Doctor Zhivago: Pengalaman Pembacaan Yang Berliku

Yang lusuh


Yang hilang


Ini bukan ulasan tentang novel agung Boris Pasternak, Doctor Zhivago. Itu memerlukan sebuah entri khusus. Sebaliknya, entri ini merupakan rakaman pengalaman membaca Doctor Zhivago selama hampir 20 hari.

Saya pernah meminjam novel ini dari Golden Public Library semasa belajar di Colorado School of Mines, tetapi gaya penceritaan yang perlahan dan bertele-tele membantutkan keinginan saya untuk membaca karya besar yang bertanggungjawab menaikkan nama Pasternak sehingga memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan ini. Saya pernah menonton (tetapi tidak habis) adaptasi layar peraknya semasa anak-anak, namun ingatan terhadap Omar Sharif yang kacak itu pun tidak mampu mendorong. Buku itu akhirnya saya pulangkan tanpa berganjak melepasi Bab I sekalipun.

Sungguh pun begitu, jauh di sudut hati, saya berazam untuk membacanya juga suatu hari nanti. Namun faktor-faktor seperti naskhah yang dijual di Kinokuniya edisi kulit keras (dan mahal) serta lain-lain alasan, hasrat itu terbantut. Sehinggalah rakan penulis dan juga rakan di Goodreads - Leyla Shuri yang tinggal di Okinawa, Jepun - mengumumkan bahawa beliau sedang memburu naskhah Doctor Zhivago.

Kebetulan, sekitar masa itu juga, artikel tentang novel Doctor Zhivago menjadi buku kegemaran Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said sehingga mengulang baca setiap tahun terbit di akhbar Mingguan Malaysia. Saya menjadi semakin teruja, terdorong untuk menguliti kisah doktor Rusia (yang berwajah seperti Omar Sharif) itu.

Sebaik kembali ke ibu kota seusai cuti Tahun Baru Cina, saya bergegas ke Book Xcess setelah dikhabarkan seorang teman Goodreads yang lain - Haryati - bahawa novel itu dijual di sana. Naskhah terbitan tahun 2002 itu banyak yang tidak kena - saiz tulisannya terlalu kecil untuk orang rabun seperti saya, kulitnya tidak berkenan di hati dan kapsyen "One of the greatest love stories ever told" membuatkan saya berasa segan membacanya di dalam LRT. Namun saya beli juga. Mana nak cari Doctor Zhivago dengan harga runtuh RM 17.90?

Kurang seminggu kemudian, saya mengunjungi kedai buku terpakai, Junk Bookstore di Jalan Tun HS Lee, yang diperkenalkan oleh teman penulis dan rakan Goodreads - Norziati - pula. Dalam perjalanan ke sana, Doctor Zhivago dari Book Xcess merupakan peneman dan telah menjadi modal untuk saya berkenalan dengan seorang wanita Cina yang duduk di sebelah di dalam LRT.

Wanita itu bernama Angelica (nama Cina-nya saya lupa, tetapi bermaksud "a cloud in the sky"). Dia menegur saya, "Buku ini pernah difilemkan, bukan?" Cukup itu sebagai mukadimah. Kami kemudiannya bercakap tentang Omar Sharif, tentang Julie Christie dan berlanjutan ke Gone With The Wind (boleh tak saya ingat Rhett Butler itu pelakonnya, sedangkan watak Butler sebenarnya dibawa oleh Sharif? Haha).

Angelica lahir pada tahun 1956, dan dia mengaku tidak berpelajaran tinggi. Saya terkejut, kerana wanita ini sangat cultured perawakan dan pertuturannya. Maka dia pun bercerita tentang teman sekolahnya sekeluarga yang berhijrah ke Kanada, lalu menghadiahkan buku-buku di perpustakaan peribadi mereka kepadanya.

Kami berpisah kerana saya sudah tiba di stesen Pasar Seni ketika itu. Di Junk Bookstore kemudiannya, saya menjumpai naskhah lusuh Doctor Zhivago terbitan Fontana Books yang kulitnya menampilkan gambar Omar Sharif dan Julie Christie. Naskhah itu sudah uzur, bertampal-tampal pita pelekat dan sangat kuning kertasnya. Harganya RM 18. Teman saya sudah berpesan bahawa buku-buku di kedai ini agak mahal - sesuai dengan nilai buku. Mungkin atas dasar sentimental, biar pun pada pertengahan bulan, saya membeli buku itu. Pulang ke rumah, saya menyeranah diri kerana terlalu impulsif. Terasa bodoh kerana membeli buku buruk, yang sudah dimiliki edisi lebih baru (oleh penterjemah yang sama pula tu!).

Saya menyelit naskhah lusuh itu ke atas rak yang hampir 'meletup' dan melupakannya. Pembacaan diteruskan menggunakan naskhah baru. Setelah sampai lebih separuh, atau setepatnya di halaman 383, dalam rusuh, naskhah itu tertinggal di stesen LRT yang saya kerapi setiap hari. Ralat kerana pembacaan semakin laju, saya 'mengorek' naskhah lusuh dari rak, menyambung pembacaan sebelum tidur dengan harapan agar buku itu masih ada apabila saya mengunjungi stesen yang sama keesokan harinya.

Sayang, buku itu tiada lagi.

Ketika itu, barulah hikmah pembelian impulsif lebih seminggu sebelum itu jelas. Saya menerima dengan hati terbuka. Naskhah lusuh itu saya buka dan baca di dalam bas. Tanpa saya sangka, seorang wanita berbangsa asing yang sering menaiki bas sama saban petang tiba-tiba menukar tempat duduk ke sebelah saya. Katanya, "Terima kasih kerana membaca sastera Rusia. Saya orang Rusia, jurutera di sini."

Saya menyambut tegurannya dengan senang hati, namun sempat mengangankan suatu hari nanti, kalau ada rezeki, saya di negara luar dan melihat bangsa lain pula membaca karya sastera negara saya. Mungkin saya akan bertindak seperti wanita Rusia itu, dengan bangga mendekati dan mengucapkan terima kasih.

Argh, Doctor Zhivago! Siapa sangka banyak perkara sampingan yang saya temui sepanjang mendampinginya? Terasa sayang pula untuk mengucapkan selamat tinggal kepada buku yang akhirnya tamat dibaca selepas hampir 20 hari ini!

Gogol Yang Pertama

Saya sebetulnya sudah membatalkan niat awal untuk menulis tentang pengalaman membaca dan menanggapai novela Nikolai Gogol yang bertajuk How The Two Ivans Quarreled. Pertama, kerana saya belum cukup kenal Gogol sebagai seorang penulis besar Rusia, dan kedua, kerana novela ini bukanlah antara karya Gogol yang terkenal. Malah semasa membacanya pun, saya sangsi akan nilai tambah yang saya akan perolehi daripada buku kecil itu. Ya, suatu persoalan yang sangat angkuh sekali, sehingga saya mengingatkan diri - jangan sesekali menyombong dengan buku, dengan ilmu. Tetapi akhirnya saya menulis juga entri ini atas saranan seorang teman penulis. Dan juga kerana kesan kata-kata teman penulis yang lain, tentang khalayak sastera tempatan yang tidak kritis.

Saya julung kali diperkenalkan kepada Nikolai Gogol oleh Jhumpa Lahiri, lewat novel sulungnya (dan tunggal setakat ini), The Namesake. Ketika itu, adalah saya mencari-cari maklumat lanjut tentan Gogol, sehingga berjumpa dengan kisah kematiannya akibat berlapar. Maka saya menyimpulkan Gogol penulis gila, maka karya-karyanya pun mesti berkisar tentang kekacauan jiwa. Saya terlupa bahawa sejarah Rusia yang banyak dan besar, tentang hubungan kaum dan pergolakan politik tentunya lebih berbaur dalam karya-karya Gogol, seperti juga penulis sezamanna, Dostoevsky.

Saya berasa terpanggil untuk mengenali Gogol dengan lebih dekat lagi selepas sesi Borak Buku bersama SM Zakir pada 16 Januari 2011 yang bertempat di kedai kopi kapitalis Starbucks, KL Sentral. SM Zakir telah memilih novel Taras Bulba tulisan Gogol untuk dikongsi dengan khalayak yang hadir sebagai buku yang memberi kesan besar terhadapnya.

Dari acara yang mirip sesi bercerita ini, salah faham saya selama ini terhadap Gogol telah dibetulkan. Gogol menulis tentang perjuangan, tentang patriotisme bangsa Cossack, tentang cinta dan juga pengorbanan. Tidak ketinggalan juga, Gogol membidas pihak-pihak tertentu seperti golongan Yahudi dimakinya habis-habisan, serta pertikaian antara negara-negara di rantau Eropah Timur.

Saya kemudiannya terdorong untuk membaca sendiri karya-karya Gogol, bermula dengan How The Two Ivans Quarreled. Sebab utama saya pilih buku ini dan bukan buku Gogol yang lain? Haha, kerana novela kecil itu yang paling murah antara yang lain! Taras Bulba sudah saya muat turun salinan lembutnya (buku ini berusia lebih 50 tahun, maka ia sudah menjadi milik umum), sementara saya berasa belum bersedia untuk terjun terus ke dalam dunia The Overcoat yang dikatakan magnum opus Gogol.

Meski pun kurang dikenali, How The Two Ivans Quarreled sangat menghiburkan. Ia mempunyai signature Gogol yang kuat, seperti pemerian fizikal watak yang sangat terperinci. Mengikut maklumat yang saya perolehi selepasnya, Gogol melihat watak-wataknya sebagai karikatur, dan menggambarkan mereka dengan pandangan geometrikal. Hal ini sangat jelas dalam novela yang saya baca itu. Saya melihat ini dilakukan untuk mengenengahkan perwatakan bukan fizikal watak melalui gambaran zahirnya. Ivan I misalnya digambarkan sebagai lelaki yang berpakaian kemas, dan pembersih. Sementara Ivan N pula gemuk dan gemar tidur sahaja di rumah. Melalui gambaran ini, tanggapan awal saya adalah Ivan I adalah protagonis, sementara Ivan N pula antagonis.

Tanggapan ini bagaimana pun terhakis apabila Ivan I dengan licik cuba memujuk Ivan N agar menukarkan pistolnya (atau senapang?) dengan seekor babi dan dua karung oat. Perbualan mereka itu berlanjutan sehingga Ivan N yang tidak dapat membendung irritation kerana didesak, memanggil Ivan I dengan gelaran 'angsa.' Gelaran naif itu bagaimana pun telah mencetuskan perbalahan besar sehingga dua sahabat ini berpatah arang dan berkerat rotan.

Perbalahan ini diadukan kepada hakim di Mirgorod oleh kedua-dua pihak. Namun ia tidak pernah diambil serius oleh pihak berkuasa. Sebaliknya, selain satu usaha mendamaikan dua Ivan ini yang gagal, perbalahan ini berlanjutan selama berpuluh-puluh tahun. Ivan I dan Ivan N diberikan harapan-harapan palsu oleh pihak mahkamah sehingga akhirnya, kisah mereka diakhirinya dengan kesimpulan bahawa hidup ini bukanlah sesuatu yang dramatik pun.

Kesimpulan itu cukup menikam. Gogol diakui sebagai penulis realisme, telah merakam keadaan sebenar masyarakat sehingga ke realiti paling menyakitkan sekali pun.

Buku ini bukan karya Gogol yang terkenal, tetapi cukup sebagai pengenalan yang membuat saya ingin terus mendalami dunianya.