Mencari Diri


"Flower in the crannied wall,
I pluck you out of the crannies,
I hold you here, root and all, in my hand,
Little flower -but if I could understand
What you are, root and all, and all in all,
I should know what God and man is."
~ Alfred Lord Tennyson


Tuhan, aku meyakini kewujudan-Mu. Kini, aku mahu lebih mengenali-Mu, bermula dengan mengenali diriku.

Yang Selesai dan Yang Tak Selesai-Selesai

Dua dari kiri: Cheryl Tan, Alice Pung dan Janice Lee di Pesta Penulis Singapura, 2011


Sewaktu merancang untuk menghadiri Pesta Penulis Singapura tahun ini, saya pasang niat untuk menghadiri sesi melibatkan Bapak Putu Wijaya sahaja. Selainnya, kesempatan mengembara ke Kota Singa mahu digunakan untuk merayau, maksud saya merayap, ke kedai-kedai buku.

Akhirnya, itulah yang terjadi. Saya bersama teman-teman sepengembaraan, Kak Nisah Haron dan Dik Nurul Badriyah, menghadiri tiga sesi melibatkan sasterawan tersohor Indonesia itu sempena Pesta Penulis Singapura. Kami turut duduk mendengar sesi bual bicara bertajuk Not the Flower Drum Song: Female Asian Writers in the West yang menampilkan Alice Pung (peguam berbangsa Cina-Kemboja yang lahir di Australia), Janice Lee (berketurunan Korea-Amerika) dan Cheryl Lu-Lien Tan (berasal dari Singapura tetapi kini bermastautin di kota New York).

Saya pernah menggilai genre Asian Literature, sehingga dengan lahap sekali membaca satu demi satu novel tulisan penulis wanita Asia yang celaru identiti dalam budaya di negara asing. Namun, saya muak apabila kebanyakan novel itu tidak menawarkan sesuatu yang baru dan segar, sebaliknya hanyalah mengulang formula yang telah terbukti mampu melariskan novel genre itu di negara-negara Barat. Saya jelak dengan tema ketaksuban Barat terhadap eksotisme (erotisme?) Timur dan perempuan Asia yang disilaukan kehebatan tamadun Barat.

Saya merasakan isu-isu seperti itu sudah selesai. Mengapa ia harus terus-terusan diangkat seolah-olah itu sahajalah yang perempuan dan masyarakat Timur tahu? Tidakkah ada tanggungjawab dan wacana yang lebih utama yang seharusnya diangkat serta diletakkan di tempat yang sewajarnya?

Oleh itu, saya sangat tidak menikmati sesi di dalam khemah putih di Pavillion Pesta Penulis Singapura itu. Saya lekas teringatkan tulisan Fatemeh Kesharvarz, pensyarah sastera berketurunan Iran yang bertugas di Amerika tentang kemunculan genre baru yang digelarnya New Orientalism. Asian/Migrant Literature tidaklah sampai ke tahap memburukkan bangsa dan negara asal sendiri seperti buku-buku seperti Reading Lolita in Tehran (Azar Nafisi), tetapi tidak juga mewakili pemikiran wanita Asia secara menyeluruh.

Berisi lagi sesi Bapak Putu Wijaya yang mungkin tidak full house, tetapi padat tentang sisi penulisannya yang merangkum aspek spiritual dan sosok sosio-budaya Indonesia umumnya, atau Bali khususnya.

Venezia, Venezia

Gelato Venezia di Bugis Junction
Alhamdulillah, cerpen Citra Venezia yang menggabungkan subtopik Kejuruteraan Petroleum (Keseimbangan Material) dan Fizik (Hukum Newton Ketiga) serta persoalan ketuhanan disenaraikan sebagai salah satu daripada 19 buah cerpen dalam Senarai Akhir Cerpen Remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010.

Lihat senarai penuh di sini. Tahniah kepada teman-teman penulis yang disenarai akhir :)

Sedikit imbauan tentang proses kreatif CV di sini.

Wanita dan Kejahilan

Kata seorang sahabat, "Musuh wanita bukan lelaki, juga bukan wanita lain. Musuh wanita adalah kejahilan."

Ulasan Dr Siti Hajar Che Man Terhadap Gadis dari Grozny Daripada Aspek Feminisme

Ulasan Dr Siti Hajar Che Man dalam majalah Tunas Cipta September 2011 tentang cerpen Gadis dari Grozny (Tunas Cipta, Ogos 2011):


Katija Anwarova dari kumpulan pemisah dan Profesor (Alexandra) Fetkovich dari Rusia. Bagaimana dua watak yang ada pendirian masing-masing tenang pergolakan negara ini dipertemukan denga satu titik kedamaian? Sudah tentulah Afifi yang menjadi orang tengahnya!

Inilah keistimewaan kisah yang dipaparkan oleh Rebecca Ilham yang telah memecahkan suara wanita terpinggir yang berada dalam dominasi lelaki, dalam masa yang sama tidak meminggirkan lelaki. Katija Anwarova ada pendapat dan pendiriannya yang tersendiri tentang politik negaranya. Judul cerpen "Gadis dari Grozny" seolah-olah membayangkan Katija Anwarova sedang mewakili suara wanita lain tentang untung nasib negara mereka.

Namun, elok jika diketengahkan lebih padat hujah, pendapat dan suara lantang dalam hemah dan sopan yang diluahkan oleh Katija Anwarova supaya suara-suara terpinggir itu dapat menjelaskan bahawa sudah sampai masanya lelaki tidak lagi menganggap, "man is superior to woman, that a woman should be controlled by man, and is a part of man's property" (Khamla Bhasin & Nighat Said Khan, 1989:9).

Pemikiran Kreatif dan Minda Anak Muda di TV Alhijrah

Gambar ihsan rakan penulis, Pena Alam

Sabtu, 1 Oktober yang lalu, kami, rakan penulis Lutfi Ishak, Aidil Khalid dan saya ke Kompleks Penyiaran TV Alhijrah sekali lagi untuk salah satu slot rancangan Assalamualaikum. Minggu sebelumnya kami diundang untuk segmen Kreatif dan Kritis, sementara minggu ini pula khusus untuk memperkenalkan acara Dialog Orang Muda (DOM) yang diadakan di Rumah PENA pada setiap hari Ahad minggu ketiga.

Saya gugup ketika ditanya tentang bagaimana orang muda harus berani melontar pendapat. Jawapannya sudah ada - iaitu berlandaskan ilmu. Namun saya belum fasih menghurainya dengan mudah. Ya, proses. Inshaallah pembaikan akan dilakukan.

Saya tidak banyak bercakap tentang DOM - melainkan hal-hal teknikal, termasuklah tentang DOM bulan Oktober yang kebetulan sempat kami bincangkan selepas mesyuarat tentang PPMN hari Khamis lalu. Masih banyak yang perlu saya dalami. Tetapi Abang Lutfi merupakan orang yang tepat untuk ditanya tentang "selepas DOM - apa, dan ke mana?"

Sebetulnya, soalan itu pernah saya tanya lama dulu, ketika saya baru belajar bergaul dengan penulis-penulis di Rumah PENA dengan cara hadir ke DOM setiap bulan. Jawapan Abang Lutfi - "kesannya bukan sekarang." Ya, bahkan kota Melaka pun tertegak bukan dalam masa sehari!

Amna kemudian bertanya lagi soalan sukar - tentang bagaimana untuk menarik khalayak ke DOM. Perbincangan di DOM seringkali intens dan menjurus ke perkara-perkara berat; ini bukan selera kebanyakan orang. Namun Abang Lutfi memanipulasi peranan dan ruang yang diberikan media sebagai wadah untuk mewar-warkan tentang kewujudan DOM sebagai saluran untuk anak muda meluahkan pendapat dalam pelbagai isu (tanpa dilarutkan emosi).

DOM lahir dan berkembang sejak hampir 2 tahun lalu bukan kerana kami bertiga. Masih ramai tenaga kerja DOM yang lebih selesa di belakang tabir, namun bekerja dan teguh menyokong. Kami hanyalah wakil, yang mengajak agar lebih ramai anak-anak muda ikut berwacana di Rumah PENA. Di DOM, tiada kasta, tiada kotak-kotak dan tiada larangan untuk menyuarakan pendapat. Kita boleh bersetuju, dan bisa saja bersetuju untuk tidak bersetuju. Asal tidak emosional!

Terima kasih dan penghargaan untuk Tuan Zainal Rashid Ahmad, Pengurus Besar Bahagian Penerbitan TV Alhijrah yang memberikan orang-orang muda peluang dan ruang di media.

Dan orang-orang muda, ayuh, jemput ke DOM bulan Oktober pada 16 haribulan dengan tajuk "Penulis Luar Sastera: Penyelamat Sastera Kebangsaan?"