
Dalam Bimasakti Menari, Sri Rahayu membawa pembaca sejenak merenung tentang aktiviti-aktiviti antropogenik yang telah mengakibatkan pencemaran cahaya sehingga langit tidak lagi gelap dan kelip-kelip Kuala Selangor tidak lagi mahu menunjuk cahaya.
Sri Rahayu memprovokasi, mengajak kita memikirkan tentang bagaimana sebenarnya kita menggunakan kemajuan teknologi yang telah kita capai - apakah untuk membantu kita hidup dengan lebih baik tanpa mengabaikan amanah menjaga kemandirian alam, atau untuk hidup yang lebih laju dan maju itu, kita persetankan sahaja persekitaran?
Nurul Hafsha, gadis kental graduan Ilmu Falak yang ingin mengembalikan langit gelap ke Kuala Selangor; agar daerah yang pernah masyhur sebagai lapangan pencerapan bintang-bintang itu kembali menggalas peranan itu.
Muhammad Taufik; si jejaka bercita-cita tinggi sedang membina penempatan di luar grid agar manusia kembali akrab serta bergantung pada alam dengan harapan kecaknaan terhadap kepentingan alam dalam kehidupan seharian akan menyubur. Muhammad Taufik juga membeli 50 hektar tanah di Kuala Selangor, memagarnya serta mencerap populasi kelip-kelip secara berkala.
Saya harus mengakui bahawa premis novel ini sangat menjanjikan. Malah, sebetulnya saya jatuh cinta terlebih dahulu dengan tajuknya. Jauh dalam novel ini Sri Rahayu menggunakan imej bimasakti itu untuk menggambarkan suatu objek lain, yang sebenarnya tidak pun jauh daripada subjek utama cerita. Dan kesannya terasa kerana di situlah tersimpulnya perjuangan dua aktivis alam sekitar ini.
Secara peribadi, saya merasakan Bimasakti Menari lebih baik daripada Impuls/Roh. Watak-watak diberi ruang yang wajar, kecuali barangkali watak Johann Arlington-Majid. Namun agaknya Sri Rahayu sengaja - buat apa beri ruang terlalu banyak kepada watak antagonis, bukan? Kemunculannya secara langsung dalam dua bab pun sudah cukup menjengkelkan!
Dari aspek penceritaan, saya masih kurang berpuas hati kerana Sri Rahayu lebih banyak memberitahu daripada menunjukkan. Penggunaan cakap ajuk juga berleluasa sehingga kadang-kala mengganggu. Dialog kadang-kala terlalu panjang.
Seperkara yang paling saya suka dalam novel ini adalah permainan imej dan simbolnya seperti tudung hitam bertatah kristal tujuh warna yang dipakai Nurul Hafsha. Selain itu, saya amat menggemari simbol dua ekor kelip-kelip terakhir di dunia, dan mereka tidak dapat bertemu kerana dikelirukan cahaya lampu-lampu.
Argh, buat julung kali Sri Rahayu memberi kita peluang untuk mengintai sisi romantisnya dalam novel ini!
















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)





1 komentar:
Hi sis,
Terima kasih kerana sudi menulis ulasan untuk BM. Ulasan balas ada di blog saya.
Post a Comment