The Hours: Hidup dan Mati dalam Sehari

Saya cuba membaca novel The Hours tulisan Michael Cunningham yang dibeli di kedai buku terpakai di South Broadway, Denver sebanyak dua kali. Sekali sewaktu mula-mula membelinya, dan kedua ketika menyertai Baca@LRT pada Februari 2010 yang bertemakan Sastera. Kedua-dua cubaan untuk menghabiskan buku itu gagal.

The Hours merupakan sebuah novel yang sangat perlahan perjalanan plotnya. Ia mengingatkan saya kepada My Name Is Red (Orhan Pamuk) yang juga perlahan, tetapi aspek kehalusan bahasanya menimbal balik kekurangan itu, meski My Name Is Red pun akhirnya saya tinggalkan selepas dibaca lebih separuh. Argh, barangkali The Hours lebih mirip Atonement (Ian McEwan) yang tidak juga berjaya memikat meski saya berkali-kali mengingatkan diri bahawa heronya James McAvoy yang kacak itu.

Tetapi saya belum mahu mengalah. Oleh itu, atas saranan rakan penulis, saya menonton filem The Hours terlebih dahulu.

The Hours merupakan sebuah novel yang dibina merentas era. Pertama, latar tahun 1923 di Richmond, England di mana Virginia Woolf sedang melawan kemurungan sambil menulis adikaryanya, Mrs. Dalloway. Kedua, tahun 1951 di sebuah sub-bandar di Amerika Syarikat di mana Laura Brown, seorang ibu muda sedang tertekan dalam kehidupan berkeluarga yang tidak pernah diingininya. Ketiga, tahun 2001 di New York, di mana Clarissa Vaughan selepas 20, 25 tahun, masih belum melepaskan cintanya terhadap Richard Brown yang sedang parah menderitai AIDS, biar pun lelaki itu pernah mencuranginya.

Ketiga-tiga latar masa ini berhubung: pada tahun 1951, Laura yang sedang mengenalpasti rasa terperangkapnya dalam sebuah kehidupan berkeluarga acuan penuh visi suaminya sedang menguliti Mrs. Dalloway, buku yang ditulis Woolf pada tahun 1923. Sementara Richard pula, merupakan anak sulung Laura.

Seperti Mrs. Dalloway, novel The Hours yang mengaitkan kehidupan yang dilalui oleh tiga wanita ini - Virginia, Laura dan Clarissa (bahkan Clarissa merupakan nama pertama Mrs. Dalloway!) - mengambil latar pada suatu hari sahaja. Ketika ketiga-tiga watak ini bangun pada pagi itu, mereka melakukan perkara-perkara trivia seperti yang dilalui sehari-hari. Namun, komplikasi berkembang dengan peredaran jam (the hours) pada hari berkenaan.

Tema yang saya lihat mengikat wanita-wanita ini adalah konsep hidup dan mati.

Bagi Virginia, dia merasakan kehidupannya di bandar sunyi Richmond adalah hukuman mati. Dia merindui libang-libu kota London, kendati pun ditengking suaminya yang setia, Leonard, bahawa Londonlah yang mula-mula menjadikan Virginia gila. Tetapi kata Virginia, itu lebih baik daripada tidak 'hidup' langsung di desa Inggeris yang damai, yang kononnya baik untuk kesihatan mentalnya.

Sementara Laura pula merasakan jiwanya mati dalam kehidupan sebagai seorang ibu dan isteri. Tambah pula, kehidupan itu dicorakkan sepenuhnya oleh suaminya, sedangkan dia sebagai wanita hanya mampu tersenyum dalam mekap dan baju cantik. Pada hari yang menjadi latar kisah Laura, wanita itu hampir membunuh diri, namun membatalkan niatnya apabila mengenangkan bayi yang sedang dikandung, serta anak sulungnya, Richard. Namun sebelum tidur pada malam itu, Laura telah membuat keputusan nekad untuk melakukan sesuatu agar dia dapat 'hidup' semula.

Clarissa. Argh, Richard menggelarnya Mrs. Dalloway ketika mereka masih berkasih sewaktu muda-muda dahulu. Clarissa 'mati' apabila Richard lari dengan lelaki lain, Louis Waters. Tetapi dia tidak ralat menjaga Richard yang semakin tenat diratah AIDS yang tiada penawar. Cinta yang ditunjukkan Clarissa itulah, kata Richard, yang menyebabkannya terus berjuang untuk hidup, sedangkan dia tidak ingin untuk terus bernyawa. Richard bahkan menyuruh Clarissa membenarkannya mati agar wanita itu dapat hidup untuk dirinya sendiri. Dan apabila Richard membunuh diri - di hadapan Clarissa - wanita itu akhirnya bebas, atau hidup semula, daripada beban yang dipikulnya sendiri itu.

Inshaallah, semoga pembacaan novel The Hours lancar selepas ini!

Teori Sastera Melayu Dalam Pembikinan

Buku Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making tulisan Dr Zawiah Yahya saya beli di Ujana Ilmu. Tatkala berkunjung ke sana pada hari terakhir tahun 2010 itu, sebaik Puan Nisah Haron menunjukkan buku tersebut, saya terus jatuh cinta dengan kulit hadapannya. Tanpa sempat membaca tajuk buku, saya terus meminta sebuah untuk dibeli.

Ternyata, sebagaimana kualiti sesebuah buku pun, yang dipandang orang tetap kulitnya dahulu. Inilah contoh persembahan sebuah buku ilmiah yang bermaruah, yang mengujakan pembaca untuk memegang dan membeleknya. Bahkan ada yang mungkin membelinya secara impulsif. Buku ini Isnin lalu (24 Januari 2011), saya lihat sudah dipamerkan di rak Highlights/New Arrivals di Kinokuniya.

Menyentuh kandungannya, buku kecil ini merumuskan lima pendekatan (approaches) dalam menilai karya sastera Melayu yang dicadangkan oleh sarjana-sarjana tempatan. Pendekatan-pendekatan yang dimuatkan dalam buku ini adalah:

1. Puitika Sastera Melayu (Muhammad Hj Salleh)
2. Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang)
3. Gagasan Persuratan Baru (Mohd Affandi Hassan)
4. Teori Takmilah (Shafei Abu Bakar)
5. Teksdealisme (Mana Sikana)

Selain itu, di Bab Satu, Dr Zawiah menyebut juga tentang pendekatan "Kata-kunci" oleh Mohammad Mokhtar Hassan dan pendekatan estetik "Rasafenomologi" oleh Suhaimi Abdul Aziz.

Walaubagaimana pun, hanya lima pendekatan yang disenaraikan di atas dihurai secara mudah, ringkas tetapi padat oleh Dr Zawiah. Sebelum membedah (secara ringkas tetapi padat) setiap pendekatan, Bab Satu menghuraikan sejarah pembinaan teori sastera Melayu di negara ini, termasuklah sebab mengapa perlunya kita membina kayu ukur sendiri dalam menilai karya-karya tempatan. Ini disebabkan oleh pendekatan teori sastera dari luar yang tidak bersesuaian, malah menentang rangka agama dan budaya setempat.

Bab ini sangat menarik pada saya, seorang pembaca yang tidak mempunyai latar dalam bidang sastera selain menulis 'ikut suka hati' tanpa bersandarkan sebarang teori atau teknik khusus, kerana ia memaparkan sisi lain bidang sastera yang sangat asing bagi saya, iaitu tugas kesarjanaan. Saya terkesan melihat pembinaan teori sastera Melayu yang kuat sebenarnya adalah jalan membina identiti dan jatidiri juga, yang seterusnya akan menuju ke arah pembinaan tamadun. Suatu tanggungjawab yang besar, dan belum selesai!

Ya, belum selesai kerana menurut Dr Zawiah, pendekatan-pendekatan yang sedia ada pada masa ini kebanyakannya belum mencapai tahap teori dan aplikasi. Gagasan Persuratan Baru barangkali merupakan pendekatan yang paling 'lengkap' sebagai sebuah teori kerana ia mempunyai skop, modul pengajaran, karya sedia ada yang boleh dinilai menggunakan teori ini serta genre baru yang akan memperjuangkan gagasan ini.

Namun, banyak juga suara yang kurang menyenangi Gagasan Persuratan Baru, di samping pendekatan-pendekatan lain yang dilihat kurang lengkap dan menyeluruh perinciannya untuk dipanggil teori. Oleh sebab itu, tajuk buku ini menekankan bahawa teori-teori sastera Melayu masih dalam pembikinan!

Kata SM Zakir

"Kekuatan cerpen Rebecca Ilham pula dilihat daripada jalur penggunaan bahasa yang kemas dan saintifik, di samping memuatkan fakta dan hujah pemikiran yang mencapah luas. Ketara juga nuansa pemikiran yang mengangkat nilai-nilai Islam. Cerpen Rebecca Ilham "Protokol Cinta" (Dewan Sastera, Disember 2009) contohnya memberikan gambaran yang jelas terhadap segala yang disebutkan di atas."

-Petikan artikel "Cerpen Mutakhir Sastera Malaysia" oleh SM Zakir (Dewan Sastera, Disember 2010)

Naratif Ogonshoto: Pembacaan Yang Terlambat

Naskhah Naratif Ogonshoto (Anwar Ridhwan) berusia lebih tiga tahun, dibeli sewaktu pulang bercuti musim panas seusai tahun sophomore di universiti, dibawa merentas lautan dan benua ke Amerika dalam beg pakaian yang tepu buku ketika itu, dibawa pulang semula ke tanah air dalam kotak melalui kontena kapal laut tetapi tidak juga usai dibaca.

Saya percaya membaca merupakan suatu aktiviti interaktif - bukan saya sahaja yang memilih buku, tetapi buku juga memilih saya. Selain itu, pelbagai faktor persekitaran lain turut mempengaruhi aruhan emosi dan fikiran yang menjadikan sesuatu buku itu 'buku masa ini.'

Begitu jugalah halnya dengan Naratif Ogonshoto. Bahkan setelah Dato' Dr. Anwar Ridhwan diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN), saya belum begitu tergerak hati untuk membacanya; sekadar satu lagi nota mental bahawa saya 'mesti baca.' Akhirnya, karya pertama SN Anwar Ridhwan yang baca ladeni adalah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (versi terjemahan).

Namun, perkembangan serta pelbagai pergolakan di sekitar saya dalam beberapa minggu, bulan dan hampir dua tahun semenjak pulang untuk selama-lamanya ke tanah air, mendorong saya meratah Naratif Ogonshoto dengan rakus dan nikmat sekali. Naratif Ogonshoto merupakan sebuah novel yang boleh juga dianggap sebagai kumpulan cerpen mendedahkan kerencaman citra kebobrokan manusia di Ogonshoto, negara di hujung benua Amerika Selatan yang terdiri daripada tiga gugus pulau (Rai-Rapa, Futu-Ata dan Gora-Gora).

SN Anwar Ridhwan mencipta Ogonshoto sebagai sebuah negara bekas jajahan Jepun, yang kini merdeka secara lahiriah, tetapi masih ditawan pemikiran, sahsiah dan siasah oleh anasir-anasir asing. Beliau mengangkat wacana tentang siasah dan kritik sosial dengan bersahaja, melalui permainan simbol serta perlambangan di samping menyelitkan unsur-unsur saintifik (penyulingan air laut dalam Aisberg, kamera yang mampu merakam masa lalu pada masa kini dalam Kamera sebagai contoh) serta elemen realisme magis yang kuat.

Naratif Ogonshoto boleh dibaca selapis, tetapi lebih indah andai diteliti yang tersirat. Terus-terang, saya pun hanya mampu menghadam naskhah ini di permukaan sahaja. Saya paling terkesan dengan bab (atau cerpen?) yang menegaskan kewajipan untuk mendedahkan kebenaran. Sebaris frasa yang sangat saya iingati serta menjawab rasa yang ketika itu berbelah bagi adalah: "Kebenaran yang membisu samalah buruknya dengan kekotoran dan kejahatan yang merajalela" (Bab Mainan, hal. 123). Bab Mainan ini juga merupakan bab yang paling menggamamkan saya, terutamanya apabila menyedari elemen saspen yang secara subtle dibina oleh SN Anwar Ridhwan sedari awal.

Membaca Naratif Ogonshoto dari bab ke bab (atau cerpen ke cerpen?), tidak sukar rasanya menghubungkan pertalian antara Ogonshoto, sebuah negara nun di Lautan Pasifik yang dibelenggu neokolonialisme dengan iklim di sekitar kita juga. Ogonshoto, seperti sekian banyak objek lain dalam magnum opus SN Anwar Ridhwan ini adalah simbol yang membawa kita keluar dari kotak, lalu meneliti peribadi serta persekitaran kita dari luar tubuh dan persekitaran hakiki. Tetapi pada Epilog-nya, naskhah ini mengajak kita pulang; pulang ke Kali Besar di Tanah Malaya. Pulang dengan kesedaran, tentunya.


Terima kasih, SN Anwar Ridhwan kerana menulis buku ini, juga kerana sudi menurunkan tanda tangan di atas naskhah milik peribadi di Rumah GAPENA tempoh hari.

Sisi Lain


Demonstrasi Aman NGO terhadap Pembakaran Buku Interlok di Rumah GAPENA
15 Januari 2011
Kredit foto: Sinaganaga

Seperti yang saya katakan kepada beberapa orang, kejadian yang menyedihkan ini menggamamkan, menjadikan saya terlalu kelu untuk berkata lisan dan kaku untuk menulis pernyataan. Maka saya hadir sebagai pemerhati dan pendengar, dalam bahasa bisunya menyatakan pendirian.


Borak Buku (Episod Pilot) bersama SM Zakir
Starbucks, KL Sentral
16 Januari 2011
Kredit foto: Arif Atan

Seusai sesi 'bercerita' tentang Taras Boulba (karya Nikolai Gogol) oleh Sasterawan Muda MASTERA, SM Zakir, kami melanjutkan bicara tentang hal-hal lain - termasuklah perancangan acara baca puisi di pulau selatan, inshaallah. Oh, saya bukan mantan MPR, ya! ;P



Berjuang melalui pena sahaja tidak memadai. Tindakan juga perlu.
Ada teman yang bertanya, "kau tak penat?"
Jawab saya (dalam hati), "Dunia tempat berjuang, di akhirat boleh bersenang-senang, inshaallah."

Menulis itu tentunya aktiviti bersendiri-sendiri dan bersunyi-sunyi. Tetapi dalam dunia ini, kita bukan hidup seorang diri, dalam dunia yang utopia serba-serbi!

Cuma yang mengecewakan, saya mencari wajah-wajah penulis lain segenerasi di acara-acara sebegini. Argh, kita ramai bukan? Tetapi entah mengapa selain kelibat penulis-penulis mapan serta rakan-rakan yang sama, tampang rakan-rakan lain yang ingin saya kenali dan gauli dengan lebih dekat tidak kelihatan.


(Sedang tunggu siapa-siapa muat naik gambar di Dialog Orang Muda yang mempolemikkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - ada konsep yang saya tak begitu faham yang akhirnya difahami atas penjelasan ilmiah para panel. RUGI sapa tak pi! Terima kasih!)

Kimono Ungu Bakal Didiskusikan


Tarikh: 6 Januari 2011.
Hari: Hari Khamis.
Waktu: 10.00 pagi
Tempat : Bilik Kiambang di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Terdapat dua pembentangan iaitu

1. Che' Abdullah Che' Yahya pensyarah dari UKM dengan judul makalahnya Analisis Pemikiran Novel Daun (Malim Ghozali PK).

2. Encik Mohd Ali Atan (APM, UM) dengan makalah berjudul Resepsi Kump. Cerpen Kimono Ungu Bersulam Bunga: Jati diri Gadis Perantau (Rebecca Ilham).

Jemput datang!

Why Be In The Dark When You Have The Choice to Be In The Light?

Saya tidak boleh menulis tentang emosi hitam - saya bukan orang yang suka berlarut-larut meladeni, melayani tekanan; balik ke rumah sunyi, masuk ke bilik yang gelap macam gua, tutup lampu, tarik selimut sampai tutup kepala lalu tidur 14 jam. Saya pernah membaca buku-buku fiksyen YA tentang remaja depresi seperti ini (masih membacanya kadang-kala), malah pernah juga mengikutkan hati melakukan perkara seperti yang digambarkan atas sebab-sebab bodoh, tetapi apabila terbangun dari tidur 14 jam itu, saya akan berasa sangat lemah kerana tidak bertegas dengan diri sendiri. Maka saya akan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

Maka, adakah saya seorang yang palsu dan berpura-pura kalau saya menolak untuk menulis tentang emosi hitam?

Saya bukan ustazah, tetapi sudah banyak kali saya gagal menemukan ketenangan dengan cara selain mendekatkan diri dengan Tuhan, dengan fitrah. Jikalau saya menolak untuk menulis tentang kebenaran yang saya temui ini, bukankah itu lebih palsu dan berpura-pura?

Ya, tentunya saya punya sisi gelap sendiri. Tetapi apakala saya tidak membiarkannya mendominasi personaliti tetapi hanya menjadikannya sebagai satu kaedah check and balance kelemahan serta kekuatan diri - tentu ia tidak mendefinisikan siapa saya sebagai manusia, atau juga penulis. Maka perlukah saya menulis tentang sesuatu yang tidak saya mesrai?

Saya tidak memiliki, atau setepatnya, telah merdeka daripada kekacauan jiwa seperti yang digambarkan Ryu Murakami dalam Piercing, atau Sylvia Plath dalam The Bell Jar.

Dan kamu, bila lagi?