DOM Mei: Tentang PPSMI

Poster DOM merupakan harta intelek Sinaganaga


Dialog Orang Muda (DOM) kembali lagi pada 15 Mei 2011 bertempat di Rumah PENA jam 10.30 pagi seperti biasa.

Kali ini, DOM membawa isu PPSMI yang sedang didesak oleh golongan tertentu (baca: PAGE) agar dikembalikan, atau paling tidak pun, dijenamakan semula dalam bentuk sistem pendidikan dwibahasa secara pilihan. Perbuatan ini jelas sekali melanggar keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI dan menggantikannya dengan Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Panelis DOM kali ini terdiri daripada tiga orang muda daripada jalur-jalur berbeza.

1. Aidil Khalid; Peguam Pelatih dan Penulis Sastera
2. Wan Ahmad Fayhsal; Fellow Himpuan Keilmuan Muda (HAKIM)
3. Wan Mohd Aimran; Pensyarah Fizik, UKM

Dijemput semua tanpa mengira tua atau muda untuk hadir memeriahkan, berkongsi pandangan serta luahan tentang isu ini. Makan tengah hari disediakan. Ayuh kita merdekakan diri dari 'kotak-kotak'!

(Nota pascaDOM: rakaman DOM Mei Bahagian 1 ihsan Wan Ahmad Fayhsal)

Mawar Emas: Ujaan Awal Tradisi Sastera Agung Rusia


Mawar Emas di celah buku-buku yang tidak lagi muat disusun di rak.

Tajuk: Mawar Emas - Bunga Rampai Sastera Rusia
Penyelenggara/Penterjemah: Victor Pogadaev (Dr.)
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)
Tahun Terbit: 2009
No. Invois: 00037643 (ITNM ecommerce)

Umum mengetahui bahawa dunia sastera Rusia bukan sahaja panjang dan bersimpang-siur sejarahnya, tetapi juga rencam dimeriahkan oleh sekian ramai sasterawan yang berasal daripada pelbagai latar kehidupan dan bidang kepakaran. Oleh sebab kepelbagaian ini, saya sebenarnya keliru, atau setepatnya sukar memilih penulis dan karya yang mana satu untuk mula menerokai khazanah sastera Rusia yang digembar-gembur komuniti sastera dunia. Tambah pula, karya-karya agung sastera Rusia tebal-tebal (misalnya War and Peace oleh Leo Tolstoy) dan dikhabarkan susah-susah (contohnya The Overcoat oleh Nikolai Gogol). Saya semakin tidak yakin untuk memulakan langkah pertama.

Mujur ada kompilasi Mawar Emas: Bunga Rampai Sastera Rusia. Seumpama namanya, antologi ini mengumpulkan cerpen, petikan novel dan puisi 37 orang sasterawan Rusia yang merentas tempoh penerbitan selama dua abad.

Antara sasterawan Rusia yang ditampilkan karya mereka dalam buku ini adalah nama-nama besar seperti Alexander Pushkin, Leo Tolstoy, Fyodor Dostoevsky, Nikolai Gogol, Anton Chekhov, Maxim Gorky, Alexander Blok dan Ivan Turgenev. Selain itu, terdapat juga nama-nama yang sedikit kurang mesra pada pengetahuan terhad saya tentang sastera Rusia.

Sungguh pun begitu, ini bukanlah isu besar kerana buku ini telah disusun dengan menyertakan biodata dan informasi ringkas tentang setiap sasterawan serta idea utama di sebalik identiti kepengarangan mereka sebelum karya di'persembahkan'. Selain teks, tertera juga lakaran wajah serta potret hitam-putih setiap penulis ini. Maka melalui buku ini, pembaca bukan sahaja berpeluang berkenalan dengan karya-karya sastera Rusia tetapi juga dengan insan di sebalik setiap kalimah dan aksara.

Kebanyakan cerpen yang dimuatkan dalam pendek-pendek sahaja, seperti cerpen-cerpen Chekhov iaitu "Kegembiraan", "Matinya Seorang Pekerja" dan "Karya Seni". Sedangkan, banyak juga cerpen-cerpen terkenal Chekhov yang panjang-panjang. Petikan novel pula diambil di entah tengah bahagian mana, tanpa tentu kepala ekornya; seperti petikan novel Doktor Zhivago karya Boris Pasternak.

Intuisi saya kuat mengatakan bahawa Dr Pogadaev melakukan perkara ini dengan penuh kesedaran. Beliau semacam cuba 'mengusik' pembaca, dengan berkata, 'saya sudah membuka jalan, tetapi andai saudara kepingin lagi, maka saudara harus ghairah menerokainya sendiri.'

'Usikan' Dr Pogadaev semakin ketara apabila beliau memperkenalkan juga pembaca kepada bentuk-bentuk sastera lisan Rusia seperti epos kewiraan (bilini), cerita rakyat (skazka), teka-teki (zagadka), peribahasa (poslovitsa) dan chastushka.

Saya melihat adanya karya-karya tradisi sebegini dalam buku Mawar Emas sebagai sesuatu yang signifikan. Pembaca berpeluang menghayati penggunaan bahasa, lenggok penceritaan mahu pun tema serta pemikiran masyarakat Rusia pada zaman lampau. Namun lebih penting daripada itu, pembaca dapat melihat peralihan paradigma yang berlaku dalam dunia pengkaryaan di Rusia seperti yang dirakam oleh karya-karya yang dihasilkan dalam tempoh dua abad dalam buku ini.

Jikalau bilini, skazka, zagadka, poslovitsa dan chastushka disampaikan dalam nada yang lebih santai, kebanyakan karya-karya moden yang dipersembahkan oleh 37 orang penulis dalam kompilasi ini pula majoritinya lebih keras dan syahdu. Mereka mengolah sekaligus menyampaikan gelisah masyarakat Rusia yang tersepit dalam sistem komunisme, yang letih berperang, yang lantang mengkritik penguasa, yang terdera disenyapkan suara melalui perspektif berbeza mengikut pengamatan unik masing-masing.

Melalui karya, termasuklah sebahagian besar yang dimuatkan dalam kompilasi Mawar Emas ini, para sasterawan Rusia merakam zaman mereka. Rentetan itu, mereka menjadi wakil suara bangsa. Proses itu juga telah memangkin pembinaan sebuah dunia kesusasteraan Rusia yang warna-warni, bak rampaian bunga tujuh jenis direnjis aneka haruman. Mawar Emas adalah usaha gigih Dr Pogadaev yang tidak akan mampu memuaskan pembaca, tetapi lengkap sebagai pembuka selera!

Pesta Buku Antarabangsa KL Tahun 2011

Resensi buku dimoderatorkan oleh Dr Faisal Tehrani dengan penulis muda (dari kiri) Salina Ibrahim dengan karya Memaknakan Cinta, Muhammad Teja dengan karya Tak Payah Sombong Pun Tak Apa dan Rebecca Ilham dengan karya Kimono Ungu Bersulam Bunga.

Foto dan kapsyen dari laman rasmi ADUN Hulu Kelang, YB Saari Sungib.

Cerpen "MADIHAH-MEDEA" di BM 8 Mei 2011


“Minyak bukan persoalan, Tariq. Kendatipun Libya menghentikan pengeluaran, Arab Saudi, peneraju kartel Organisasi Negara-Negara Pengeksport Petroleum, telah bersetuju untuk memenuhi menampung kekurangan kuota. Benua-benua pengimport bersih minyak mentah tidak terputus bekalan.”

“Aku hanya jurutera awam, tapi engkau mesti tahu manakan sama minyak mentah Libya dengan minyak mentah Arab Saudi. Produk Libya berkualiti tinggi; di seantero dunia ini hanya 25 peratus minyak mentah seumpamanya. Kekurangan kurang sejuta tong setakat ini barangkali kecil di mata jurutera petroleum yang terbiasa dengan nombor besar-besar, tapi memadai untuk menggugah sembilan peratus daripada bekalan keseluruhan minyak mentah bermutu tinggi ini.”

Madihah - Medea
Oleh Rebecca Ilham
Berita Minggu, 8 Mei 2011

Alhamdulillah. Syukur, cerpen Medea-Madihah mendapat tempat di ruang Sanggar Kreatif Berita Minggu hari ini.

Cerpen ini ditulis kira-kira dua minggu setelah NATO melancarkan serangan ketenteraan ke atas Libya. Berita demi berita tentang peperangan, tentang pemberontakan rakyat Libya sebelumnya serta implikasi politik, ekonomi dan sosial peristiwa-peristiwa berangkai yang diladeni melalui akhbar serta portal-portal berita atas talian berdikit-dikit mengasak, perlahan-lahan mendesak agar saya menulis sesuatu tentangnya.

Tetapi saya tidak mahu lagi menulis dengan mengambil latar luar negara, meski isunya isu antarabangsa. Saya mahu membawa waak-watak Malaysia, atau paling tidak pun, membaw mereka balik ke Malaysia. Di samping itu, ada beberapa perkara yang lama terpekung di dada tentang sikap sebilangan kita yang ingin saya jentik dan ketengahkan.

Semasa menulis, saya ditemani oleh lagu Sedetik Lebih (Anuar Zain). Saya cuba menyelami jiwa Madihah - perempuan keliru yang cuba menidakkan rasa dan meninggalkan idealisme kerana ilusi yang belum tentu menjanjikan bahagia.

Saya sedar saya telah memberi lebih suara kepada Tariq, yang lantang menempelak Madihah. Bahkan semasa menukang cerpen ini, saya merasakan wajah feminisme yang selama ini saya bawa dalam karya sudah berubah. Tetapi saya meneruskan juga cerpen ini sehingga hasilnya seperti apa yang terbit di akhbar hari ini. Keadilan bukan bermaksud kesamarataan. Madihah pada saya, berada di pihak yang 'salah.'

Argh, itu tentang aspek kemanusiaan. Mari kita kembali kepada perkara yang lebih pokok, iaitu persoalan, atau wacana yang diketengahkan.

Saya semakin tidak faham dengan kuasa-kuasa besar Barat, terutamanya Amerika Syarikat. Saya bukanlah penyokong Muammar Gaddafi, atau mana-mana diktator sekali pun. Namun tindakan Amerika mengepalai serangan ke atas Libya pada saya memounyai implikasi terbalik. Dunia akan simpati kepada Libya, kerana tindakan itu jelas melanggar kedaulatan sebuah negara di samping menjarah prinsip kemanusiaan.

Maka, saya ingin mengajak pembaca melihat agenda tersirat di sebalik cubaan menjatuhkan Gaddafi (dan memerintah Libya secara proksi - kita sudah melihat ini berlaku di Afghanistan dan Iraq). Amerika dengan kegilaannya menguasai bekalan minyak mentah sebagai jaminan kelangsungan sumber tenaga dan menyekat kebangkitan China, serta Perancis, di mana Sarkozy terdesak untuk menaikkan imej di mata khalayak awam menjelang pilihanraya pemilihan presiden.

Tetapi saya juga terkesan dengan sikap 'kita', dengan kebisuan 'kita' dan dengan kegilaan 'kita' terhadap kuasa.

Terus-terang, sikap Madihah adalah perkara pertama yang mengingatkan saya kepada Medea. Medea saya kenali buat pertama kali semasa berusia 15 tahun. Semenjak itu, saya berazam untuk menyelitkannya sebagai metafora dalam karya.

Namun, ingatan terakhir Tariq ' "Jangan engkau jadi Medea, Madihah" tentunya lebih dalam daripada itu.


Selamat membaca, semoga cerpen kecil ini bermanfaat!

Novel Pascamoden Yang Memparodikan Agama


Saya tertarik dengan novel The Final Testament of The Holy Bible karya James Frey sebelum bermulanya PBAKL 2011 lagi. Malah berkira-kira untuk membelinya kerana menyukai kulit hadapan yang berupa sebilah skalpel (blade #10?) berdarah dan menghadiahkannya kepada seseorang sebagai gurauan. Namun akhirnya saya membelinya untuk bacaan sendiri sebagai meraikan berakhirnya pesta buku tahun ini.

Saya tidak membaca novel ini dengan teliti sepenuhnya, melainkan tiga bab awal. Buku ini mempunyai 16 bab semuanya, dengan mengambil konsep Bible sendiri. Setiap bab itu diperikan oleh para 'apostle' yang berlainan - melainkan Esther (dua bab) dan Mariaangeles (tiga bab).

Bab pertama (diceritakan oleh Mariaangeles) mengingatkan saya kepada novel Beat The Reaper karya Josh Bazell. Penggunaan bahasa kasar dan slanga oleh Maria yang berketurunan Hispanik dan hidup melarat sebagai ibu tunggal remaja di Amerika sehingga menjadi penari bogel dan pelacur untuk menyara hidup itu sedikit mirip perspektif hidup Dr Peter Brown yang pernah jadi pembunuh upahan sebelum ke sekolah perubatan.

Namun bab-bab seterusnya menjauhkan tanggapan awal itu.

Novel terbaru James Frey yang diangkat sebagai buah tangan yang menggegarkan ini sebetulnya sebuah karyakontroversi yang menyediakan alternatif terhadap prinsip serta amalan agama Kristian dan Yahudi sedia ada.

Ben digambarkan sebagai manusia sejak sebelum dilahirkan lagi. Bapanya tidak mengakuinya anak, dan ibunya sendiri tidak ingat berlakunya peristiwa yang menyebabkannya mengandungkan Ben. Ben melalui zaman anak-anak dan dewasa yang buruk. Sebagai remaja, dia dihalau daripada rumah oleh abangnya, Jacob, selepas kematian bapa.

Ben hidup miskin dan tidak berpelajaran. Ketika usianya 30 tahun, Ben ditimpa kemalangan di tapak pembinaan tempatnya bekerja. Ben cedera parah, tetapi tidak mati. Kata Alexis, pakar bedah kecemasan yang mula-mula merawat Ben, ada 'sesuatu' yang mengembalikan nyawanya, yang tidak membenarkannya mati. Semenjak itu, Ben digelar sebagai Miracle Man.

Rabai keluarga Ben - keluarga Ben asalnya Yahudi Ortodoks, tetapi Jacob kemudiannya meninggalkan Judaisme untuk menganut Kristian - Adam, sememangnya meramalkan lelaki itu sebagai penyelamat akhir zaman, atau messiah. Namun, dia akhirnya kecewa kerana Ben bukanlah messiah tipikal, yang Yahudi, yang ortodoks.

Ben 'mengubati' resah jiwa dan kebobrokan masyarakat dengan 'cinta.'

Cinta yang ditaburkan Ben lazimnya dilampias secara fizikal, barulah kesannya akan dirasai secara 'spiritual.' Cara fizikal di sini termasuklah kemabukan alkohol, hubungan jenis homo dan hetero, berpesta bebas dan sebagainya. Ben juga pro-abortion. Mungkin dia juga seorang penyokong Parti Demokratik.

Saya harus mengakui kemahiran Frey dalam mengarang novel ini.

Selain menggunakan teknik interteks dalam membina rangka dan struktur karyanya, Frey bijak menyelami setiap watak sementelah beliau menulis daripada perspektif orang pertama 13 orang yang berbeza. Di samping itu, saya pernah membaca ulasan buku ini di akhbar The Guardian bahawa Mariaangeles merupakan 'jelmaan' watak Mary Magdalene. Ini semakin jelas menjelang peleraian cerita, di mana Maria mengandungkan anak Ben.

Selain itu, dalam situasi biasa, Ben akan menjadi seseorang yang menjengkelkan pada pandangan saya, tetapi dengan laras bahasa yang menekankan aspek empati terhadap kehidupan Ben daripada kecil sehingga dewasa, saya sukar untuk 'marah' terhadap lelaki itu. Sebaliknya, saya lebih memikirkan tentang tindakan Frey menghadirkan seorang 'penyelamat' yang sedemikian rupa.

Secara umum, tanpa merujuk mana-mana agama, saya tertanya: Apakah undang-undang serta prinsip-prinsip yang dianjurkan oleh agama pincang, sehingga harus penawarnya bukan sahaja perkara-perkara yang melanggar konvensi tetapi dengan menolak naratif agung?

Atau yang tempangnya adalah manusia sendiri?

Pembaca/Penulis: Anda Naif atau Sentimental?


Saya baru menyudahkan sebuah buku esei Orhan Pamuk yang dikembangkan daripada Syarahan Norton-nya di University Harvard. Judul buku berkenaan adalah The Naive and Sentimental Novelist: Understanding What Happens When We Read and Write Novels; meminjam definisi naif dan sentimental daripada esei sarjana Jerman, Schiller, yang ditelaah Pamuk berkali-kali semenjak 30 tahun yang lalu.

Secara ringkasnya, Schiller menakrifkan pembaca/penulis novel yang naif adalah sebagai pembaca/penulis yang menikmati proses membaca/menulis tanpa mempedulikan teori, struktur atau apa-apa sahaja bentuk "azali" karya berkenaan. Sementara pembaca/penulis yang sentimentalis pula mengambil peduli, malah menganalisa perkara yang dikesampingkan itu.

Pamuk tidak melihat pembaca/penulis yang naif sebagai lebih baik daripada yang sentimentalis, dan sebaliknya. Beliau menekankan bahawa pentingnya seseorang pembaca/penulis mencapai keseimbangan antara kedua-dua sifat/sikap ini dalam pembacaan dan pengkaryaan. Menurut Pamuk, selepas lebih 30 tahun membaca dan menulis novel sastera secara serius, beliau telah menemui keseimbangan yang diperlukan itu.

Seperkara yang menarik tentang buku ini ialah kemahiran Pamuk menzahirkan proses dalaman (baca: pemikiran) yang berlaku ketika seseorang membaca/menulis novel dalam bentuk kata-kata. Dengan menggunakan bahasa yang mudah tetapi masih mengekalkan trademark-nya (baca: buku ini seperti juga novel Pamuk, perlahan temponya), Pamuk membedah, melapah bagaimana sesebuah novel ditanggapi/ditulis. Perkara ini sememangnya berlaku kepada semua pembaca/penulis, namun tidak semua di antara kita yang barangkali mampu meakamkannya dalam bentuk teks seperti yang dilakukan Pamuk.

Selain itu, Pamuk turut menerangkan faktor mengapa novel-novel sastera menjadi karya malar segar, berbanding novel-novel pop. Menurut Pamuk, novel-novel sastera dibina/dikarang secara berlapis. Apabila dibaca, pembaca sebenarnya sedang mengopek lapis-lapis itu untuk mencari teras cerita. Oleh itu, pembaca akan menjadi peka, setiap perlakuan watak, penglihatan watak, perubahan cuaca dan lain-lain diteliti dengan harapan setiap satunya akan menghantar pembaca lebih dekat dengan teras yang dicari-cari. Tetapi novel-novel pop, kata Pamuk lagi, dibina berdasarkan formula yang jelas. Pembaca tidak perlu mencari teras, kerana ia sudah jelas sedari awal. Pembaca juga tidak dapat merasai perih-jerih penulis "menyembunyikan" teras di balik lapis-lapis yang tebal dan berselirat seperti dalam novel-novel sastera.

Pamuk juga dengan berani melabel novel-novel fiksyen sejarah sebagai "palsu." Menurut Pamuk, sesebuah novel digerakkan oleh watak. Watak ini pula mewakili dan merakam zamannya. Cerita, atau teras cerita sesebuah novel secara idealnya mestilah disampaikan oleh watak berkenaan. Keperibadian watak ini dan kisah yang ingin disampaikannya harus dikuasai oleh penulis. Oleh itu, Pamuk berpendapat, penulis kontemporari tidak akan berjaya "merakam" aspek-aspek peristiwa lampau dengan tepat, kerana beliau tidak melalui zaman itu sendiri. Pamuk mengaku beliau menulis My Name Is Red, sebuah novel fiksyen sejarah yang mengambil latar zaman Khalifah Uthmaniyyah dengan kesedaran itu.

Di samping itu juga, Pamuk memperkenalkan istilah "verbal literature" dan "visual literature." Dalam sesuatu pemerian, ada pembaca/penulis yang menggemari lenggok teks yang digunakan, sedangkan sebahagian yang lain pula senang dengan pelukisan imejnya. Perkara ini membuatkan saya terfikir seketika, tentang aktiviti melukis komik yang ditinggalkan sewaktu di sekolah rendah - kerana merasakan penglahiran cerita lebih pantas dengan hanya menulis (dan lebih menjimatkan kertas!).

The Naive and The Sentimental Novelist barangkali boleh juga dianggap sebagai buku panduan penulisan (oleh pembaca/penulis yang sentimentalis) atau sebuah introspeksi menarik tentang proses pembacaan/pengarangan (oleh pembaca/penulis yang naif?). Namun, seperti karya-karya kreatif Pamuk, ia harus dinikmati dengan rentak sewajarnya.