Pemberi Rezeki. Saya merasakan Dia telah menghantar wacana yang saya cari-cari. Sebuah empangan besar projek mega bekas kepimpinan negara akhirnya siap dan mula menakung air. Penduduk peribumi yang dipaksa pindah dari tanah adat kalah dalam tuntutan di mahkamah. Saya jurutera, saya mula tertanya apakah tidak ada keharmonian antara kejuruteraan dengan aspek kemanusiaan. Kemajuan itu, apa harganya?
Tetapi, saya mahu menulis karya sastera. Saya tidak mahu hanya berkhutbah tentang wacana, sebaliknya ingin menyampaikan secara bercerita. Gerak hati lagi, saya akhirnya membaca novel awal dewasa bertajuk Wintergirls, karya penulis genre itu yang amat saya minati, Laurie Halse Anderson. Anderson sememangnya pintar mempamerkan (tanpa memberitahu) teenage angst dalam jiwa remaja melalui permasalahan berbeza. Wintergirls khusus mengangkat kisah remaja aneroksia. Dari situ, saya membina watak Amira.
Tetapi itu tidak cukup, masih berdenyar ingatan terhadap kesan emosi ditinggalkan novel Speak yang barangkali novel terbaik Anderson. Saya baca kembali Speak. Saya mahu jadi Amira, siswa jurusan kejuruteraan yang memendam rencam rasa itu. Bagaimana pun saya tidak ingat adakah saya membaca The Bell Jar oleh Sylvia Plath yang mati bunuh diri itu ketika menulis Bumi Lestari juga.
Namun, Bumi Lestari bukan sekadar tentang Amira, Tengku Adli anak tokoh korporat yang menjarah kedamaian pedalaman Ulu Pelangi dan Jai, anak peribumi yang dipaksa pindah. Bumi Lestari juga tentang Dr Hishamudin yang kehilangan.
Banyak watak sebenar dalam hidup saya dalam novel ini; ada yang saya kekalkan nama sebenarnya, ada yang saya kaburkan identitinya. Namun yang pasti, kebanyakan personaliti watak adalah cerminan insan-insan yang saya bertuah mengenali. Terima kasih atas sumbangan senyap kalian :)
Novel ini pendek, saya maklum. Namun sebagai membela diri, inilah yang mampu saya hasilkan dengan sumber yang saya ada pada ketika itu, semusim yang lalu. Harapan saya, agar ada manfaatnya percubaan pertama menulis novel ini, meski sebesar hama. Inshaallah.
















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)





2 komentar:
Syabas, saudari!!
Bukan mudah melahirkan karya sulung.
Tidak jauh bezanya daripada melahirkan apa-apa sahaja yang sulung.
Tahniah!
Post a Comment