Feminisme dan Pascamodenisme

Alhamdulillah, sempat mencuri masa bercuti dari kerja hakiki dan menghadiri Seminar Wanita dan Cabaran Aliran Pascamodenisme: Penilaian dari Perspektif Islam di IKIM selama dua hari.

Pada hari pertama, enam (6) kertas kerja dibentangkan. Kertas pertama oleh pengkaji dari Institut Kajian Etnik, Prof Dato' Dr Sharifah Zaleha Syed Hassan bertajuk "Pascamodenisme, Masyarakat dan Wanita Islam: Mengungkapkan Pengalaman Malaysia" sangat mengujakan.

Antara lain, Prof Sharifah Zaleha menggunakan kepakarannya sebagai ahli sosiologi untuk memerhati dan menganalisa situasi masyarakat Malaysia pada masa kini. Beliau terlebih dahulu menghuraikan konsep modenisme, diikuti dengan pascamodenisme yang nihil. Kesinambungan daripada itu, Prof Sharifah Zaleha menegaskan bahawa di Malaysia, gerakan pascamodenime belum ada, tetapi pengaruhnya sudah kelihatan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi (kerana pascamodenisme didorong oleh perkembangan ekonomi kapitalistik), politik, seni dan budaya.

Prof Sharifah Zaleha dengan tegas dan berterus-terang mengajak peserta seminar menolak aliran pascamodenisme yang berasal dari Barat ini. Beliau menekankan bahawa ideologi sebegini bukan budaya tempatan. Beliau juga mengajak peserta berhati-hati dengan sensasi naratif-naratif mini yang menyamaratakan kedudukan golongan-golongan pinggiran yang jelas tergelincir daripada landasan agama (Islam) dan budaya tempatan dengan naratif agung (kebenaran Islam). Ini selari dengan ciri pascamodenisme yang menolak kebenaran mutlak, sebaliknya meraikan kepelbagaian serta keghairahan dalam mentafsir kepelbagaian itu.

Daripada pemerhatiannya, Prof Sharifah Zaleha menyimpulkan bahawa pengaruh pascamodenisme di Malaysia paling ketara dalam dua perkara iaitu perjuangan persamaan agama dan emansipasi wanita. Beliau menyeru para peserta untuk tidak bersikap apologetik dalam menangani golongan yang memperjuangkan dua perkara ini, kerana sikap demikian seolah-olah membayangkan kita mengiktiraf 'kekurangan' agama Islam dan budaya tempatan serta menyanjung superioriti Barat.

Dalam sesi perbincangan kemudiannya, apabila ditanya tentang sejarah gerakan emansipasi wanita di Malaysia, Prof Sharifah Zaleha telah 'mendedahkan' sejarah penubuhan sebuah pertubuhan yang menjaguhi naratif-naratif mini seputar isu-isu wanita di negara ini. Pertubuhan itu diasaskan oleh sekumpulan intelektual berpendidikan Barat dan berfikiran pascakolonial dengan tujuan untuk menolak Islam sementelah bercambahnya kesedaran beragama rentetan kebangkitan Islam pada masa itu. Pertubuhan ini menggunakan label moden dan progresif untuk menyebarkan ideologinya, sementara pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain digambarkan sebagai konservatif dan kolot.

Satu kertas yang khusus membincangkan tentang isu feminisme adalah "Feminisme Islami: Suatu Sanggahan Terhadap Keadilan Musawah" oleh En Md Asham Ahmad, felo di Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, IKIM. Dalam pembentangannya, En Md Asham telah membezakan antara keadilan dan kesamarataan. Keadilan, iaitu meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya tidak sama dengan kesamarataan. Selain itu, En Md Asham juga menghuraikan bagaimana konsep musawah itu sendiri bertentangan dengan ajaran Islam, selain pekat nafas pascamodenisme-nya.

Terdapat sepuluh (10) kertas semuanya dibentangkan oleh para pemakalah daripada perspektif kepakaran masing-masing termasukah bidang fiqh dan undang-undang. Semuanya menegaskan pascamodenisme bukan sahaja bersalahan dengan ajaran Islam dan kebudayaan Timur, malah menggariskan implikasi buruknya terhadap sistem pemerintahan, struktur kekeluargaan dan kesejahteraan sosial di Malaysia andai tidak segera dipatahkan.

Catatan Kecil Tentang Rebab Berbisik


Saya tidak tahu apa-apa tentang teater. Yang saya tahu, adalah menonton. Ketika menonton, saya bukan sahaja ingin dihiburkan, tetapi lebih penting, saya mahu dihidangkan dengan provokasi dan ideologi.

Saya mengakrabi teater sewaktu menuntut di luar negara. Bermula dengan pementasan Cyrano de Bergerac karya Edmund Rostand di Manchester Royal Exchange Theater, saya mula memesrai Denver Center Theater Company (DCTC), Miners Alley Playhouse, Fakulti Teater University of Colorado at Denver di kota berhampiran tempat saya belajar serta Mines Little Theater di universiti saya sendiri. Hampir setiap minggu saya akan menggilir menonton pementasan yang dirasakan menarik, terutamanya di DCTC. Jarang sekali teater pilihan mengecewakan - jikalau saya tidak menyukainya sekali pun, pasti ada sesuatu yang menggugah, membekas yang saya rasai dan pelajari.

Di sana, saya belajar untuk terbuka menerima naskhah-naskhah baru, termasuklah yang memang 'ditempah' (commissioned) khas oleh kompeni, yang juga mempunyai konservatori (akademi) teater sendiri, di samping mengenali komedi/tragedi Greek juga drama-drama Shakespeare. Saya senang menonton pelakon-pelakon profesional, tetapi tidak lekas pula menghukum pelajar-pelajar teater yang berpotensi besar. Selepas semusim, saya mula mempunyai pelakon-pelakon kegemaran sehingga desakan untuk menonton kadang-kala didorong faktor ini.

Tetapi sampai sekarang, seperti yang saya katakan pada Pak Sutung ketika kebetulan ternampak beliau duduk minum teh sendirian di kafe IB, saya tidak tahu apa-apa tentang teater. Saya hanya tahu menonton. Jawab Pak Sutung yang kelihatan semakin uzur, tak apa, tontonlah.

Dengan ingatan itu, saya menonton monodrama Rebab Berbisik, karya dan arahan Rahimidin Zahari serta lakonan oleh Rosnan Rahman bersama penulis-penulis senior SM Zakir, Lutfi Ishak dan Ridzuan Harun. Oleh kerana saya tidak tahu apa-apa tentang teater, saya tidak boleh bercakap apa-apa tentang teknikaliti. Yang saya dapat daripada pementasan yang menampilkan empat watak itu, adalah kekritisan naskhahnya.

RB hadir bukan untuk berkeluh-kesah, seperti kebanyakan karya-karya senada. RB hadir untuk mengkritik dengan keras dan tegas. RB dengan berani menyuarakan banyak perkara yang selama ini bergema di dalam cepu fikir dan dada kebanyakan kita. Atas lesen puitika dan kebebasan seni, RB 'memukul' banyak pihak secara lantang, tetapi sinis dan masih santun. Bukan sahaja pihak berwajib yang sewajarnya melestarikan warisan makyung di'bantai' habis-habisan dalam monodrama ini, tetapi juga sikap masyarakat yang double-standard serta kelompok 'ustaz halal-haram'.

Saya berasa sedih dengan hari tua Pok Su yang sunyi. Emosi saya semakin bergalau apabila seorang wanita berusia yang duduk di seberang saya mengesat air matanya. Saya, atau kami, barangkali tak tahu apa-apa tentang teater, tetapi kalau sampai emosi terkesan, itulah naskhah teater yang membekas di ingatan.

Tahniah untuk Rahimidin dan produksi.

Rebecca Ilham di PBAKL 2011


Majlis Peluncuran Buku Ameen Books:
1. Kumpulan Cerpen:
  • Tak Sombong Pun Tak Apa (Muhammad Teja)
  • Kimono Ungu Bersulam Bunga (Rebecca Ilham)
  • Memaknakan Cinta (Salina Ibrahim)
2. Kumpulan Puisi
  • Tajam Fatamogana (Roslan Shariff)

Tarikh: 29 April 2011 (Jumaat)
Masa: 5.00-6.00 petang
Lokasi: Pentas Utama, PWTC

Dijemput peminat buku hadir beramai-ramai!

Paris dari Kaca Mata Ernest Hemingway

A Moveable Feast, catatan Ernest Hemingway tentang tahun-tahun awalnya menjadi seniman di Paris memang menjadi bahan bacaan idaman saya. Beberapa kali mencarinya di Kinokuniya, tidak ada edisi mampu milik (mengikut piawaian peribadi). Sehinggalah minggu lalu, beberapa hari selepas membaca artikel kembara berkenaan Paris juga di akhbar New York Times, saya bertemu A Moveable Feast edisi kulit lembut bersaiz kompak terbitan Arrow.

Hemingway menulis kisah-kisahnya di Paris secara kronologi. Semua bab dalam buku kecil itu dinukilkan pada tahun-tahun akhir hayatnya. Barangkali sewaktu di Paris, Hemingway terlalu sibuk menulis cerpen (dan akhirnya novel pertamanya - The Sun Also Rises). Dia ke Paris sebagai jurnalis yang menulis kreatif pada mulanya, sebelum menjadi penulis sepenuh masa.

Dalam buku ini, Hemingway kelihatan sangat jujur. Dia menceritakan tentang tabiatnya menulis - Hemingway jarang menulis di pangsapuri sewaan yang didiami bersama isterinya, Hadley, anak kecil mereka Bumby dan kucing peliharaan, F. Puss. Sebaliknya, dia menyewa sebuah bilik hotel untuk dijadikan pejabat tetap. Hemingway akan keluar pagi, dan hanya akan berhenti menulis pada waktu petang. Sebelum pulang, dia akan berjalan-jalan di Taman Luxembourg.

Kerap juga dia menulis di kafe. Kafe kegemarannya adalah La Closerie des Lilas yang terletak tidak jauh dari rumahnya di 74, Rue de Cardinal Lemoine. Sambil menulis, Hemingway akan minum wain atau whiski, makan tiram dan memerhati gadis cantik di meja seberang. Hemingway paling pantang diganggu ketika momentum menulisnya memuncak. Atas sebab ini, dia dilabel sombong kebanyakan orang. Tetapi itulah Hemingway, yang percaya dia perlu menulis sehingga sampai ketika dia bersedia untuk menangguhkan kerja dan menyambungnya semula esok hari.

Hemingway pada tahun-tahun awalnya di Paris adalah penulis tidak berduit. Dia belum menulis novel, dan hanya bergantung kepada jualan cerpen ke majalah-majalah sastera serta artikel-artikel bernilai berita (ketika masih menjadi jurnalis). Dia sering menahan lapar, dengan mengelak melalui kedai-kedai roti dan pastri. Dia juga dibenarkan oleh Sylvia Beach untuk berhutang yuran sewa buku di Shakespeare and Company. Tetapi, Hemingway tidak pernah tidak keluar dari Paris pada musim sejuk. Dia memberi sebab bahawa Paris terlalu sejuk untuk bayi kecilnya pada penghujung tahun, namun barangkali juga perubahan panorama penting untuk menjana tenaga kreatifnya.

Hemingway berkawan dengan ramai penulis besar sezamannya yang turut menjadikan Paris rumah kedua mereka. Antaranya ialah Gertrude Stein, Ezra Pound dan F. Scott Fitzgerald. Di sinilah 'kejujuran' Hemingway terserlah. Dia tidak menyembunyikan sisi kelabu dan gelap kawan-kawannya, sehingga menyentuh perkara-perkara yang saya rasakan elok disimpan sahaja. Sebagai seorang pembaca dan peminat sastera, saya menyenangi aura misteri yang menyelubungi seseorang penulis. Saya tidak perlu tahu semuanya tentang penulis yang saya baca karya-karyanya. Bahkan, mentafsir peribadi penulis daripada karyanya merupakan suatu aktiviti yang mengghairahkan. Tetapi ada beberapa tanggapan tentang Fitzgerald misalnya, telah memecahkan buih isolasi saya terhadap penulis novel The Great Gatsby itu.

Selain telus dalam merakam pengalamannya bersama teman-teman penulis, Hemingway juga terlalu berterus-terang tentang kehidupan peribadinya, seperti kegemarannya berjudi di trek lumba kuda. Pada akhir buku ini pula, dia telah menceritakan tentang kecurangannya terhadap Hadley. Oh, saya juga tidak mahu tahu tentang itu. Tetapi saya sangat senang apabila dia menceritakan tentang suatu awal pagi, sebelum mula menulis di rumah (yang sangat jarang-jarang dilakukan), Hemingway terlebih dahulu merebus botol susu dan menyusukan anaknya agar tidak mengganggu Hadley yang masih tidur.

Jurutera Carigali Perasan Pandai Mengulas Teater

"Watak Sesumpah merupakan permainan metafora, atau simbolisme yang paling berjaya. Makhluk reptilia ini mempunyai kebolehan untuk menyamar diri mengikut persekitaran, dan berdasarkan identitinya yang sebenar iaitu seorang putera raja yang disumpah, pemilihan Sesumpah sebagai ‘hukuman’ untuk seorang manusia angkuh amat tepat."



Ulasan santai tentang teater muzikal Siti di Alam Fantasi berjudul "Siti di Alam Fantasi" dalam majalah Pentas (Januari - Mac 2011) terbitan Istana Budaya.