Rintih Jiwa Manusia dalam The Particular Sadness of Lemon Cake


Beberapa hari sebelum hari lahirnya yang kesembilan, Rose Edelstein pulang dari sekolah dan disambut dengan riang oleh ibunya, Lane. Lane kemudiannya membakar kek lemon yang dihias dengan kemasan coklat, sebagai latihan untuk menyediakan kek hari jadi Rose nanti. Rose menemani, memerhati ibunya menyediakan kek berkenaan dengan gembira.

Namun apabila dia mengigit potongan kek yang sudah siap itu, Rose tidak merasai lemak mentega, masam lemon, manis gula atau pahit coklat. Sebaliknya, tunas rasa Rose mengecam kekosongan jiwa Lane yang merasa terperangkap dalam kehidupan sebagai isteri seorang peguam dan ibu kepada dua anak yang sedang membesar di sebuah subbandar di kota Los Angeles.

Kejadian ini telah menyedarkan Rose tentang 'keistimewaan' yang dimilikinya, sekaligus merenggut kenaifan seorang budak perempuan yang masih mahu dilindungi daripada kerumitan kehidupan, terutamanya kehidupan orang-orang dewasa. Premis inilah yang menggerakkan novel The Particular Sadness of Lemon Cake karya Aimee Bender yang sudah menjadi buku laris di Amerika Syarikat.

Sungguh pun begitu, novel ini bukan tentang Rose. Paling tidak, bukan seratus-peratus seperti sangkaan awal saya. Oh ya, ia digerakkan oleh pencerita orang pertama (Rose). Ini penting kerana dengan cara ini barulah pembaca dapat menyelami resah jiwa Rose yang dipaksa menjadi dewasa sebelum masanya. Melalui teknik penceritaan sebegini, pembaca akan turut terseksa bersama Rose, sehingga akan tersentuh dengan raungan anak gadis itu agar mulutnya dibuang sahaja.

Rose juga menjadi fobia dengan makanan sehingga menjadikan makanan ringan sebagai diet ruji. Rose juga menyenangi makanan yang dibuat sepenuhnya di kilang, kerana dengan itu dia tidak perlu merasa lebih daripada sepatutnya. Ini merupakan cabaran besar buat Rose disebabkan ibunya suka memasak. Rose semakin menjeruk rasa apabila mengetahui tentang hubungan sulit ibunya melalui hidangan makan malam yang disediakan Lane juga.

Tetapi The Particular Sadness of Lemon Cake juga tentang orang-orang di sekeliling Rose. Ia tentang Lane, yang menyangka dia telah ditemukan jodoh oleh permainan takdir yang romantis sehinggalah pada hari perkahwinannya dia mendapat tahu bahawa takdir itu diatur.

Novel ini juga tentang Joseph. Joseph abang Rose yang genius dan merupakan anak emas Lane. Namun di sebalik kasih-sayang, perhatian dan potensi untuk menjadi seseorang, Joseph masih berasa sunyi dan tidak dikehendaki.

Sementara bapa Rose dan Joseph juga mempunyai isu peribadi sendiri. Isu itu bukan sahaja 'menghalangnya' menjadi bapa yang lebih cakna, tetapi juga menterjemahkannya sebagai suami yang kurang peka. Bayangkan, dia mempunyai fobia melampau pada hospital sehingga tidak sanggup berada di sisi, bahkan melawat Lane ketika kedua-dua anak mereka dilahirkan!

Saya paling gemar bagaimana Bender merakam resah jiwa semua manusia ini dalam bentuk makanan. Ini adalah percubaan yang menarik lagi pintar, sementelah kita tahu bagaimana sukarnya pelukisan emosi atau perasaan dilakukan.

Ini membolehkan fokus cerita kembali kepada Rose - si pencerita yang mengikat semua serabut emosi dalam novel ini. Kita akan menjadi simpati pada gadis kecil yang akhirnya besar dalam pengabaian - oleh ibu bapanya juga oleh dirinya sendiri, kerana dia terpaksa menumpukan seluruh tenaganya untuk melawan 'pengetahuan' tanpa rela yang menyusup hadir melalui deria rasa.

Tetapi Rose sendiri akhirnya mengaku pertarungan itu berbaloi meski pun apakala merasa masakan sendiri, dia merasai kekosongan serta rintih jiwa yang mahu kembali ke dunia semasa berusia kurang sembilan tahun.

Kenapa?

Setiap nyawa kehidupan manusia itu sesungguhnya amat bernilai untuk dinikmati!

The Birth of Love: Novel adalah Satu Penipuan


Sudah lama saya tidak membaca sebuah novel yang membuat saya berasa tertipu.

Novel The Birth of Love tulisan Joanna Kavenna dibeli di Kinokuniya secara impulsif. Saya sudah mengelek beberapa buah buku sebagai memenuhi kuota perbelanjaan wajib setiap bulan namun sempat singgah di rak Highlights dalam perjalanan ke kaunter pembayaran. Kulit hadapan buku ini menggamit, sinopsis ringkas di kulit belakangnya pula menggoda. Maka tanpa menimbang lanjut, saya mengambil senaskhah lalu menyertai barisan sebelum bertukar fikiran.

Pada mulanya, saya menyangka novel ini merupakan novel fiksyen sejarah yang diberi sentuhan futuristik sementelah prolog awalnya dipecah tiga; 1. seorang lelaki gila yang dimasukkan ke hospital jiwa di Vienna, Austria pada pertengahan abad ke-19 di Vienna, Austria; 2. seorang gadis tidak bernama ditendang ke dalam penjara pada tahun 2153 dan 3. seorang wanita sarat mengandung keresahan menunggu saat-saat kelahiran anak keduanya pada tahun 2009.

Sangkaan awal itu menimbulkan unsur saspen yang mendesak naluri ingin tahu. Ditambah pula dengan langgam bahasa lama yang sedikit meleret, mengikut resam epistolari dalam bab pertama di Vienna, saya membaca dengan tidak sabar. Bab pertama itu telah memperkenalkan Herr S, lelaki tidak siuman mengikut kaca mata Roger von Lucius, seorang mengkaji psikologi manusia. Roger menulis surat kepada Profesor Wilson dengan penuh keterujaan.

Herr S, selain nama akhirnya yang enggan disebut oleh Herr Meyer, pengurus hospital jiwa yang kejam itu, juga sering tenggelam timbul tahap siumannya. Herr S enggan membuka mulut, kelihatan tenggelam dalam emosi hitam pada mulanya. Apabila bersuara, dia hanya menjeritkan bahawa dia berdosa, tangannya bergelumang darah dan dia layak dihukum berat.

Sementara di latar futuristik pula, watak banduan tak bernama disoalsiasat oleh ejen The Protector (Pelindung). Banduan wanita yang dikenali dengan nombor 730004 itu di sebuah pulau (kod nama: Lofoten 4a, Artic Circle, Area 111424) atas jenayah mengancam kemandirian spesies manusia. Daripada bab yang berupa transkrip interogasi itu, pembaca diperkenalkan pada dunia 2153 di mana manusia tidak lagi meneruskan kelangsungan keturunan secara semulajadi. Sebaliknya, ovum wanita dituai sehingga habis lalu dimandulkan kehilangan berjaya 18 tahun. Ovum itu Akan disenyawakan dengan sperma di dalam makmal di kilang-kilang pembiakan manusia. Bayi-bayi yang 'lahir' akan dijaga dan dibesarkan oleh pekerja-pekerja khusus yang dibayar gaji mengikut peranan masyarakat 2153 menyumbang ke arah memastikan manusia tidak pupus dalam dunia yanh serba tercemar serta berpandukan faham materialistik.

Walaubagaimanapun, seorang pelacur (Pelindung memahami kehendak fisiologi manusia kepada seks) yang telah dinafikan haknya sebagai seorang wanita sejati tiba-tiba hamil. Keajaiban ini telah mendorong sekumpulan manusia termasuklah Banduan 7300024 melarikan diri bersama pelacur berkenaan, yang digelar Birgitta, ke sebuah pulau terpencil yang terpelihara daripada pembangunan materi yang merajai dunia tahun 2153.

Sementara di era pertengahan, iaitu tahun 2009, Brigit yang sudah hamil lebih 40 minggu sedang berperang dengan kegerunan menghadapi kontraksi serta sakit bersalin untuk melahirkan anak keduanya. Dia memilih untuk bersalin di rumah dengan bantuan bidan tanpa suasana hopital yang sterile atau sebarang ubatan, tetapi masih meragui keputusan itu.

Pada petang ketika kontraksinya baru bermula, Brigid terdengar segmen bual buku di radio (BBC, barangkali) membicarakan novel sulung seorang penulis pertengahan usia bernam Michael Stone. Tajuk novel itu The Moon, dan merupakan karya Stone yang akhirnya terbit setelah bertahun-tahun menulis sehingga dia berpatah arang berkerat rotan dengan ibu sendiri yang dirasakan meleceh-lecehkan cita-citanya.

Di sinilah kunci penipuan bermula.

The Moon merpakan sebuah novel fiksyen sejarah tentang Herr S. Herr S merupakan seorang pakar perbidanan yang dihantui kematian pesakitnya, Brigit Vogel akibat puerperal sepsis. Birgitta pula merupakan cicit atau piut Birgit pada masa hadapan. Dan Michael Stone tidak dapat menikmati kejayaannya kerana asyik terkenangkan ibunya yang kini nyanyuk.

Daripada tentang siapa, novel ini menjadi tentang apa.

Apa itu adalah kisah kelahiran.

Herr S menyumpah dirinya kerana ibu-ibu yang baru melahirkan mati mengejut, sekaligus meninggalkan bayi mereka yang masih merah terkontanh-kanting di rumah-rumah kebajikan. Brigid sepatuh mati sakit bersalin, sehingga tiba ke satu takah, dia memohon agak bayinya dicabut keluar sahaja. Banduan 7300024 pula masih menyimpan harapan dan angan tentang kelahiran semul kemanusiaan dengan lahirnya bayi Birgitta biar pun dia kini menjadi tahanan kembali. Sementara Michael Stone (pada saya seperti dialah Joanna Kavenna) ada hubungan dingin dengan ibu kandung yang perlu dihangatkan semula.

Namun saya masih berpendapat anda perlu membaca sendiri novel ini untuk merasai kesan penipuan yang dilakukan oleh Joanna Kavenna!

Rezeki Buku

Bersama hadiah tempat ketiga Pertandingan Ulas Buku ITNM di Kedai Buku Wisma ITNM, Wangsa Maju.
Gambar ihsan ITNM


Niat menyertai Pertandingan Ulas Buku ITNM tahun 2011 hanyalah untuk mencabar diri sendiri. Tahun lalu saya menyertai dengan ulasan malas lagi tak semenggah yang tersingkir di peringkat awal, maka tahun ini memaksa diri berusaha menulis dengan lebih baik.

Saya hanya menulis entri ini ketika tarikh tutup pertandingan sudah hampir. Pada suatu malam hari bekerja, saya mengarahkan diri agar melangsaikan hasrat menukilkan sesuatu tentang buku ITNM sebelum tidur. Ada dua buah buku terbitan ITNM yang dibeli semasa pesta buku (koleksi puisi Goethe dan terjemahan 1515 dalam Bahasa Inggeris), tetapi saya tidak berminat untuk tergesa membaca kedua-duanya. Maka saya mengambil keputusan untuk mengulas Mawar Emas, koleksi karya sastera Rusia terjemahan Victor Pogadaev. Buku ini dibeli secara atas talian daripada laman ITNM ketika berjinak-jinak dengan karya-karya penulis Rusia lewat cuti Tahun Baru Cina yang lalu.

Apabila siap, saya pautkan entri berkenaan ke laman FB ITNM dengan sedikit makluman tentang penyertaan dalam pertandingan berkenaan. Ketika itu, saya pun tidak ingat apa hadiah yang ditawarkan. Malah, untuk menang langsung tidak menjadi keutamaan saya. Lagi pula, saya jarang menang apabila bertanding. Kali terakhir menang tempat kedua dalam Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang ketiga berusia 15 tahun. Saya hanya mahu menguji kemampuan diri.

Oleh sebab itu, melainkan beberapa hari sebelumnya terlintas tentang keputusan pertandingan, saya terkejut apabila disenaraikan sebagai pemenang tempat ketiga Pertandingan Ulas Buku ITNM tahun 2011 pada 9 Jun lalu.

Alhamdulillah.

Berita ini adalah pendorong untuk terus membaca dan menulis (serta membeli buku-buku ITNM). Terima kasih kepada pihak penganjur yang menerbitkan bahan bacaan bermutu dan mengadakan inisiatif yang baik untuk memasarkan produk. Seperti ungkapan klise pemenang, tahun depan inshaallah mahu bertanding lagi! ;)