Feb 21, 2012

Sedikit Catatan Tentang DOM dan Borak Buku Februari

DOM dan Borak Buku yang berlangsung pada hari Ahad lalu barangkali merupakan edisi dua acara bulanan ini yang meninggalkan kesan tersendiri pada saya, selepas lebih setahun kedua-duanya berlangsung.

DOM membicarakan tentang moraliti dalam filem, dan oleh siapakah tanggungjawab moral itu dipegang? Saya lihat ada orang-orang filem - pembikin filem, penulis skrip, pengulas filem, pengajar filem, pelajar filem - yang hadir sebagai penonton, selain orang-orang berkaitan filem sebagai moderator dan panelis.

Di celah-celah mereka, ada wajah-wajah penulis sastera. Meski tidak ramai, tetapi ini menggembirakan. Antara objektif DOM adalah untuk mengumpulkan, memperkenalkan dan mendekatkan khalayak daripada pelbagai bidang seni, sastera dan budaya sekaligus memecahkan kotak-kotak dikotomi antara mereka (kita?). Oleh sebab itu, kami selaku penganjur cuba menggilirkan mauduk perbincangan setiap bulan, agar dapat kita memberi ruang kepada semua orang mengenegahkan isu yang dekat dengan diri mereka.

Maka inshaallah, bulan hadapan, DOM akan bercakap tentang sastera, selepas membicarakan tentang dunia akademik (Disember), bahasa (Januari) dan budaya filem (Februari).

Borak Buku pula buat julung kalinya berlangsung di luar waktu kebiasaan. Tetamu kali ini adalah Ustaz Don Daniyal; perubahan waktu dilakukan kerana Ustaz Don berada di luar kawasan. Beliau sebetulnya bergegas ke Borak Buku sebaik tiba di lapangan terbang. Kami dengan rendah hati memohon maaf atas kesulitan para hadirin yang hadir dan yang berhasrat untuk hadir atas perubahan ini.

Ada seperkara disebut oleh Ustaz Don yang sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinga saya. Beliau menyatakan apabila ditanya tentang pendidikan kepada anak-anak akan memberikan jawapan bahawa pendapat beliau secara peribadi, sebaiknya anak-anak diberikan pendidikan normal mengikut sistem pendidikan kebangsaan. Ini untuk menyesuaikan anak-anak berkenaan dengan keadaan masyarakat. Apabila mereka besar, tidak ada masalah untuk mereka memahami masyarakat yang ingin mereka dakwahkan.

Mereka tidak akan berasa lebih suci, seolah-olah telah menempah tiket awal ke syurga berbanding masyarakat sekeliling mereka yang masih digelumagi kebejatan. Menurut Ustaz Don lagi, beliau tidak pernah menyesali mengikut jalur pengajian normal (aliran sains tulen) sehingga SPM, dan hanya menghafaz Al-Quran pada usia 18 tahun. That makes him the person we get to listen and learn from today.

Inshaallah, semoga Borak Buku yang sememangnya diadakan untuk menyemarakaan budaya membaca dan budaya ilmu sebagai matlamat jangka panjangnya, akan terus dimeriahkan oleh para hadirin yang turut ghairahkan ilmu. Mac kelak, kami akan bawakan seorang lagi tokoh yang tidak kurang istimewanya!


Alhamdulillah. Syukur pada Tuhan kerana kedua-dua acara berlangsung lancar sekali. Saya dengan rendah hati mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada teman-teman yang hadir membantu, memeriahkan dan menyokong kedua-dua acara. Mohon maaf atas segala kekurangan pihak kami dalam menguruskan. Semoga bulan hadapan kalian tidak serik menyertai lagi!

0 komentar: