Cerpen terakhir yang saya tulis/terbit tahun lalu adalah pada bulan Mei 2011. Selepas itu saya tidak berjaya menyudahkan satu pun cerpen baru. Cerpen-cerpen yang terbit seterusnya merupakan cerpen-cerpen dalam simpanan; sama ada yang sudah lama dihantar kepada penerbitan dan baru terbit, atau juga yang lama terperuk dan baru dihantar. Malah, novel Bumi Lestari yang terbit pada Oktober 2011 sebetulnya ditulis setahun sebelumnya sementelah ia dihantar untuk penilaian HSKU 2010.
Sesuatu berlaku bermula Mei 2011. Sesuatu itu membingungkan saya, memutar cara saya memandang pelbagai perkara terutamanya hal-hal asas berkaitan kewujudan, agama, diri dan lain-lain lagi. Dengan fikiran yang belum tersusun ketika itu, saya tidak dapat menulis dengan baik. Secara peribadi, apabila menulis, saya perlu menyelesaikan dahulu keributan mental yang tidak tampak, agar yang tertumpah di kertas kelak murni dalam bentuk zahirnya.
Saya mencuba banyak kali, tetapi saya banyak kali juga tersangkak setelah menyoal diri - tentang kejujuran, tentang tahap ilmu yang dimiliki, tentang apakah benar yang dimiliki itu ilmu atau sekadar maklumat, tentang tanggungjawab dan tentunya tentang tujuan menulis karya sastera.
Sepanjang tempoh bingung itu, saya bersyukur kerana Tuhan mempertemukan sekaligus merapatkan saya dengan sebilangan penulis mapan yang tidak lokek apatah lagi jemu melayan kebingungan saya, membetulkan juga mengingatkan kembali tentang niat dan aspirasi sebagai penulis. Lebih penting, mereka banyak mendorong saya bermuhasabah dan mencari ilmu. Saya lebih mengenali sosok peribadi mereka, dan semakin memahami mengapa karya-karya mereka yang saya baca selama ini sedemikian rupa. Begitulah, kata mereka, apabila kita mengukuhkan bekal di dada, yang lain-lain akan datang sendiri.
Namun, sepanjang tempoh bingung itu juga, entah mengapa, saya menjadi renggang dengan buku-buku sastera. Novel-novel Barat kontemporari yang saya baca dengan setia beberapa buah sebulan tidak lagi ingin saya sentuh. Adakalanya saya beli sahaja novel-novel itu hanya kerana saya tidak mahu meninggalkan sesuatu yang saya akrabi sebelumnya. Saya berjinak-jinak, sebelum mabuk, dengan buku-buku dan artikel-artikel lain yang bersifat ilmiah, mendasar dan mendalam.
Saya mengadu kepada seorang penulis yang lebih senior, yang saya anggap bagai abang. Saya tekankan padanya, saya ini penulis; jikalau pun saya jatuh cinta dengan falsafah Islam misalnya, saya masih harus menulis kreatif. Beliau mendengar, lalu memberi analogi mudah. Katanya, "apabila kita sudah mendapat lampu yang cahayanya lebih terang, lampu yang malap itu tidak akan lagi menarik perhatian kita."
Ouch. Nampaknya selera saya selama ini bukanlah bagus pun. Saya belum meladeni apatah lagi menghayati karya-karya sastera dan persuratan yang sama terang dengan apa yang baru saya jumpai dan berjinak-jinak terokai. Satu peringatan menyakitkan, tetapi mencerahkan.
Maka buat seketika, saya 'meninggalkan' karya-karya sastera. Perkembangan baik Cabaran Membaca Goodreads di mana saya memberi komitmen untuk membaca 60 buah buku pada tahun 2011 statik pada angka 50 lebih. Sukar sekali menghabiskan sebuah buku, kerana apa yang ingin saya baca dan dalami pasa suatu-suatu masa tidak terdapat dalam sebuah buku sahaja, dan bukan melalui buku sahaja. Artikel, makalah dan lain-lain bahan bacaan eceran, walau setebal mana pun, bukanlah dikira sebagai buku. Tetapi saya memujuk diri.
Hanya baru-baru ini, saya dapat kembali kepada kegilaan lama itu. Namun jika sebelum ini saya membaca novel-novel sebegitu untuk mempelajari teknik terutamanya pelukisan emosi dalam karya, kini saya membacanya untuk lebih memahami jiwa Kebudayaan Barat. Hanya apabila kita mengenali sesuatu, kita akan bijak menyaringnya, inshaallah.
Fikiran yang dulunya berkesiuran kini lebih tersusun, meski tidaklah sempurna. Cinta saya kepada sastera kembali mekar, malah kembangnya melebihi rasa sebelum ini. Cinta ini semakin dibumbui dengan tanggungjawab serta komitmen yang lebih berat, namun inshaallah, saya terima dengan redha dan rela.
Fikiran yang dulunya berkesiuran kini lebih tersusun, meski tidaklah sempurna. Cinta saya kepada sastera kembali mekar, malah kembangnya melebihi rasa sebelum ini. Cinta ini semakin dibumbui dengan tanggungjawab serta komitmen yang lebih berat, namun inshaallah, saya terima dengan redha dan rela.
Alhamdulillah :)
But God knoweth, and ye know not.
[Holy Qur'an; 2: 216]
















![1511H [KOMBAT]](http://photo.goodreads.com/books/1230225696s/2221542.jpg)





2 komentar:
Kak, rupanya kita sedang menghadapi dilema yang serupa. Sekarang saya juga cuba untuk kembali semula kepada jiwa kesusasteraan saya yang sekian lama sudah sebati dengan diri saya, namun dalam masa yang sama tetap mengulitui bahan-bahan ilmiah yang memberi rangsangan minda.
Becky, writers do need a break every once in a while. We will come back stronger, and the work will be more in depth, insya-Allah.
Post a Comment